Lantikan anak Zahid sebagai lembaga pengarah UPM terus dikecam
Pelantikan anak Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, Nurul Hidayah sebagai lembaga pengarah di Universiti Putra Malaysia (UPM) terus mendapat kecaman.
Terbaru kumpulan belia bebas Mandiri yang menyifatkannya sebagai contoh nepotisme dan kronisme.
Pengarah Mandiri Borneo Wong Kueng Hui, menegaskan pelantikan Nurul Hidayah itu jelas bertentangan dengan prinsip reformasi yang ditekankan oleh kerajaan Madani.
“Keputusan ini menimbulkan persoalan serius terhadap komitmen kerajaan dalam menegakkan prinsip meritokrasi dan tata kelola yang baik. Jelas keputusan seperti ini memberikan gambaran yang sebaliknya.
“Sekiranya budaya nepotisme dan kronisme dibiarkan berleluasa, ia akan melemahkan usaha pembaharuan dan akan terus merosakkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Wong menegaskan pelantikan terbabit mengundang persepsi bahawa janji reformasi hanya sekadar retorik tanpa pelaksanaan yang konkrit.
Sebelum ini, pelantikan Nurul mencetuskan kritikan, termasuk ejekan daripada artis grafik Fahmi Reza yang mempertikai kelayakan Nurul dengan mengaitkan bapanya Zahid.
Presiden Gerakan Dominic Lau juga berkata pelantikan Nurul membuktikan PH langsung tiada keazaman untuk mereformasi pelantikan politik.
Bagaimanapun, Nurul mempertahankan pelantikan itu dengan berkata dia seorang alumni UPM yang aktif.
Sehubungan itu, Wong menggesa kerajaan memastikan agar proses pelantikan ke jawatan penting di institusi awam dilakukan secara telus, berasaskan merit, kelayakan, pengalaman, serta bebas daripada pengaruh politik.
“Kerajaan bertanggungjawab untuk membuktikan bahawa ia benar-benar komited terhadap pembaharuan yang dijanjikan.
“Jangan biarkan keputusan seperti ini menghakis kepercayaan masyarakat terhadap integriti proses pengambilan keputusan dalam pentadbiran awam dan mengkhianati harapan rakyat untuk perubahan yang lebih baik,” tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan