DAH REHAT
DUA MINGGU
AMIN
DUA MINGGU
KUMPUL SENJATA
KUMPUL TENAGA
SERANG KEMBALI
ZIONIS AMERIKA
KHALAS
Rundingan masih tergantung, AS dan Iran beri amaran sedia berperang
TEHRAN: Amerika Syarikat (AS) dan Iran semalam masing-masing memberi amaran bersedia untuk berperang ketika tempoh gencatan senjata hampir tamat dengan rundingan masih tergantung.
Rundingan diumumkan Presiden AS, Donald Trump, yang akan disambung semula di Pakistan masih belum membuahkan hasil, sebaliknya menyaksikan permusuhan antara kedua-dua negara semakin tegang.
Rumah Putih berkata, Naib Presiden AS, JD Vance, bersedia untuk kembali ke ibu negara Pakistan, Islamabad dan sedang membuat persiapan bagi pusingan kedua rundingan dalam usaha menamatkan perang di Asia Barat yang menggoncang ekonomi global.
Bagaimanapun, kerajaan Iran yang dipimpin ulama enggan mengesahkan penyertaan mereka dan menuduh AS melanggar gencatan senjata melalui sekatan ke atas pelabuhan Iran, selain bertindak merampas kapal milik negara itu.
"Melalui sekatan dan pelanggaran gencatan senjata, Trump mahu menjadikan meja rundingan ini sebagai medan 'menyerah diri' atau menghalalkan permusuhan baharu, mengikut kehendaknya.
"Kami tidak menerima rundingan dalam suasana terdapat ancaman dan dalam tempoh dua minggu lalu, kami telah bersiap sedia untuk menggunakan strategi baharu di medan perang," kata Speaker Parlimen Iran yang berpengaruh, Mohammad Bagher Ghalibaf, menerusi platform X.
Beliau mengetuai delegasi rundingan di Pakistan, dua minggu lalu.
Satu lagi isu utama dalam rundingan AS-Iran ialah simpanan uranium diperkaya Tehran, yang menurut Trump, pada Jumaat lalu telah dipersetujui untuk diserahkan.
Bagaimanapun, Kementerian Luar Iran memaklumkan, uranium terbabit, yang dipercayai ditanam selepas pengeboman AS dalam perang 12 hari dengan Israel pada Jun lalu, 'tidak akan dipindahkan ke mana-mana'.
Jurucakap kementerian itu, Esmaeil Baqaei, berkata penyerahan uranium 'tidak pernah dibangkitkan sebagai pilihan' dalam rundingan dengan perunding AS.
Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) memberi amaran akan menyasarkan mana-mana kapal yang cuba melalui Selat Hormuz tanpa kebenaran.
Trump turut menuduh Tehran melanggar gencatan senjata dengan mengancam kapal di perairan Selat Hormuz, laluan transit bagi 20 peratus minyak dunia, yang hampir ditutup Iran sebagai tindak balas terhadap perang yang dilancarkan AS dan Israel.
Dalam satu daripada beberapa hantaran berbaur kemarahan di platform Truth Social, Trump menegaskan sekatan itu 'benar-benar memusnahkan' Iran dan tidak akan ditamatkan 'sehingga terdapat perjanjian' dengan AS, bagi mendesak konsesi Iran terhadap program nuklearnya yang dipertikaikan.
Trump memberitahu PBS News, Iran 'sepatutnya hadir' dalam rundingan di Pakistan.
"Kami bersetuju untuk berada di sana," katanya yang turut memberi amaran, jika gencatan senjata tamat, serangan bom skala besar akan dilancarkan.
Beliau turut memberitahu Bloomberg News, 'tidak mungkin' tempoh gencatan senjata selama dua minggu itu akan dilanjutkan.
Secara teorinya, gencatan senjata terbabit dijangka tamat tengah malam ini waktu Tehran, walaupun dalam kenyataan kepada Bloomberg, Trump berkata, ia berakhir sehari kemudian, iaitu petang Rabu waktu Washington. - AFP






