KUALA LUMPUR: Siapa sangka kucing yang buta sebelah mata berjaya menarik perhatian juri untuk dipilih menjuarai pertandingan kucing di Kota Bharu, Kelantan.
Kucing jalanan bernama John yang kini berusia kira-kira setahun setengah itu muncul juara kategori kucing kampung/KKU (kucing kurang upaya) pada pertandingan Mega Meow Fiesta Kelantan VOL2 anjuran RJ Cats pada Sabtu lalu.
Kemenangan itu membolehkan pemiliknya, Aftisa Ahmad Fahmy, 54, membawa pulang piala, roset, makanan kucing, hamper dan jongkong emas seberat 0.25 gram.
Aftisa mengakui tidak menyangka John mampu muncul juara kategori berkenaan yang turut disertai lebih 20 kucing lain.
"Saya masuk pertandingan sekadar suka-suka dan sasaran kalau dapat kelompok 10 terbaik pun sudah cukup baik. Tambahan pula, kucing yang masuk (pertandingan) bukan calang-calang.
"Jadi kalau dapat nombor 10 atau nombor lima pun saya sudah gembira, tetapi memang rezeki John apabila diumumkan sebagai juara," katanya.
Mengimbau pertemuannya dengan John, Aftisa berkata, dia menemui kucing itu dalam keadaan kurus dan tidak terurus ketika mengunjungi pasar Ramadan di Kota Bharu pada Ramadan tahun lalu.
Katanya, ketika itu John berada berhampiran sebuah kedai dan kelihatan sangat manja menyebabkan dia berasa kasihan sebelum mengambil keputusan membawanya pulang.
"Saya beri nama John sempena roti John yang dijual berhampiran tempat ia ditemui. Selepas dua atau tiga hari dibawa pulang, mata kanannya mengalami ulser dan membengkak akibat jangkitan kuman.
"Ketika itu saya tidak sempat membawanya ke klinik veterinar kerana mereka sudah bercuti sempena Aidilfitri. Keadaan matanya semakin teruk sehingga pecah.
"Selepas Aidilfitri, John dibawa mendapatkan rawatan veterinar, namun mata kanannya tidak dapat diselamatkan dan terpaksa dibuang menerusi pembedahan," katanya.
Menurutnya, selepas melalui proses pemulihan, dia memberikan penjagaan terbaik termasuk vitamin dan makanan sesuai sehingga John kembali sihat.
Kehilangan sebelah mata langsung tidak menjejaskan pergerakan John kerana kucing itu sangat aktif, bijak, manja dan tidak takut apabila berhadapan dengan orang ramai.
"John memang sangat manja dan tidur bersama saya. Walaupun hanya boleh melihat guna sebelah mata, dia aktif melompat ke sana sini dan bermain dengan kucing lain," katanya.
Afisa yang turut memelihara empat kucing lain yang diselamatkan dari jalanan, mengakui bangga kerana usahanya menyelamat dan menjaga John akhirnya membuahkan hasil dan bukti kucing jalanan juga mampu menyerlah jika diberikan penjagaan sewajarnya.
"Jangan pandang sebelah mata dengan kucing kampung kerana ia juga boleh menjadi cantik dan berkualiti, sekiranya dijaga dengan baik. Selepas ini sekiranya ada pertandingan lagi, sasaran saya adalah untuk John mendapat Best in Show pula," katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan RJ Cats Grooming Centre and Academy, Rosdey Jais, berkata pertandingan itu bukan sekadar mencari kucing berbaka semata-mata, sebaliknya mahu membuktikan setiap kucing berhak dihargai.
Atas sebab itu, pihaknya memperkenalkan kategori khas kucing kampung dan KKU sebagai platform untuk mengangkat martabat kucing jalanan serta memberi peluang yang sama.