Khamis, 16 Januari 2025

PAK TANI TURUN BERDEMO RABU DEPAN DI PUTRAJAYA



Industri beras bakal terkubur, pesawah beri amaran menjelang himpunan Putrajaya bantah harga lantai


Kumpulan pesawah menyuarakan bantahan keras terhadap penetapan harga lantai padi pada kadar RM1,300 per tan, menyifatkannya tidak sepadan dengan kos operasi semasa dan beban ekonomi yang mereka tanggung.

Bercakap kepada MalaysiaNow, mereka turut memberi amaran industri padi negara bakal terkubur jika kerajaan tidak segera menangani isu itu.

Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) berkata komuniti pesawah dibebani dengan kos operasi yang mendadak sejak penghapusan subsidi pukal untuk diesel pada Jun tahun lalu, dan ini ditambah dengan isu agihan "fleet card" yang masih belum selesai. 

Pengerusi Pesawah, Abdul Rashid Yob, berkata golongan petani sepatutnya layak mendapat fleet card kerana menggunakan mesin berat seperti jentuai, pembajakan dan traktor padi. 

"Bila tak dapat fleet card, kos operasi naik 30%. Ini yang menyebabkan petani tertekan," katanya, sambil menambah ada petani yang mendapati kos operasi meningkat sehingga 120%.

Baru-baru ini, beberapa demonstrasi diadakan golongan pesawah menggesa kerajaan menyelesaikan isu harga lantai belian padi yang rendah.

Ronald Kiandee, yang mengetuai portfolio Perikatan Nasional mengenai pertanian dan keterjaminan makanan, berkata demonstrasi merupakan isyarat jelas kerajaan tidak prihatin terhadap kepayahan golongan pesawah. 

Pada Isnin, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan semua pihak berkaitan mengenai penetapan harga lantai belian padi kepada RM1,500 setiap tan.

Bagaimanapun, Bendahari Pesawah, Muhammad Firdaus Abu Bakar berkata golongan pesawah terbeban sejak pandemik Covid-19 apabila sektor ekonomi ditutup dan hampir semua pesawah di seluruh negara tidak boleh mengusahakan bendang padi. 

Jelasnya, selepas pandemik pulih pada 2020, mereka diuji pula dengan penarikan subsidi diesel, kenaikan harga sewa jentera dan benih padi. 

Menurutnya, harga sewa traktor yang sebelum ini RM220 dinaikkan kepada RM380 bagi satu relung, manakala harga benih padi naik dari RM45 kepada RM58 di pintu kilang.

"Tak termasuk racun, baja, semai dan sebagainya. Sebab itu petani marah apatah lagi bila kerajaan bersikap mahu pertahankan beras RM26 tapi beras pun tak ada di pasaran," katanya kepada MalaysiaNow. 

Katanya lagi, pesawah di Kedah dan Selangor yang merupakan majoriti pesawah adalah yang paling terkesan.

Firdaus berkata kebanyakan petani masih menunggu janji kerajaan menyediakan "subsidi" berharga RM50 bagi jentera padi, merujuk kepada insentif penuaian pada kadar RM50 per hektar per musim yang diperkenalkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada Mei tahun lalu. 

Sementara itu, seorang pesawah di Kedah berkata dia tertekan dengan kos operasi semasa sehingga terpaksa berhutang untuk menguruskan bendang padi. 

Ismail Yaakob, 59, berkata penetapan harga lantai padi sebelum ini pada RM1,700 juga tidak mencukupi untuk menanggung semua kos pengeluaran padi. 

Katanya dia perlu menanggung kos yang berlebihan akibat tanaman padi yang rosak disebabkan bencana banjir yang kerap melanda negeri itu. 

"Kalau tak sayangkan pesawah pun, kerajaan kena hargai padi sebagai tanaman tradisi orang Melayu. 

"Mereka kena cari jalan untuk selamatkan industri ni kalau tidak tak akan ada lagi beras tempatan kita," katanya kepada MalaysiaNow. 

Rashid berkata harga kawalan beras tempatan pada RM2.60 per kg sejak 2008 tidak lagi relevan memandangkan kos yang perlu dikeluarkan oleh pesawah lebih tinggi sejak beberapa tahun kebelakangan ini. 

Pihaknya menyeru kerajaan mengkaji semula harga beras baru yang lebih relevan bagi memastikan kelangsungan tanaman padi tempatan. 

Jelasnya, meskipun tiada data rasmi dari pihaknya, yang pasti bilangan pesawah semakin berkurangan kerana tidak lagi mampu menanggung hutang dan beban kos operasi yang dilihat semakin tidak menentu. 

Katanya, pesawah akan menuai hasil padi sebanyak dua kali setahun di mana rata-rata mereka hanya merai purata pendapatan RM350 sebulan. 

"Ini kita nak panggil kategori apa? Bukan B40 dah ni. Mungkn kategori asnaf paling rendah," katanya lagi. 

Rashid berkata siri bantahan oleh pesawah akan diteruskan di beberapa negeri dengan kemuncaknya sebuah perhimpunan di Putrajaya minggu depan. 

"Secara tak rasmi, kita akan berkumpul di Putrajaya pada hari Rabu depan dan dijangka sebanyak 10 buah bas akan membawa pesawah ke sana menyertai bantahan dan serahan memorandum di depan bangunan kementerian." 


DULU 1974

PAK TANI

 TURUN BERDEMO

DI PEKAN BALING

AMIN

MAT SABU AJAR

PAK TANI 

TURUN BERDEMO

AMIN

SEKARANG 2025 

PAK TANI

 AKAN BERDEMO

RABU MINGGU 

DEPAN  DI PUTRA

AMIN

KHALAS

Tiada ulasan: