Khamis, 5 Mac 2026

KILANG KANG KONG SEGERA


KANG KONG

TUMBUH MERTA

KAH KAH KAH

KILANG AKAN

MENGELUARKAN

KANG KONG 

SEGERA

KHALAS


MAAC bimbang cadangan ‘PhD by Product’ oleh MQA

KONGRES Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) bimbang dengan pengumuman oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berhubung pelaksanaan inisiatif ‘PhD by Product’ yang dijangka diperkenalkan bermula tahun ini.

Sebagai badan yang mewakili suara akademik universiti awam dan memperjuangkan standard kecemerlangan pendidikan tinggi negara, MAAC dalam kenyataannya memandang serius implikasi dasar itu sekiranya ia dilaksanakan tanpa kerangka akademik yang jelas, telus dan berintegriti tinggi.

1) Risiko Pencairan Standard Akademik PhD


Ijazah Doktor Falsafah (PhD) secara tradisinya merupakan pengiktirafan tertinggi dalam hierarki akademik yang menuntut:
​•​Sumbangan ilmu baharu (original contribution to knowledge)
​•​Keteguhan dan kesahan metodologi penyelidikan
​•​Penilaian sejawat (peer review) yang ketat
​•​Viva voce yang menguji kedalaman falsafah dan teori

MAAC berpandangan bahawa pengiktirafan berdasarkan produk semata-mata, tanpa proses penyelidikan sistematik dan dokumentasi akademik yang setara dengan tesis, perlu diperhalusi bagi memastikan intipati falsafah dan standard ijazah PhD kekal utuh.

PhD bukan sekadar menghasilkan sesuatu yang inovatif, tetapi membina kerangka teori, metodologi, dan wacana ilmiah yang menyumbang kepada pengembangan disiplin ilmu secara berstruktur dan dapat diuji semula.

2) Kekaburan Definisi dan Kriteria Penilaian

Bagi memperkasakan kredibiliti inisiatif ini, MAAC mencadangkan agar MQA mengintegrasikan piawaian Technology Readiness Level (TRL) bagi produk teknikal dan Social Readiness Level (SRL) bagi produk inovasi sosial. Dengan menetapkan tahap ambang (threshold) yang tinggi iaitu produk yang telah diuji dalam persekitaran sebenar atau mencapai tahap prapengkomersialan, pihak universiti dapat memastikan bahawa ‘produk’ tersebut bukan sekadar prototaip asas, tetapi manifestasi daripada penyelidikan tahap doktor falsafah yang mendalam. Pendekatan proaktif ini akan memastikan kriteria penilaian adalah objektif, berintegriti, dan setara dengan standard MQF Level 8.

Tanpa garis panduan yang sangat terperinci dan standard nasional yang seragam, terdapat risiko ketidakkonsistenan antara institusi, sekali gus menjejaskan kredibiliti sistem kelayakan negara.

MAAC mencadangkan agar satu kerangka penilaian berstruktur diwujudkan dengan petunjuk prestasi utama (KPI) yang boleh diukur, seperti status pengkomersialan, perolehan paten atau harta intelek (IP), impak sosial melalui perubahan dasar, serta tahap ketersediaan teknologi (Technology Readiness Level – TRL) yang tinggi bagi membuktikan impak sebenar produk tersebut.


3) Implikasi Terhadap Reputasi Antarabangsa

Selaras dengan aspirasi Menteri KPT untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai Hab Pendidikan Tinggi Global, MAAC menekankan bahawa daya saing negara di pentas antarabangsa berpaksikan kepada kualiti ilmiah yang tidak berbelah bahagi. Pengenalan model ‘PhD by Product’ tanpa kawalan kualiti yang jitu berisiko menghantar isyarat salah kepada rakan strategik global dan badan akreditasi antarabangsa. Sebarang persepsi bahawa Malaysia menyediakan ‘laluan pintas’ atau mengkomersialkan ijazah kedoktoran akan menjejaskan nilai ijazah tempatan secara sistemik, sekali gus merencatkan usaha menarik bakat antarabangsa terbaik ke negara ini.

4) Perbezaan Antara Inovator Industri dan Sarjana Akademik

MAAC menyokong penuh anjakan ke arah ekonomi berasaskan inovasi dan mengiktiraf bahawa sumbangan industri adalah pemacu utama daya saing negara. Namun, MAAC menegaskan bahawa integrasi kecemerlangan industri ke dalam kerangka PhD mestilah memperkukuh — bukan menggantikan — ketegasan intelektual, bagi memastikan graduan kita bukan sahaja pakar teknikal, malah sarjana yang mampu menerajui penyelesaian global secara holistik.

MAAC mengiktiraf bahawa ramai inovator industri menghasilkan produk yang memberi impak besar kepada masyarakat. Namun demikian, pencapaian industri tidak semestinya setara dengan latihan penyelidikan doktor falsafah.

Jika objektifnya adalah mengiktiraf kecemerlangan inovasi, mekanisme yang lebih sesuai mungkin:
​•​Anugerah profesional tertinggi
​•​Doctor of Science (DSc) secara kehormat
​•​Laluan Recognition of Prior Experiential Learning (RPEL) yang ketat
​•​PhD by Publication dengan syarat penerbitan bereputasi tinggi dan telah melalui proses penilaian yang jitu.


Menggabungkan inovasi produk secara langsung sebagai pengganti tesis memerlukan justifikasi epistemologi yang sangat kukuh.

5) Cadangan MAAC

MAAC mencadangkan supaya:

1. Mencadangkan agar fasa rintis atau konsultasi mendalam dilaksanakan sebelum penyempurnaan penuh sehingga satu konsultasi nasional yang melibatkan universiti awam, profesor kanan, pakar metodologi, dan badan profesional diadakan.
2. MAAC turut menekankan kepentingan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan (multi-stakeholder seperti MAAC), termasuk pemimpin industri dan wakil MQA, bagi memastikan perspektif yang lebih luas diambil kira dalam menstruktur semula inisiatif ini
3. Satu kertas dasar komprehensif dibentangkan secara terbuka kepada komuniti akademik.
4. Sekiranya inisiatif ini diteruskan, MAAC mencadangkan pelaksanaan Model Hibrid ‘Inovasi-Sarjana’. Di bawah model ini, setiap ‘produk’ wajib disertakan dengan sebuah disertasi analitikal penuh yang berfungsi sebagai jambatan intelektual antara aplikasi praktikal dan kerangka teori. Disertasi ini perlu memperincikan tinjauan literatur, metodologi penyelidikan yang sistematik, serta analisis impak yang membuktikan sumbangan asli (original contribution) kepada disiplin ilmu berkaitan. Langkah ini kritikal bagi memastikan piawaian penilaian adalah setara dan tidak sesekali lebih rendah daripada PhD konvensional, sekaligus memelihara prestij ijazah kedoktoran negara.
5. Piawaian penilaian mesti setara dan tidak lebih rendah daripada PhD konvensional.

MAAC menegaskan bahawa inovasi dan impak industri amat penting dalam ekosistem pendidikan tinggi moden. Namun, dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global, kita tidak boleh mengorbankan asas integriti dan kualiti akademik yang menjadi tunjang sistem pengajian tinggi negara.

PhD adalah simbol autoriti ilmiah tertinggi. Sebarang reformasi terhadap struktur tersebut mesti dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, ketelitian dan perundingan menyeluruh.


MAAC komited untuk menyokong aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Nasional 2026–2035 dan Pelan Pengajian Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035, khususnya dalam memacu ekosistem inovasi yang dipacu impak serta melahirkan bakat yang ‘bersedia masa hadapan’ (future-ready). Kerjasama erat antara pihak akademik dan kerajaan adalah kunci bagi memastikan Malaysia bukan sekadar menjadi pengguna teknologi, tetapi pengeluar ilmu yang diiktiraf di peringkat global selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Apabila sakau menjadi agenda kilang phd...kat upm sampai 800 setaun mana duit tu pergi? Toilet kat sana pon cam toilet bus stand puduraya...kakakakka...

Tanpa Nama berkata...

Ada apa tak betul. "PhD by-product" tu "sisa PhD" .... Kangkung yang anggap sendiri kobis. Kakakakaka