Iran tegaskan tidak akan tunduk pada mana-mana pembuli
KAHERAH: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, menegaskan Iran tidak akan 'tunduk kepada mana-mana pembuli', membalas kritikan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terhadap Tehran semasa lawatannya ke Asia Barat.
"Dia (Trump) fikir dia boleh datang ke sini, melaungkan slogan dan menakutkan kami. Bagi kami, syahid jauh lebih manis daripada mati di atas katil.
"Kamu datang untuk menakutkan kami? Kami tidak akan tunduk kepada mana-mana pembuli," katanya dalam kenyataan yang disiarkan secara langsung di televisyen negeri.
Beliau berkata demikian susulan kritikan Trump yang menuduh Tehran terbabit dalam perang proksi di rantau Teluk.
Russia jangka hubungan dengan ASEAN terus berkembang - Putin
Terdahulu, pada Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di Riyadh, Trump menyatakan hasrat untuk mencapai perjanjian dengan Iran.
Namun, beliau menegaskan Tehran mesti menghentikan sokongan terhadap kumpulan pengganas, menamatkan perang proksi berdarah, serta menghentikan sepenuhnya program senjata nuklear secara kekal dan membuktikannya.
Menurut laporan, Washington dan Tehran telah mengadakan empat rundingan dengan Oman sebagai pengantara, bagi mencapai kata sepakat mengenai program nuklear Iran.
Dalam satu majlis makan malam negara di ibu negara Qatar, Doha, pada Rabu, Trump mengulangi pendiriannya bahawa beliau mahu penyelesaian secara aman dicapai berhubung isu nuklear Iran dan menyatakan bahawa langkah seterusnya terletak di tangan Tehran.
"Ia keadaan yang berbahaya, dan kami mahu lakukan perkara yang betul. Kami mahu buat sesuatu yang boleh menyelamatkan berjuta nyawa. Kerana perkara seperti ini boleh meledak dan jadi di luar kawalan," katanya.
Pada Selasa, Trump menegaskan, beliau bersedia untuk membuat perjanjian dengan Iran, tetapi jika kepimpinan Iran menolak tawaran untuk berdamai, AS tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tekanan maksimum.
Beliau turut mengulangi pendiriannya tidak akan membenarkan Iran memiliki senjata nuklear.
Sejak sekian lama, pentadbiran AS cuba menghalang Iran daripada membina senjata nuklear.
Usaha itu membuahkan hasil melalui Perjanjian Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) pada 2015 di bawah pentadbiran bekas Presiden AS, Barack Obama.
Namun, sebaik Trump mengambil alih jawatan Presiden, beliau bertindak menarik diri secara sebelah pihak daripada perjanjian tersebut pada 2018, sekali gus menyebabkan JCPOA terbatal.
Meskipun terdapat rundingan yang berterusan, pentadbiran Trump tetap meneruskan tekanan ke atas Iran dengan pelbagai sekatan.
Pada Rabu, AS mengumumkan sekatan baharu terhadap Iran, menyasarkan individu dan entiti yang didakwa terbabit dalam usaha membangunkan komponen tempatan untuk peluru berpandu balistik.
Jabatan Perbendaharaan AS berkata, enam individu dan 12 entiti dikenakan sekatan kerana terbabit dalam usaha menyokong program peluru berpandu Iran dengan membekalkan bahan-bahan kritikal yang diperlukan untuk pembinaan sistem senjata itu. - AGENSI


Tiada ulasan:
Catat Ulasan