Serangan di Pantai Bondi: Penjual buah bergelut dengan penyerang diangkat sebagai 'wira'
SYDNEY: Rakyat Australia memuji seorang 'wira' selepas pergelutan beraninya dengan seorang lelaki bersenjata pada Ahad, membawa kepada pelucutan senjata penyerang dalam insiden tembakan terburuk di negara itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Tindakan berani penjual buah-buahan, Ahmed al Ahmed, 43, yang turut cedera terkena dua tembakan mendapat pujian Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang menyifatkan 'sangat berani' menyelamatkan banyak nyawa semasa serangan mengejut terhadap masyarakat Yahudi bagi meraikan perayaan Hanukkah.
Trump di Rumah Putih berkata, beliau turut menyatakan hormat yang besar terhadap lelaki yang melucutkan senjata penyerang itu dan memaklumkan lelaki itu kini berada di hospital dalam keadaan cedera agak serius.
Susulan tembakan maut di Pantai Bondi, Sydney, rakaman di media sosial memaparkan seorang lelaki mempertaruhkan nyawanya dengan memegang seorang lelaki bersenjata ketika penyerang itu melepaskan tembakan ke arah orang ramai.
Lelaki itu kemudian bergelut untuk merampas senjata api dari tangan penyerang sebelum menghalakannya ke arah suspek yang kemudian berundur.
Saluran tempatan 7News mengenal pasti lelaki berkenaan dan turut menemu ramah sepupu Ahmed dan memaklumkan mangsa kini berada di hospital.
"Kami berharap dia akan baik-baik sahaja dan dia seorang wira, 100 peratus.
""Dia masih berada di hospital dan kami tidak tahu dengan tepat apa yang berlaku di dalam... tetapi kami berharap dia akan baik-baik saja," katanya.
Mustafa berkata, doktor memaklumkan kepada keluarga bahawa Ahmed stabil selepas pembedahan.
Rakaman pergelutan itu menjadi tular dan Ahmed dipuji di dalam talian atas keberanian serta tindakan pantasnya yang dikatakan menyelamatkan beberapa nyawa.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese memuji Ahmed dan yang lain sebagai 'wira', begitu juga Premier New South Wales, Chris Minns.
Minns berkata, di sebalik kejahatan dan kesedihan, masih terdapat rakyat Australia yang sanggup mempertaruhkan nyawa untuk membantu orang yang tidak dikenali.
Sementara itu, pihak berkuasa berkata, lelaki bersenjata itu membunuh 16 orang dan mencederakan ramai lagi dalam apa yang digambarkan polis sebagai serangan pengganas yang menyasarkan komuniti Yahudi. - AGENSI


Tiada ulasan:
Catat Ulasan