Tentera Israel mahu roboh 25 bangunan kediaman di kem pelarian di Tebing Barat
TULKAREM: Tentera Israel dijangka merobohkan 25 bangunan kediaman di kem pelarian Nur Shams di utara Tebing Barat, minggu ini.
Gabenor wilayah Tulkarem, Abdallah Kamil, semalam berkata beliau dimaklumkan mengenai rancangan itu oleh agensi Kementerian Pertahanan Israel, COGAT.
COGAT bertanggungjawab menyelaras hal ehwal sivik di wilayah Palestin yang diduduki Israel, bagaimanapun enggan mengulas perkara itu.
Sementara itu, Ketua Jawatankuasa Rakyat bagi Kem Tulkarem, berhampiran Nur Shams, Faisal Salama, berkata perintah itu akan membabitkan 25 bangunan yang menempatkan sehingga 100 rumah.
"Kami dimaklumkan pihak tentera dan koordinasi sivik bahawa Israel akan melaksanakan perobohan 25 bangunan, Khamis ini," katanya.
Tentera Israel ketika dihubungi bagaimanapun menjelaskan sedang 'meneliti perkara itu'. Israel menduduki Tebing Barat sejak 1967.
Rejim Zionis melancarkan operasi berskala besar yang masih berlangsung sejak awal tahun ini, bertujuan membasmi kumpulan bersenjata Palestin dari kem pelarian di utara Tebing Barat, termasuk kem Nur Shams, Tulkarem dan Jenin.
Ia menyebabkan semua penduduk dipindahkan dan lebih 30,000 orang masih belum kembali ke rumah masing-masing.
Ketika operasi itu, Israel merobohkan ratusan rumah di rangkaian lorong padat yang membentuk kem terbabit bagi memudahkan akses tenteranya yang ditempatkan di dalam kawasan berkenaan.
Pengarah aagensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Roland Friedrich, pula berkata dianggarkan 1,600 rumah musnah sepenuhnya atau sebahagian akibat operasi itu.
Beliau berkata, ini menjadikannya 'krisis pemindahan paling teruk pernah dilihat di Tebing Barat sejak 1967'.
"Tiada keperluan ketenteraan langsung bagi perobohan ini," katanya sambil menyifatkannya 'sebahagian daripada strategi lebih luas untuk mengubah topografi di lapangan'.
Ramai penduduk percaya Israel cuba memusnahkan konsep kem, menjadikannya kawasan perumahan biasa bagi bandar berhampiran untuk menghapuskan isu pelarian.
Pada Isnin lalu, puluhan penduduk Nur Shams yang dipindahkan mengadakan tunjuk perasaan di hadapan kenderaan ketenteraan berperisai yang menghalang laluan ke kem itu, membantah perintah perobohan dan menuntut hak untuk kembali ke rumah masing-masing.
Nur Shams dan kem pelarian lain di Tebing Barat, ditubuhkan selepas 1948, apabila ratusan ribu rakyat Palestin dipindahkan dari kawasan yang kini menjadi Israel.
Seiring waktu, kem dibina di Tebing Barat berkembang menjadi kawasan perumahan padat yang tidak berada di bawah kuasa bandar berdekatan.
Penduduk mewariskan status pelarian mereka dari generasi ke generasi seterusnya. - AFP


Tiada ulasan:
Catat Ulasan