Rabu, 24 Disember 2025

BEKAS JENERAL NAIK MINYAK


  BEKAS JENERAL

 NAIK MINYAK


Pada Sabtu 22 November 2025 akhbar Bangkok Post melaporkan  Pejabat Duta Besar Malaysia di  Bangkok telah di serang oleh penunjuk perasaan warga Siam. Ia susulan pendedahan Jeneral A. Rangsi Kitiyansap, yang mendakwa Perdana Menteri Anwar bin Ibrahim adalah seorang "pengintip" (sai suek) dan "musuh dalam selimut" yang bertindak sebagai "boneka" Amerika Syarikat (AS) dalam ASEAN.

Mengikut Jeneral Rangsi  kerajaan Siam telah di paksa berdamai dengan  Kemboja. Perdana Menteri  Anwar bin Ibrahim melakukan ini untuk menaikkan taraf dirinya sengai  pemain politik antarabangsa. 

Ini tuduhan dari  bekas  Jeneral dari Bangkok. Bukan tuduhan Hishamuddin Rais.

Berita – demo di Bangkok - ini muncul  sekejap - kemudian hilang begitu saja di Malaysia.  Peluru kemarahan  bekas Jeneral Siam kepada Anwar bin Ibrahim kini diarahkan kepada  Kemboja. Bentrokan di sempadan diteruskan untuk membuktikan bahawa tentera Siam tidak ikut telunjuk  Anwar bin Ibrahim. Dan tidak ambil pot apa kata Trump.

Tertiba – beberapa hari kemudian  di Malaysia perkara yang sama berlaku   sama seperti di Siam. Di Siam   para jeneral marah. Di Kuala Lumpur pun  beberapa jeneral yang  telah bersara juga telah naik minyak. Mereka  kecewa dan  marah apabila mereka mengetahui isi kandungan Perjanjian Anwar-Trump yang telah di tanda tangani pada 26 Oktober  2025.

Jika di Siam suara Jeneral atau suara bekas Jeneral itu sering di dengar dalam media dalam hal perbincangan politik negara. Di Siam tentera terlibat secara langsung dalam tadbir urus negara. Malah tentera Siam telah berkali-kali  melakukan rampasan kuasa.   Negara Siam sering di tadbir oleh tentera.

Askar dan politik bukan satu yang ganjil di Siam.

Tapi di Malaysia askar, soldadu atau  tentera terlibat dalam hal ehwal politik negara tidak  pernah berlaku.  Malah suara  Jeneral yang telah bersara juga amat jarang kedengaran.  

Tetapi kali ini bekas Jeneral telah mula bersuara di Kuala Lumpur.  Suara datang  bukan suara Persatuan Bekas  Tentera Malaysia atau veteran.  

Untuk pertama kalinya seorang bekas Jeneral bersuara dan memberi pendapat tentang duduk perkara politik negara. Dalam bahasa Gen Zee ini rare. Saya ulang – ini amat-amat rare. Malah bukan jarang berlaku tapi tidak pernah berlaku di Malaysia.  

Dalam sistem  Demokrasi Raja Berperlembagaan  semenjak 1957 -  garis pemisah kuasa jelas dan tidak pernah diganggu gugat. Tentera Malaysia duduk di berek  hanya keluar apabila mendapat arahan.  Tentera di  Malaysia tidak pernah mencampuri urusan politik pentadbiran negara.

Saya ulang : tentera di Malaysia tidak pernah mencampuri urusan politik negara. 

Justeru apabila Jeneral  Bersara Borhan Ahmad bersuara ini membawa impak yang amat besar.  Telor telah pecah. Pinggan bukan retak tapi dah terbarai. 

Ini kali pertama suara seorang Jeneral didengar  mencampuri politik negara.  Ini hanya  berlaku dalam kerajaan  Madani Anwar bin Ibrahim. 

Pernah satu ketika dahulu di zaman Tunku pada tahun 1969.  Jeneral telah di jemput sama untuk mentadbir negara. Ini kerana Parlimen di gantung sesudah  babak Mei13 berlaku.

Sosok soldadu  pasca Mei 13 yang  pertama bersuara kali   ini bukan kecik anak. Borhan Ahmad  ialah bekas Jeneral  Panglima Angkatan Tentera Malaysia. Ertinya sosok yang paling tertinggi dalam sistem ketenteraan Malaysia. Tidak ada lagi sosok yang lebih tinggi dari Panglima Angkatan Tentera Malaysia.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia hanya mengikut arahan Yang Di Pertuan Agong. 

Pada 5 Disember 2025  portal Malaysiakini telah melaporkan sidang akhbar  Jeneral Bersara Burhan.  Jeneral Burhan  bersama beberapa orang lagi bekas pegawai tentera telah menyuarakan bantahan mereka terhadap Perjanjian Anwar-Trump 2025.

Bekas Panglima ini dengan jelas  menyatakan kebimbangan bahawa Perjanjian Anwar-Trump  ini  menjejaskan kedaulatan Malaysia dalam situasi yang dianggap seperti “penjajahan semula”.

Duduk sama sebaris  di sidang akhbar itu ialah bekas Perdana Menteri  Dr Mahathir Muhamad. Bekas Panglima ATM, Jeneral (B) Borhan Ahmad berkata para veteran bersedia menghadap Majlis Raja-Raja bagi membangkitkan kebimbangan terhadap Perjanjian Anwar-Trump ini.

Bila bekas Panglima ATM bersuara ini membawa makna yang amat mendalam. Ini bukan suara  politikus, ini bukan suara  kumpulan NGO. Ini suara dari barisan hadapan yang mempertahankan negara kita.

Bekas Panglima ATM in merasa kedaulatan negara tergugat. Bekas Jeneral ini berpendapat bahawa  Malaysia kini menjadi dalam keadaan bahaya.

Media kita hanya melaporkan isi pati kata-kata  Jeneral Borhan Ahmad.  Untuk saya warga wajib meneliti rapi apa kata-kata bekas Panglima ATM   ini.

Sosok ini bukan berkempen untuk  menjadi Ketua Bahagian. Bukan berkempen untuk mencari undi agar dapat ke Parlimen. Sosok ini  bersuara untuk melahirkan rasa  kebimbangan terhadap apa yang sedang berlaku hasil dari Perjanjian Anwar-Trump ini. 

Bekas Panglima ATM  telah bersuara pagi pihak  Veteran Angkatan Tentera Malaysia. Dia  amat risau dengan cara kerajaan hari ini mengurus hubungan dengan Amerika Syarikat terutamanya berkaitan perjanjian perdagangan terbaru yang ditandatangani semasa lawatan Presiden Trump ke Persidangan ASEAN di Kuala Lumpur..

Mengikut pandangan  bekas Panglima ATM ini   Malaysia  dalam ASEAN wajib menjadi  “Zon Aman dan Berkecuali (ZOPAN)”.  Ini adalah laungan dan slogan asal dari Tun Razak yang memulakan ASEAN pada 8 Ogos 1967. Ketika ini  zaman Perang Dingin.

Dasar berkecuali ini menjadi  pedoman dasar luar negara kita. Kita bukan boneka Amerika dan bukan boneka  blok Soviet pada ketika itu.

Sebagai negara anggota ASEAN, kita juga menegaskan prinsip “tidak campur tangan” dalam urusan dalaman negara anggota lain di rantau ini. 

Pada hemat bekas Panglima ini  Malaysia wajib terus kekal berkecuali dalam semua bentuk dan keadaan, serta tidak memihak kepada mana-mana kuasa besar atau kuasa serantau.

Ha ha ha. Bila sampai ke  bab Perjanjian Anwar-Trump  ini   Sang Panglima berpendapat  bahawa Anwar bin Ibrahim  telah menyerahkan kedaulatan dan integriti negara kepada kuasa asing. Ini tidak mencerminkan imej sebuah negara bangsa yang Merdeka. 

Suara Sang Panglima makin keras bila dia  mula bertanya : Apakah kini kita sedang diperhambakan, dijajah semula, atau diperas ugut untuk menerima perjanjian yang berat sebelah ini?

Perkataan : Peras ugut ini keluar dari tulisan  Kenyataan Akhbar Jeneral Bersara  Bekas Panglima ATM.  Ini selari dengan apa yang di suarakan oleh Jeneral Siam di Bangkok.

Jeneral Siam menuduh Datuk Seri Anwar bin Ibrahim  ‘ sai suek – pengintip ‘  untuk Amerika.  Jelas  mengikut  bekas Panglima ATM  ini Anwar bin Ibrahim telah di ugut oleh Amerika. Apa modal Amerika memeras dan mengugut  Perdana  Menteri Malaysian hanya Guru Nanak saja yang tahu.

Sang Panglima terus bertanya : Kenapa Anwar bin Ibrahim  tunduk kepada ancaman sekatan dan kenaikan “tarif” jika kita tidak bersetuju dengan peraturan perdagangan yang tidak munasabah ini?

Contoh paling jelas atau paling  gila dalam perjanjian ini  ialah Malaysia wajib membeli gas  LNG ( Gas Cecair ) dari Amerika. Walhal kita pengeluar gas LNG. Bukan saja kita ada   gas LNG – kita juga  mengeksport gas  LNG ke Jepun.

Data menunjukkan Malaysia ialah pembekal gas LNG utama kepada Jepun, secara konsisten menduduki tempat sebagai pengeksport utama. 

Data terkini menunjukkan Jepun menerima bahagian terbesar gas LNG Malaysia, sekitar 10.8 hingga 11.5 juta tan setiap tahun pada awal 2020-an. Sebagai contoh, pada 2022, Malaysia mengeksport 12 juta tan LNG ke Jepun, menjadikannya pembekal kedua terbesar.

Pasal apa Anwar bin Ibrahim buat perjanjian gila ini. Perjanjian ini  sama seperti  Tok Arab Saudi beli pasir dari Rusia. Atau macam  Greenland membeli air batu dari  India. Semua tidak masuk akal.
 
Sang Panglima juga mengingatkan  Anwar bin Ibrahim tentang perjuangan melawan penjajah untuk mencapai kemerdekaan.

Soldadu, askar dan tentera  telah memperjuangkan kemerdekaannya melalui darah dan air mata. Memerangi Parti Komunis Malaya (PKM) untuk menghapuskan ancaman tersebut, serta membina dan membangunkan negara sehingga berada pada tahap hari ini.

Kita sudah ada KLCC , Menara Berkembar, Menara Merdeka dan menara ikonik 118. Semua ini menjadi kebanggaan kita. Semua ini mustahil dapat dicapai sekiranya Angkatan Tentera Malaysia gagal dalam misinya.

Dengan nada marah bekas Panglima ATM  mengingatkan Anwar bin Ibrahim agar tidak    kita menggadaikan negara Malaysia  hingga  kita semua menjadi pengemis semula.

Saya pungut semua ini dari kenyataan Jeneral (Bersara) Tan Sri Borhan Ahmad Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia.

Dari apa yang saya baca di media para Jeneral dan Panglima ini akan pergi menghadap Yang Di Pertuan Agong.  Kata-kata  dan rasa hati para pejuang negara ini wajib sesama kita sematkan dalam hati.

Tanpa Angkatan Tentera – kita anak semua bangsa dan bangsa semua agama - tidak akan wujud selamat di bumi tercinta ini.  Justeru kita wajib bersama-sama menunggu apakah langkah seterusnya yang akan di lakukan oleh bekas tentera ini.

Apa yang jelas  kita warga  dari  semua parti politik,  para aktivis  masyarakat wajib terus menyebar pencerahan. Kita  wajib bersama sebaris berdiri tegak menyokong suara tegas dari Bekas  Jeneral Panglima ATM ini. Suara  hati bekas tentera ini adalah suara hati   anak semua bangsa.

Kita wajib  sebaris dengan para veteran untuk menolak dan memansuhkan  Perjanjian Anwar-Trump 2025.  Apa tindakan seterusnya kita tunggu dan lihat. Amin. (TT)


TULISAN INI
DISIARKAN JUGA
 DALAM PORTAL
MALAYSIA KINI.COM
https://www.malaysiakini.com/columns/764168












  

 

Tiada ulasan: