TERKINI: Hamas, Israel tandatangani fasa pertama perjanjian damai Gaza
WASHINGTON: Israel dan Hamas sudah menandatangani fasa pertama perjanjian damai Gaza yang dicadangkan oleh Amerika Syarikat (AS), membenarkan pembebasan semua tebusan Israel, kata Presiden Donald Trump pada Rabu.
"Saya amat berbangga untuk mengumumkan bahawa Israel dan Hamas sudah menandatangani fasa pertama Rancangan Keamanan kami.
"Ini bermakna semua tebusan akan dibebaskan tidak lama lagi, dan Israel akan mengundurkan tentera mereka ke garisan yang dipersetujui sebagai langkah pertama ke arah keamanan yang kekal dan," kata Trump di Truth Social.
Pengumuman itu dibuat sehari selepas ulang tahun kedua serangan Hamas ke atas Israel yang mencetuskan serangan dahsyat Israel ke atas Gaza.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, beliau akan mengadakan mesyuarat kabinet pada Khamis untuk meluluskan perjanjian gencatan senjata Gaza yang bertujuan membawa pulang semua tebusan Israel.
"Hari yang hebat untuk Israel," tambah Netanyahu dalam satu kenyataan susulan pengumuman Trump bahawa perjanjian sudah dicapai antara Israel dan Hamas untuk menamatkan perang dua tahun di Gaza.
Sementara itu, Hamas menggesa Trump dan negara penjamin supaya memastikan Israel melaksanakan gencatan senjata sepenuhnya.
"Perjanjian sudah dicapai untuk menamatkan perang Gaza, kami menyeru untuk memastikan Israel melaksanakannya (pengunduran dan pertukaran tebusan)," katanya.
Sebelum ini, Hamas menegaskan mereka optimis terhadap rundingan tidak langsung dengan Israel bagi menamatkan perang di Gaza, dengan menyerahkan senarai tahanan yang mahu dibebaskan sebagai pertukaran kepada pembebasan tebusan Israel menerusi satu perjanjian damai.
Rundingan itu bertujuan memuktamadkan pelan 20 perkara yang dikemukakan Trump bulan lalu yang sudah mendapat maklum balas positif daripada kedua-dua pihak, Israel dan Hamas.
Pelan berkenaan merangkumi gencatan senjata, pembebasan semua tebusan, pelucutan senjata Hamas serta pengunduran berperingkat tentera Israel dari Gaza.
Pegawai Kanan Hamas, Taher al-Nunu, dilaporkan berkata semua pengantara sedang berusaha keras untuk menyingkirkan sebarang halangan terhadap pelaksanaan gencatan senjata dan semangat optimisme kini menyelubungi semua pihak.
Menurut pihak berkuasa Gaza, lebih 65,000 rakyat Palestin terbunuh dan wilayah itu musnah dengan serangan pertama dilancarkan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.
Israel pula melaporkan 1,200 orang terbunuh dan 251 lagi dibawa ke Gaza sebagai tebusan pada hari terbabit.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan