Rakyat Malaysia digesa teruskan boikot kepentingan Israel selepas gencatan senjata di Gaza
Rakyat Malaysia perlu terus memulau perniagaan dan entiti yang anggap bersimpati dengan Israel walaupun dengan termeterainya perjanjian gencatan senjata baru-baru ini di Gaza, kata kumpulan di sebalik kempen global yang menyaksikan beberapa jenama Barat mencatatkan kerugian lebih setahun selepas negara Zionis melancarkan pembunuhan beramai-ramai yang setakat ini mengorbankan sekurang-kurangnya 50,000 orang awam Palestin.
Cawangan tempatan pergerakan Boycott, Divestment, Sanctions (BDS Malaysia) mengingatkan pengguna supaya tidak melupakan kezaliman yang masih berterusan di wilayah yang diduduki.
"Realitinya, Israel masih melanggar hak-hak asasi rakyat Palestin," kata pengerusinya Mohd Nazari Ismail kepada MalaysiaNow.
Gesaan itu dibuat ketika taikun Vincent Tan, yang memiliki rangkaian kopi Starbucks di Malaysia, yang menjadi sasaran penyokong pro-Palestin di seluruh dunia di samping McDonald's dan KFC, sekali lagi menyuarakan bantahan terhadap gerakan boikot tersebut, kali ini di sebalik gencatan senjata yang mula berkuat kuasa semalam.
"Apakah keperluan untuk terus memboikot Starbucks? Tidak perlu berbuat demikian," kata Tan seperti dipetik Malaysiakini.
Malah sebelum perjanjian gencatan senjata itu, Tan dilaporkan mendakwa pengguna mula kembali ke Starbucks kerana yakin syarikat itu tidak mempunyai peranan dalam perang di Gaza.
Nazari mengakui bahawa sesetengah rakyat Malaysia mungkin mula mengabaikan boikot terhadap kepentingan Israel kerana gencatan senjata itu dapat menamatkan ketidakadilan di Palestin.
Katanya, sejak 14 bulan lalu, apa yang berlaku di Gaza telah mendedahkan kekejaman Israel kepada seluruh dunia.
"Oleh itu, keperluan untuk mengekalkan kempen boikot demi keadilan dan pembebasan Palestin adalah jelas," tambahnya.
Nazari berkata BDS akan meningkatkan kempennya dalam beberapa hari akan datang, termasuk menganjur bantahan pada 24 Januari untuk menggesa dua entiti berkait kerajaan, Permodalan Nasional Berhad dan Sime Darby, menghentikan pembelian jentera pembinaan daripada Caterpillar, firma AS yang dituduh bersubahat dengan jenayah Israel.
Pada Jun tahun lalu, dana pencen swasta terbesar di Norway menolak saham dan bon Caterpillar Inc bernilai hampir AS$70 juta atas kebimbangan syarikat itu terpalit dengan pelanggaran hak asasi manusia kerana menyediakan jentolak untuk merobohkan kediaman penduduk Palestin bagi memberi laluan kepada penempatan Yahudi di Tebing Barat dan Gaza.
Starbucks dan syarikat makanan segera jenama Barat lain seperti McDonald's dan KFC, di samping pengilang makanan seperti Nestle, merupakan antara yang paling terjejas akibat boikot antarabangsa.
Ia berterusan walaupun terdapat usaha kreatif dilakukan pemilik francais di negara Islam untuk menunjukkan mereka tiada kaitan dengan dasar AS di Timur Tengah, di mana lebih 50,000 orang awam di Gaza dan Lubnan terbunuh akibat pengeboman besar-besaran Israel sejak Oktober 2023.
Di Malaysia, Starbucks turut berhadapan saingan sengit daripada francais kopi tempatan dan serantau yang mula bercambah, seterusnya menjejaskan keuntungan gergasi kopi itu tahun lalu.
Starbucks Malaysia, yang dimiliki oleh konglomerat Tan, Berjaya Corporation, juga memiliki rangkaian kedai runcit 7-Eleven, di mana pengerusinya ialah Farhash Wafa Salvador, bekas setiausaha politik kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Tan berulang kali menggesa rakyat Malaysia menamatkan kempen boikot, sambil mengulangi alasan seperti ia dimiliki tempatan dan menggaji rakyat tempatan. Alasan seperti itu kerap diutarakan jenama francais lain namun gagal membendung gerakan boikot anti-Israel.
Tahun lalu, pemimpin DAP dan menteri persekutuan Nga Kor Ming menyerang pihak yang menganjurkan boikot sebagai "penghasut" yang mahu merosakkan ekonomi negara.
"Jangan sekali-kali masuk dalam perangkap penghasut, negara kita memerlukan usaha semua pihak untuk membangunkan ekonomi negara," kata Nga, yang sebelum ini merasmikan pembukaan kedai Starbucks baharu di kementeriannya di Putrajaya tidak lama sebelum perang meletus Gaza.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan