Selasa, 24 Februari 2026

YB PKR BERONTAK LAWAN ANWAR BIN IBRAHIM


INI TANDA JELAS 

RAFIZI MAKIN

DIIKTIRAF SEBAGAI

GANTI KEPADA

ANWAR

BIN IBRAHIM

KHALAS


10 Ahli Parlimen PKR mungkin tolak, berkecuali undi RUU pemisahan kuasa Peguam Negara - Rafizi

KUALA LUMPUR:  Mohd Rafizi Ramli (PH-Pandan) memaklumkan 10 Ahli Parlimen PKR mungkin menolak atau mengambil pendirian berkecuali ketika proses pengundian Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026, sekiranya semua syor penambahbaikan cadangan akta itu ditolak kerajaan.

Beliau berkata keputusan kumpulan wakil rakyat itu bagaimanapun akan dimuktamadkan selepas mempertimbang dapatan mesyuarat Jemaah Menteri yang akan diadakan Jumaat ini.

Selain keputusan mesyuarat Jemaah Menteri, bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata pandangan dan syor dikemukakan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) serta Perikatan Nasional (PN) akan turut diteliti sebelum keputusan lanjut dimuktamadkan.

"Kalau kerajaan berkeras juga (menolak semua cadangan penambahbaikan RUU berkenaan), jadi kami perlu membuat keputusan... dan kerana ini memerlukan majoriti dua pertiga, jadi kerajaan perlu mempertimbangkan sebaik-baiknya.

"The last thing that the government wants is do not push us to the wall (Perkara terakhir yang kerajaan mahukan ialah jangan memaksa kami ke sudut yang tersepit)," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026 bagi melantik Pendakwa Raya dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat selepas lapan tahun dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

RUU itu selaras pengasingan peranan Pendakwa Raya daripada Peguam Negara bagi mengadakan peruntukan lindung jamin bagi Pendakwa Raya, selain meminda perkara berkaitan membabitkan kedua-dua perjawatan itu.

Cadangan akta yang akan dikuatkuasakan apabila diluluskan Parlimen itu menyaksikan Perdana Menteri tidak mempunyai sebarang peranan dalam proses pelantikan Pendakwa Raya.

Pelantikan itu sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong selepas dicalonkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) dan diluluskan Majlis Raja-raja.

Tambah Rafizi, kerajaan perlu mengambil serius syor penambahbaikan dikemukakan itu memandangkan bilangan 10 Ahli Parlimen atau kira-kira satu pertiga daripada keseluruhan 31 Ahli Parlimen PKR bukan jumlah yang kecil.

"Kami sudah menyuarakan (pandangan) dengan baik, tetapi langsung tidak diambil kira, apatah lagi cadangan ini bukannya tidak masuk akal.

"Jumlah 10 orang (Ahli Parlimen) daripada PKR sahaja adalah besar. Jadi kita tunggu mesyuarat Jemaah Menteri dan perkembangan selepas itu, selain mengambil kira pandangan parti lain.

"Kalau setiap parti mempunyai pandangan berbeza, maksudnya tidak mudah untuk kerajaan mendapat (undi) dua pertiga. Jadi kerajaan tidak rugi untuk mengambil kira dan memperkemas RUU ini dalam suasana semua menyokong," katanya.

Selain Rafizi, kumpulan itu dianggotai Wong Chen (Subang), Rodziah Ismail (Ampang), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Lee Chean Chung (Petaling Jaya), S Kesavan (Sungai Siput), Zahir Hassan (Wangsa Maju),  Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Onn Abu Bakar (Batu Pahat) dan Hassan Karim (Pasir Gudang).

Perlu rujuk JKPK Parlimen

Terdahulu, Rafizi berkata, RUU berkenaan perlu dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi), selari semangat pemisahan kuasa antara cabang Eksekutif dan Perundangan.

Ini kerana, katanya, jawatankuasa berkenaan perlu mendapatkan maklum balas dan pendirian rentas parti daripada ahli Parlimen untuk menambah baik cadangan pindaan Perlembagaan sedia ada.

Beliau juga mahu fungsi Parlimen dimasukkan dalam proses pelantikan Pendakwa Raya dengan calon melepasi tapisan prosiding pengesahan perlu diundi di Dewan Rakyat sebelum diangkat kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Fungsi Parlimen juga perlu dimasukkan dalam proses pemecatan Pendakwa Raya dengan memasukkan mekanisme supaya Dewan Rakyat boleh membuat usul memulakan proses tribunal ke atas Pendakwa Raya yang memerlukan undi dua pertiga untuk diluluskan.

"Jika diluluskan, Parlimen berhak membuat representasi kepada Yang di-Pertuan Agong supaya tribunal ditubuhkan seperti kaedah digariskan dalam cadangan Perkara 145A," katanya.

Mengulas lanjut, Rafizi menyifatkan tempoh lantikan Pendakwa Raya selama tujuh tahun terlalu panjang dan wajar dipendekkan kepada empat tahun kerana ia boleh menjadikan individu dilantik ke jawatan itu terlalu berkuasa merentasi beberapa kerajaan.

"Tempoh terlalu lama juga akan memisahkan kuasa rakyat yang dizahirkan di peti undi daripada mempunyai apa-apa makna kepada perjalanan pentadbiran undang-undang," katanya.


Tiada ulasan: