Ahli rasa dipaksa berbaik dengan DAP, kata veteran Umno
AHLI akar umbi Umno kini keliru kerana perlu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya negeri akan datang, kata pemimpin veteran parti Melayu itu.
Setiausaha Veteran Umno Malaysia Mustapha Yaakub berkata, ahli berkenaan juga berasa seperti dipaksa untuk menerima kerjasama dengan PH terutama dengan DAP.
Katanya, sikap itu diperhatikannya berpunca dari pendirian Umno sendiri yang sebelum ini menegaskan tidak akan bekerjasama dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim dan DAP.
“Ahli keliru kerana sebelum PRU15 slogan ‘No DAP, No Anwar’ dijaja, tapi sekarang bila berkerjasama dengan PH seolah-olah ‘Yes DAP, Yes Anwar’.
“DAP yang menjadi musuh tradisi Umno sekarang menjadi kawan. Ahli Umno seperti dipaksa berbaik-baik dengan DAP,” kata Mustapha kepada The Malaysian Insight.
Jelasnya, ahli berkenaan juga tetap menaruh curiga dan sukar berubah sikap kerana mereka selama ini melihat parti DAP memusuhi orang Melayu.
Sikap itu berbeza dengan persepsi ahli berkenaan ke atas bukan Melayu dalam MIC dan MCA yang menjadi sekutu Umno sejak bekerjasama dalam parti Perikatan pada zaman pramerdeka.
“Mereka bukan anti-Cina tetapi anti-DAP yang selama ini anti-Melayu. Mereka biasa mengundi calon Cina dan India sebelum ini kerana MCA dan MIC rakan kongsi Umno dalam BN sejak Perikatan.
“Jadi sentimen politik akan menjadi halangan kepada ahli Umno untuk menerima rakan baharu dalam PH khususnya DAP,” kata Mustapha lagi.
Tambahnya rasa curiga itu sukar untuk diubah dalam sekelip mata untuk bekerjasama bagi menghadapi PRN yang semakin hampir.
“Umno curiga dan tidak percayakan DAP dan DAP juga curiga dan tidak percayakan Umno. Sekian lama bermusuh dan berlawan sekarang hendak berbaik dan berkawan,” katanya.
Beliau tetap berharap para pemimpin parti dapat memujuk ahli parti dengan bijak bagi menamatkan kecurigaan tersebut memandangkan kerjasama dalam kerajaan perpaduan masih rapuh.
“Walaupun bukan mudah untuk memujuk hati yang marah tetapi tidak mustahil ianya mampu disejukkan. Tidak ada kawan dan lawan yang kekal dalam politik.
“Umno dan DAP tidak ada pilihan lain kalau mahu kekal bersahabat dan berkerjasama melainkan saling bantu membantu bagi memenangi calon masing-masing dalam PRN nanti,” katanya.
Beliau juga menggesa pemimpin BN dan PH saling berusaha menjelaskan kepada akar umbi masing-masing bagi menjamin kerjasama kedua-dua parti kekal untuk jangka masa panjang.
“Pendek atau panjangnya kerjasama di antara Umno dan PH bergantung kepada kebijaksanaan nakhoda masing-masing mengemudikan bahtera partinya ...
“Sekiranya nakhoda gagal mengemudi dengan betul maka bahtera akan hanyut tenggelam. Tapi sekiranya nakhoda bijak mengemudi maka bahtera itu akan selamat menuju pantai.
“Perlu diingat bahawa kerjasama ini rapuh yang kalau tidak berhati-hati maka ianya jatuh pecah berkecai,” tambah Mustapha.
Kerjasama BN dan PH bahal teruji di Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, dan Terengganu yang akan mengadakan PRN.
Kempen mengeratkan kerjasama di antara kedua-dua parti dikesan sejak beberapa hari lalu apabila pemimpin Umno dan DAP menggesa ahli parti mengundi calon kedua-dua parti.
Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan antara lain meminta ahli parti menyokong calon DAP di kawasan masing-masing bagi memperkukuh kedudukan kerajaan perpaduan.
Gesaan sama turut dibuat Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Teo Nie Ching yang meminta ahli dan penyokong parti itu memberi sokongan dan undi kepada calon Umno pada PRN nanti.
Katanya, Umno kini merupakan parti komponen dalam kerajaan perpaduan dan sokongan itu penting bagi memastikan kestabilan politik di peringkat pusat mahupun negeri. – 26 Mei, 2023.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan