Thaksin mohon maaf kes pembunuhan beramai-ramai di selatan Thailand
BANGKOK: Selepas lebih 20 tahun berlalu, bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, akhirnya memohon maaf atas kematian puluhan penunjuk perasaan beragama Islam yang maut akibat sesak nafas di dalam trak tentera, di selatan negara itu.
Permohonan maaf itu dipercayai yang pertama dibuat secara terbuka berhubung kes yang dikenali sebagai 'Pembunuhan Beramai-ramai Tak Bai' dan selepas empat bulan tempoh had masa kes berakhir, sekali gus menyebabkan tuduhan bunuh terhadap tujuh suspek digugurkan.
Tragedi itu sudah lama menjadi simbol kekebalan pihak berkuasa di wilayah selatan Thailand, yang majoriti penduduknya beragama Islam.
Kawasan itu terus berdepan konflik antara pasukan keselamatan kerajaan dan kumpulan pemisah yang menuntut autonomi lebih besar bagi wilayah yang mempunyai budaya serta pegangan agama berbeza daripada negara majoriti Buddha itu.
Thaksin, perdana menteri ketika tragedi itu berlaku, menyatakan permohonan maaf itu semalam, atas sebarang tindakan yang mungkin menyebabkan rasa tidak senang dalam kalangan penduduk.
"Ketika saya menjadi perdana menteri, saya mempunyai niat yang kuat untuk menjaga kebajikan penduduk tempatan," katanya ketika ditanya mengenai tragedi itu dalam lawatan pertamanya ke selatan sejak 19 tahun lalu.
"Jika ada sebarang kesilapan atau ketidakpuasan hati yang berpunca daripada saya, saya ingin memohon maaf," katanya.
Pengasas bersama kumpulan hak asasi Thailand, Duay Jai, Anchana Heemmina, berkata kepada AFP bahawa ini adalah kali pertama Thaksin mengemukakan permohonan maaf.
"Jika beliau benar-benar ikhlas, beliau juga perlu memohon maaf secara bersemuka kepada keluarga mangsa," katanya.
Pada 25 Oktober 2004, pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah kumpulan penunjuk perasaan yang berhimpun di luar sebuah balai polis di pekan Tak Bai, wilayah Narathiwat, berhampiran sempadan Malaysia, sekali gus mengorbankan tujuh orang.
Selepas itu, 78 lagi tahanan maut akibat sesak nafas selepas mereka ditahan dan dimuatkan secara bersesak di belakang trak tentera Thailand dalam keadaan tertiarap dengan tangan diikat ke belakang.
Pada Ogos tahun lalu, sebuah mahkamah wilayah menerima kes jenayah yang difailkan oleh keluarga mangsa terhadap tujuh pegawai, termasuk bekas komander tentera yang dipilih ke Parlimen mewakili parti Pheu Thai pimpinan keluarga Shinawatra pada 2023.
Namun, pegawai terbabit mengelak daripada hadir ke mahkamah, menyebabkan kes itu tidak dapat diteruskan.
Pada Oktober lalu, Perdana Menteri, Paetongtarn Shinawatra, yang juga anak perempuan Thaksin, berkata, tempoh had masa kes terbabit tidak dapat dilanjutkan.
Kes itu menjadi simbol kurangnya tanggungjawab pihak berkuasa mahupun pemerintah di wilayah selatan yang ditadbir di bawah undang-undang darurat serta dibanjiri pasukan tentera dan polis.
Sehingga kini, tiada anggota pasukan keselamatan Thailand pernah dipenjara atas kes pembunuhan di luar proses undang-undang atau penyeksaan di selatan Thailand, meskipun pelbagai dakwaan pencabulan hak asasi direkodkan selama bertahun-tahun.
Konflik di wilayah bergolak itu meragut lebih 7,000 nyawa sejak Januari 2004. - AFP


1 ulasan:
Permohonan maaf tidak boleh menghidupkan 80orang yang sengaja dibiar mati.
Semua malaon yang terlibat wajid diheret ke penjara!
Bayar pampasan kepada semua keluarga seumur hidup!
Catat Ulasan