Mahkamah Switzerland dengar kes iklim penduduk pulau Indonesia
GENEVA: Sebuah mahkamah di Switzerland memutuskan untuk mendengar kes perubahan iklim yang difailkan penduduk Pulau Pari di Indonesia terhadap syarikat simen gergasi, Holcim.
Empat penduduk pulau itu memfailkan kes berkenaan pada Januari 2013, mendakwa Holcim menyumbang kepada perubahan iklim yang menyebabkan paras laut meningkat dan pulau mereka semakin tenggelam.
"Buat pertama kalinya dalam sejarah Switzerland, sebuah mahkamah menerima tindakan undang-undang berkaitan iklim yang difailkan terhadap sebuah syarikat besar," menurut kenyataan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili mereka, termasuk Swiss Church Aid (HEKS).
Sebelum ini, dua daripada penduduk pulau itu pergi ke Switzerland untuk menghadiri pendengaran pada September di mahkamah di Zug, lokasi ibu pejabat Holcim, bagi menentukan sama ada aduan berkenaan akan dipertimbangkan.
Kedua-dua pihak menerima keputusan itu sebelum ia diterbitkan hari ini dan masih boleh mengemukakan rayuan.
Aktivis alam sekitar menyatakan bahawa 11 peratus daripada keluasan Pulau Pari seluas 42 hektar hilang sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan pulau itu berisiko tenggelam sepenuhnya menjelang 2050.
Salah seorang plaintif, Asmania, menyambut baik keputusan itu.
"Kami sangat gembira. Keputusan ini memberi kami kekuatan untuk meneruskan perjuangan," katanya dalam satu kenyataan.
Holcim berulang kali menegaskan komitmennya untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050, namun berhujah bahawa pembuat undang-undang sepatutnya menentukan bagaimana sasaran itu dicapai.
"Holcim kekal berpendirian bahawa mahkamah bukan forum yang sesuai untuk menangani cabaran global perubahan iklim," katanya sambil menegaskan akan mengemukakan rayuan.
NGO berkenaan berkata, mahkamah di Zug menolak hujah berkenaan.
Keempat-empat wakil itu menuntut Holcim membayar AS$4,500 (RM18,259) kepada setiap penduduk Pulau Pari sebagai pampasan, selain membiayai langkah perlindungan seperti menanam bakau dan membina benteng pemecah ombak. - AFP


Tiada ulasan:
Catat Ulasan