Gencatan senjata Gaza disambut baik pemimpin dunia
PARIS: Pemimpin dunia menyambut baik pengumuman gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tebusan dan banduan antara Israel dan Hamas pada Rabu serta menggesa kedua-dua pihak mematuhinya dan menyegerakan bantuan kepada orang awam di Gaza.
Berikut adalah rangkuman reaksi daripada kenyataan rasmi, kenyataan yang disiarkan dan mesej dalam talian.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, berkata adalah "penting bagi gencatan senjata ini menghapuskan halangan keselamatan dan politik yang ketara bagi menyampaikan bantuan di seluruh Gaza supaya kita boleh menyokong peningkatan besar dalam sokongan kemanusiaan yang menyelamatkan nyawa."
Presiden Amerika Syarikat (AS) yang bakal dilantik, Donald Trump berikrar untuk "bekerja rapat dengan Israel dan sekutu kami untuk memastikan Gaza tidak akan lagi menjadi tempat selamat pengganas."
Presiden AS, Joe Biden, berkata beliau "teruja" tebusan akan dibebaskan dan "yakin" perjanjian itu akan bertahan.
"Saya sangat berpuas hati, hari ini akhirnya tiba," katanya dalam kenyataan di televisyen.
Ketua Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, berkata "kedua-dua pihak mesti melaksanakan sepenuhnya perjanjian ini, sebagai permulaan ke arah kestabilan yang berkekalan di rantau ini."
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan berharap perjanjian itu "akan memberi manfaat kepada rantau kita dan untuk semua umat manusia, khususnya untuk saudara kita di Palestin dan ia akan membuka jalan kepada keamanan serta kestabilan yang berkekalan."
Kementerian Luar Arab Saudi menekankan "keperluan untuk mematuhi perjanjian dan menghentikan pencerobohan Israel ke atas Gaza," menyeru "pengunduran sepenuhnya pasukan pendudukan Israel dari Semenanjung (Gaza) dan semua wilayah Palestin serta Arab yang lain, selain pemulangan orang yang terpaksa berpindah untuk kembali ke kawasan mereka."
Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, menggesa "kemasukan bantuan kemanusiaan segera" ke Gaza.
Beliau berkata, perjanjian itu adalah hasil "usaha gigih" oleh Mesir, Qatar dan AS.
Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi menggesa kuasa dunia memastikan penyampaian bantuan yang "cukup dan tahan lama" ke Gaza.
Kementerian Luar Iraq, menegaskan "keperluan membenarkan segera bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza dan wilayah Palestin" serta "memperhebat usaha antarabangsa untuk membina semula" kawasan yang rosak ketika serangan Israel di Gaza.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, berkata perjanjian itu mesti "dihormati" dan diikuti dengan "penyelesaian politik."
Canselor Jerman, Olaf Scholz, berkata perjanjian itu "membuka pintu kepada pengakhiran kekal perang dan kepada penambahbaikan keadaan kemanusiaan yang lemah di Gaza" serta mesti "dilaksanakan seperti ditetapkan."
Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, menyifatkan pengumuman itu sebagai "berita yang sudah lama ditunggu-tunggu rakyat Israel dan Palestin."
Beliau menggesa langkah untuk "masa depan yang lebih baik secara kekal... berasaskan penyelesaian dua keadaan."
Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, berkata negaranya "menjangkakan semua tebusan akhirnya boleh kembali kepada keluarga mereka" dan melihat "peluang untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan dengan ketara" kepada orang awam Gaza.
Menteri Luar, Antonio Tajani menyifatkan ia sebagai "langkah penting ke arah keamanan."
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, berkata gencatan senjata itu "penting untuk mencapai kestabilan serantau" dan "satu langkah yang amat diperlukan dalam laluan ke arah penyelesaian dua negara dan keamanan yang adil, yang menghormati undang-undang antarabangsa."
Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk, berkata perjanjian itu menjanjikan "kelegaan besar selepas begitu banyak kesakitan dan penderitaan yang tidak tertanggung... dan adalah penting supaya ia terus kekal."
Ketua Agensi Bantuan PBB untuk Pelarian Palestin, Philippe Lazzarini, menggesa "akses dan bekalan kemanusiaan yang cepat, tanpa halangan dan tidak terganggu untuk bertindak balas terhadap penderitaan teruk yang disebabkan perang ini."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan