Terirudin mungkin ikut perintah orang atas isu titah adendum, kata Zaid
Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim menggesa semua pihak bersikap adil terhadap hakim Mahkamah Persekutuan yang baru dilantik Ahmad Terrirudin Mohd Salleh di tengah-tengah tuntutan peletakan jawatannya.
Pengkritik mendakwa Ahmad Terrirudin bertanggungjawab menyembunyikan titah adendum yang menetapkan bekas perdana menteri Najib Razak harus menjalani baki hukumannya di bawah tahanan rumah.
“Mari berlaku adil kepadanya. Bagaimana jika dia hanya mengikut arahan? Bagaimana jika seseorang yang lebih tinggi mengarahkannya untuk menyembunyikannya?” soal Zaid dalam catatan media sosial.
Kenyataan Zaid itu dibuat sebagai menjawab tuduhan yang mengaitkan Ahmad Terrirudin, semasa menjadi peguam negara, dengan pengendalian titah adendum itu yang kini menjadi kontroversi.
Bekas menteri itu mempersoalkan sama ada Ahmad Terriruddin, sebagai penjawat awam, hanya berpegang kepada mantera “menurut perintah”.
“Bagaimana jika, kerana taat dan setia, dia diberi ganjaran dan dengan itu dinaikkan ke Mahkamah Persekutuan? Patutkah dia meletakkan jawatan?” soalnya.
Menurutnya, adalah lebih baik untuk polis menentukan sama ada wujud konspirasi, seperti yang didakwa Khairy Jamaluddin, untuk menyembunyikan titah tambahan itu.
Bagaimanapun, Zaid meragui bahawa polis akan mengaitkan mana-mana pihak atasan dalam konspirasi sedemikian.
"Inilah sebabnya saya sebelum ini mencadangkan agar perdana menteri dan seluruh kabinet meletakkan jawatan," tambahnya, sambil menyatakan bahawa "menyembunyikan" titah adendum itu merupakan tindakan yang menyalahi undang-undang.
Zaid menjawab soalan peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah, yang mendakwa bekas peguam negara itu sepatutnya mengakui kewujudan titah adendum itu dan membahaskan kesahihannya dan bukannya menyembunyikannya.
Sebelum ini, pendahulu Terrirudin, Mohamed Apandi Ali juga menggesa dia disingkirkan sebagai hakim Mahkamah Persekutuan.
Apandi berkata Terrirudin dan penggantinya, peguam negara semasa Mohd Dusuki Mokhtar, harus digugurkan kerana tidak telus mengenai kewujudan titah adendum itu.
Semalam, Umno Gua Musang, yang diketuai ahli politik veteran Tengku Razaleigh Hamzah, berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu bertanggungjawab berhubung isu itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan