Adly janji satukan rakyat Melaka, hargai semua wakil rakyat
PERKARA pertama yang akan dilakukan calon Ketua Menteri Melaka Pakatan Harapan Adly Zahari, sekiranya gabungan itu diberikan mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri kali ini ialah menyatupadukan rakyat dan menghargai setiap wakil rakyat, tanpa mengira parti.
Adly percaya dua langkah itu akan menstabilkan pentadbiran kerajaan negeri untuk bertahan lama.
“Bila kita tadbir negeri, pertama harus dibuat adalah satukan rakyat di Melaka, perkara asas adalah kestabilan politik.
“Sebab itu kita gariskan dalam pelan tindakan (PH) kita harus hargai semua wakil rakyat kerana mereka pemimpin tak kira latar belakang parti,” kata Adly.
Bekas ketua menteri Melaka ke-11 itu berkata demikian kepada The Malaysian Insight dalam wawancara eksklusif, di pejabat Amanah Melaka, baru-baru ini.
Pengerusi Amanah Melaka itu berkata pentadbirannya akan memastikan setiap wakil rakyat, baik kerajaan mahupun pembangkang, diberi peruntukan sama rata.
Langkah itu juga menurutnya menunjukkan PH bukan sahaja menghormati wakil rakyat tetapi juga pilihan yang dibuat rakyat yang memilih wakil mereka.
“Bagaimana nak menghargai mereka? Kalau ketua pembangkang bertaraf exco, kalau Adun mempunyai peruntukan sama dengan Adun lain.
“Dengan cara itu kita bukan sahaja boleh menghormati wakil rakyat tapi menghormati keputusan rakyat.
“Secara tak langsung kita bina satu kestabilan politik dalam negeri dan negara,” kata calon PH bagi kawasan DUN Bukit Katil.
Tumpu ekonomi
Adly juga berkata beliau akan turut memberi penekanan kepada aspek ekonomi sekiranya PH kembali mentadbir Melaka.
“Soal pekerjaan adalah perkara utama, pertama, ada pekerjaan dan kedua, tambah pendapatan.“Sebab itu sama ada dalam bentuk insentif, galakan atau tambahan pengetahuan kepada rakyat harus diberi keutamaan.
“Dalam tempoh setahun ini rakyat harus diberi penekanan bantuan, dan juga kemahiran untuk mereka meneruskan kehidupan,” kata Adly.
Tuah rakyat Melaka
Naib Presiden Amanah itu menyifatkan rakyat Melaka bertuah kerana dapat membandingkan antara dua kerajaan negeri – PH dan BN – memandangkan kedua-duanya pernah mentadbir negeri.
“Rakyat berpeluang buat perbandingan, saya memimpin selama 22 bulan, (bekas ketua menteri BN) Tok Leman (Sulaiman Md Ali) memimpin 18 bulan.
“Mungkin tempohnya tak seimbang tapi bagai saya tempoh itu cukup untuk rakyat buat perbandingan.
“Pegawai kerajaan pernah berkhidmat kepada saya dan pegawai kerajaan sama pernah berkhidmat di bawah Tok Leman. Kalau ditanya saya berkeyakinan mereka boleh buat perbandingan, begitu juga rakyat di bawah,” kata Adly.
Untuk itu, Adly berkeyakinan, program hari ketua menteri bertemu rakyat Melaka yang dilaksanakan pentadbirannya sebelum ini dapat memberi kelebihan untuk PH diterima rakyat.
Program itu katanya membolehkan rakyat Melaka bersemuka dengan ketua menteri dan mengadu tentang masalah mereka.
“Kalau disebut rakyat Melaka, sampai di Asahan, utara di Kuala Linggi, selatan di Sungai Rambai, sebenarnya setiap pemimpin boleh buat dasar, tapi apakah dasar dia sampai (kepada rakyat).
“Satu kelebihan saya fikir saya buat adalah hari bertemu rakyat, tak mudah pemimpin melaksanakan itu kerana hari itu hari rakyat bercakap kita mendengar.
“Antara cabaran di Malaysia rakyat selalu bangkitkan pemimpin susah nak jumpa, bila belum dipilih senang nak jumpa waktu dipilih rakyat susah nak jumpa, apatah lagi kalau dia itu ketua menteri,” kata Adly.
Menurutnya, melalui program sedemikian, pentadbiran kerajaan dapat menyelesaikan setiap permasalahan dihadapi rakyat dengan lebih cepat.
“Saya selama 22 bulan tanpa gagal setiap minggu saya bertemu rakyat dan dengar antara 60-100 orang, setiap minggu apa masalah dan bagi kita selesaikan masalah mereka.
“Bukan 100% masalah rakyat boleh kita selesaikan, ada masalah perlu masa panjang, tapi daripada laporan setiap kali saya bertemu mereka ada jawatankuasa yang menilai balik apakah masalah rakyat itu diselesaikan.
“Secara puratanya lebih 85% masalah rakyat itu kita dapat selesaikan,” kata Adly lagi.
Malah, Adly juga yakin program itu akan diteruskan dalam pemerintahannya jika diberi peluang sekali lagi.
“Itu ruang saya berikan dan kalau diberikan tanggungjawab ini memang saya akan teruskan itu.
“Memang bukan mudah seorang ketua menteri mendengar keluhan semua keseluruhan rakyat Melaka tapi ruang perlu diberi dan PH berikan ruang itu kepada rakyat,” tambahnya.
Melaka akan menghadapi PRN ke-15 hujung minggu ini selepas DUN dibubarkan kerana kerajaan hilang majoriti selepas terdapat empat Adun menarik sokongan mereka daripada menyokong Sulaiman.– 18 November, 2021.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan