PAS sindir PM: Reformasi akhirnya dikuburkan secara rasmi
Sejurus Anwar Ibrahim mengumumkan rombakan barisan jemaah menterinya, PAS tampil dengan kritikan dan sindiran terhadap janji reformasi yang pernah dilaungkan perdana menteri.
Ketua Penerangan PAS Fadhli Shaari malah secara sinis mengucapkan takziah atas pengumuman yang tidak merombak jawatan dipegang perdana menteri.
“Kabinet baru akhirnya diumumkan. Perdana menteri masih (menjadi) menteri kewangan.
“Janji penting ‘reformasi’ akhirnya dikuburkan secara rasmi. Takziah,” katanya di media sosial, hari ini.
Terdahulu Anwar mengumumkan perubahan barisan menteri dan timbalan menteri dalam pentadbirannya.
Rombakan besar-besaran itu antara lain menyaksikan dua menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) digugurkan dari kabinet iaitu Zaliha Mustafa (Wilayah Persekutuan) dan Mohd Na'im Mokhtar (agama).
Zaliha digantikan oleh Hannah Yeoh yang sebelum ini menerajui kementerian belia dan sukan, manakala Mohd Na’im digantikan oleh timbalannya Zulkifli Hasan.
Pengumuman itu dibuat Anwar di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya petang ini.
Kata Anwar perubahan itu dibuat bagi memperkukuh kecekapan pentadbiran serta memastikan pelaksanaan dasar kerajaan lebih berkesan.
Sebelum ini, kabinet menyaksikan empat kekosongan portfolio menteri, iaitu menteri ekonomi yang disandang Rafizi Ramli; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.
Sementara itu, jawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri yang disandang Tengku Zafrul Abdul Aziz kosong selepas dia tamat tempoh pelantikan sebagai senator.
Untuk rekod tiga kekosongan terdahulu berlaku apabila penyandangnya - Rafizi, Nik Nazmi, dan Ewon - meletak jawatan.
Rafizi diganti dengan Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir, manakala Nik Nazmi digantikan pemimpin dari Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang juga komponen BN, Arthur Joseph Kurup.
Arthur sebelum ini memegang jawatan sebagai timbalan menteri pertanian dan keterjaminan makanan.
Kekosongan ditinggalkan Tengku Zafrul diisi Naib Presiden Umno dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Johari Ghani.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan