PANDANGAN
MAT SABU
PERPECAHAN UMAT: ISRAEL TIDAK KUAT, TETAPI KITA YANG MENJADI LEMAH
Berkali-kali saya tegaskan bahawa hakikat sebenar yang sedang berlaku di hadapan mata dunia hari ini ialah: Israel bukanlah terlalu kuat, tetapi umat Islamlah yang terlalu lemah kerana terus berpecah-belah.
Ketika Israel dan Amerika Syarikat berganding bahu menyerang sesiapa sahaja yang menentang agenda Zionisme di rantau Asia Barat, sebahagian umat Islam masih tenggelam dalam perbahasan yang sempit, mempertikaikan soal mazhab, mempersoalkan sama ada pihak tertentu layak dibela hanya kerana perbezaan pegangan fiqh dan aliran teologi.
Sedangkan bagi Israel dan sekutu-sekutunya, mereka tidak pernah peduli seseorang itu Sunni atau Syiah. Mereka tidak pernah bertanya apa mazhab kamu sebelum menjatuhkan bom, melepaskan peluru, atau mengenakan sekatan. Bagi mereka, sesiapa sahaja yang menentang Zionisme Israel adalah musuh yang mesti dihancurkan.
Sebab itu mereka membunuh tokoh-tokoh pejuang daripada pelbagai latar, daripada ulama dan pimpinan gerakan Sunni seperti Sheikh Ahmad Yassin, Abdul Aziz al-Rantisi, Ismail Haniyeh, dan Yahya Sinwar, hinggalah kepada tokoh-tokoh Syiah seperti Sayyid Hassan Nasrallah, Qassem Soleimani, dan Ayatullah Sayyed Ali Khamenei, yang menjadi antara simbol utama penentangan terhadap hegemoni Zionis dan kuasa Barat di rantau tersebut.
Malah perjuangan menentang Zionisme juga tidak pernah terhad kepada kelompok Islamis semata-mata. Dalam sejarah Palestin, tokoh-tokoh nasionalis dan sosialis seperti Leila Khaled, George Habash, Wadie Haddad, Nayef Hawatmeh, serta ramai pejuang daripada gerakan kiri Palestin dan Arab turut mengangkat senjata serta mempertaruhkan nyawa dalam perjuangan menentang penjajahan Israel.
Ini membuktikan satu hakikat penting:
Musuh memahami bahawa sesiapa sahaja yang menentang Zionisme adalah ancaman, tanpa mengira mazhab, aliran politik, atau ideologi.
Begitu juga pemimpin-pemimpin negara yang pernah mengambil pendirian menentang hegemoni Barat dan Zionis seperti Saddam Hussein, Muammar Gaddafi, dan Bashar al-Assad, semuanya pernah menjadi sasaran tekanan, serangan atau usaha penyingkiran oleh kuasa-kuasa besar yang sama.
Namun malangnya, ketika musuh bersatu atas agenda penjajahan mereka, umat Islam pula masih berpecah atas perkara-perkara cabang dan khilafiah.
Allah SWT telah memberi amaran yang jelas dalam al-Quran:
"Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai." Surah Ali ‘Imran, ayat 103
Tetapi realitinya hari ini, umat Islam adalah antara umat yang paling berpecah di muka bumi.
Masjid dan surau dipenuhi perbahasan yang memecah-belahkan, mimbar dan kuliah kadangkala lebih banyak menanam kebencian sesama Muslim daripada membina kesedaran terhadap musuh sebenar umat.
Dalam keadaan Masjid Al-Aqsa terus dicemari dan disekat, rakyat Gaza dibunuh, disekat makanan dan ubatan, bahkan rumah ibadat agama lain juga tidak terlepas daripada kekejaman Zionis, masih ada umat Islam yang memilih untuk menumpukan tenaga kepada pertelingkahan mazhab, menghukum sesama sendiri, dan memaki hamun atas nama agama.
Lebih menyedihkan, terdapat negara-negara Islam yang kaya-raya membuka pintu seluas-luasnya kepada kehadiran tentera asing, menjadi pangkalan strategik kuasa Barat, membeli senjata bernilai berbilion dolar tetapi bukan untuk mempertahankan Palestin, sebaliknya untuk menjamin kelangsungan rejim masing-masing dan kadangkala digunakan terhadap sesama umat Islam.
Kekayaan umat Islam yang sepatutnya menjadi sumber kekuatan akhirnya dipergunakan untuk mengukuhkan kuasa mereka yang menindas umat Islam sendiri.
Allah SWT telah mengingatkan:
"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim, kelak kamu akan disentuh api neraka."
Surah Hud, ayat 113
Apa yang lebih memalukan ialah ketika rakyat di Eropah, Amerika Latin dan pelbagai negara bukan Islam bangkit turun ke jalan raya membela Palestin dan menentang genosid Zionis, sebahagian besar dunia Islam masih gagal menunjukkan kesatuan dan keberanian yang sepatutnya.
Kita menyaksikan gerakan-gerakan penentangan terhadap Zionis terdiri daripada pelbagai latar, Sunni, Syiah, nasionalis, kiri, Islamis, boleh mengenepikan perbezaan demi menghadapi musuh bersama. Tetapi banyak negara Islam yang memiliki kekuatan ekonomi dan ketenteraan pula masih terikat dengan pakatan strategik bersama Amerika dan sekutu-sekutunya.
Inilah tragedi besar umat pada zaman ini:
Musuh kita bersatu atas kebatilan, tetapi kita berpecah walaupun berada di atas kebenaran.
Selagi umat Islam gagal membezakan antara perbezaan yang boleh diraikan dengan perpecahan yang membawa kehancuran, selagi itulah kita akan terus menjadi umat yang diperhitungkan hanya pada angka, bukan pada kekuatan.
Sudah tiba masanya umat Islam kembali kepada keutamaan sebenar perjuangan, bukan bertelagah pada perkara furuk yang kecil, tetapi bersatu mempertahankan maruah umat, membela yang tertindas, dan menentang kezaliman di mana sahaja ia berlaku, sama ada di Palestin, Iran, Syria, atau mana-mana bumi yang rakyatnya dizalimi.
Jika umat ini terus gagal memahami hakikat ini, maka jangan kita hairan jika sejarah terus berulang:
kita ramai pada bilangan, tetapi lemah pada tindakan;
kita kaya pada sumber, tetapi miskin pada keberanian;
kita kuat pada retorik, tetapi lumpuh pada penyatuan.
Israel tidak kuat.
Tetapi umat Islam menjadi lemah kerana memilih untuk terus berpecah.
"Ya Allah, segerakanlah pertolongan buat umat Muhammad, zahirkanlah Imam Mahdi, dan turunkanlah Nabi-Mu Isa ibn Maryam sebagai pembela bagi hamba-hamba-Mu yang tertindas serta pembebas bumi suci daripada kezaliman para penjajah."
Amin ya Rabbal ‘Alamin.
MOHAMAD BIN SABU
Presiden
Parti Amanah Negara
Isnin, 13 April 2026


Tiada ulasan:
Catat Ulasan