Pasangan suami isteri ditahan, didakwa lakukan penipuan pakej umrah
KUALA LUMPUR: Polis menahan pasangan suami isteri sebuah syarikat agensi pelancongan selepas disyaki melakukan penipuan pakej umrah dengan jumlah kerugian dianggarkan RM100,000, hari ini.
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata kedua-dua suspek berusia 31 tahun ditahan di ibu negara kira-kira jam 7 malam tadi oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Kontinjen Selangor.
Beliau berkata, susulan penahanan itu, polis turut merampas beberapa komputer, pasport serta beberapa dokumen berkaitan untuk tujuan siasatan.
"Penahanan susulan laporan yang diterima Polis Daerah Sepang daripada seorang pekerja wanita syarikat swasta berusia 39 tahun, yang mengalami kerugian RM11,000 selepas terkandas untuk mengerjakan umrah, semalam.
"Siasatan awal mendapati syarikat ini mula menjalankan perniagaan sejak tahun 2022, namun berpindah di sebuah premis tiga tingkat dalam daerah Sepang, Selangor sejak Oktober 2024.
"Modus operandi yang digunakan oleh suspek untuk memperdayakan mangsa melalui iklan di aplikasi TikTok Hejira mengenai pakej umrah dan mangsa berhubung dengan ejen yang dilantik oleh pihak syarikat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Hussein berkata, setakat ini sebanyak tujuh laporan polis diterima oleh Polis Selangor membabitkan kerugian dianggarkan RM100,000.
"Pihak polis sudah membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya.
Dalam pada itu, Hussein berkata orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dengan pakej umrah yang ditawarkan terutama di media sosial.
"Dapatkan pengesahan lanjut kesahihan syarikat yang menjalankan pakej umrah terlebih dahulu dengan membuat rujukan dan semakan dengan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC)," katanya.
Terdahulu, media hari ini melaporkan pengarah syarikat berkenaan ditahan di ibu pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), kira-kira jam 6.45 petang tadi.
Ketika ditahan, suspek baru selesai mengadakan sidang media dan perjumpaan bersama sebahagian jemaah umrah yang terkandas.
Sebelum ini, lebih 300 jemaah umrah dilaporkan terkandas apabila tarikh dijanjikan kepada mereka untuk diterbangkan ke Tanah Suci ditunda syarikat pengendali umrah itu dengan pelbagai alasan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan