Khamis, 18 November 2021

SAP TAHU MALAON SASGRAWAN INI ?

 


Isu plagiat: Persatuan penulis perlu bersikap

MINGGU ini kita didendangkan lagi dengan satu Wacana yang membuka Minda kita berkenaan kes plagiat. Kali ini bukan plagiat ulasan buku seperti yang terjadi beberapa bulan lalu dan bukan orang kebanyakan – malahan “jaguh” puisi dan juga “tokoh” dalam pendidikan.

Isu plagiat ini sudah lama beredar di Malaysia dan sehingga kini masih tidak selesai. Puisi sang pelaku yang berjaya disiarkan di sebuah majalah sastera paling terkemuka di Malaysia ini rupanya hasil plagiat. Yang diambilnya itu bukanlah orang ada-ada – tetapi (mungkin) orang biasa-biasa dan dirasainya peminat puisi tidak perasan akan hal ini.

Adegan pertama berjaya dirakamkan melalui pihak editorial majalah tersebut sendiri yang mengesahkan puisi itu diplagiat dan memohon maaf. Saya tidak menyalahkan editor. Ya, memang benar editor perlu mengetahui banyak perkara, tetapi amat mustahil baginya untuk membaca keseluruhan puisi di atas muka bumi ini dan ingat kesemuanya.

Isunya pada sikap peribadi si penulis (si plagiat?) itu sendiri. Tergamak untuk salin dan tampal begitu saja? Persis pelajar yang mahir menggunakan huruf C dan V pada papan kekunci dan tak perasan huruf lain. Di manakah sifat seorang manusia yang bermoral?

Bagaimana seorang pendidik, seorang tokoh seni, tokoh sastera, seorang yang menduduki kerusi setiausaha sebuah persatuan penulis membuat benda yang sangat jelik sebegitu?

Tetapi adegan ini tidak mati di sini saja. Adegan ini ditambah bumbu oleh “tentera” di Twitter dan Facebook. Mereka menjumpai puisi yang agak lama – juga diplagiat. Sadisnya di sini puisi tersebut milik seorang insan yang sudah kembali ke rahmatullah.

Sejurus editor majalah tersohor tadi memuat naik permohonan maaf di laman Facebook, beberapa ketika setelah itu hantaran tersebut hilang – dipadam. Saya percaya ada tangan-tangan halus yang mengawal sang editor ibarat puppet.

Kerusi editor di bahagian majalah sastera adalah kerusi paling panas sekali. Jarang sekali di bahagian lain setanding bara dan bahang di kerusi ini. Kerusi inilah yang pernah dihenyak jagoan dunia penulisan – yang saya fikir kalau saya perkenalkan lagi sosoknya, saya akan dianggap bodoh.

Kerusi yang sama kini tercemar dek kerana tangan tadi. Penonton di bawah ini yang mendongak tinggi memandang menara milik sang “penguasa sastera” akan membuat satu spekulasi – jahat ataupun baik.

Siapakah yang meminta hantaran tersebut dipadamkan? Bagaimana sikap dari pengelola penerbitan? Apakah yang berlaku di dalam menara setinggi 37 tingkat tersebut?

Editor sudah menyatakan sikapnya menyelar dan memohon maaf terhadap siaran puisi tersebut, tetapi mengapa ia dipadam?

Kesalahan bukan pada editor – tetapi perlu diingatkan dalam hati masing-masing, ada kerusi yang lebih empuk daripada kerusi editor yang kita boleh buat spekulasi, kerusi inilah yang mengarahkan editor untuk padam hantaran tersebut.

Andai kata kita bersangka baik, pun, mengapa tiada permohonan maaf daripada sang penulis sendiri?

Rupanya bukan dua puisi itu saja di-C-dan-V-kan; “tentera bawang” kita masih tidak kenal erti lelah. Saya percaya ketidakpuasan hati mereka ini rentetan daripada kemarahan peminat puisi dan sastera terhadap tangan-tangan halus tadi. Dicarinya tulisan sebelum ini dan terjumpa sekurang-kurangnya dua rencana yang diplagiat.

Lebih epik dalam adegan kali ini, yang mana dua sumber C-dan-V itu diperoleh daripada penulis mapan – dan salah seorangnya anak sasterawan negara.

Sang pemplagiat memang jaguh, berani untuk mencabar dengan bertindak sebegitu rupa dengan menyiarkan dalam akhbar tempatan, dan ciplakkan dari jurnal akademik lalu disiarkan di majalah.

Itu hal pemegang autoriti bahasa di Malaysia. Hal persatuan pun menambah persoalan kepada penonton yang sibuk menyelongkar isu ini. Sehingga kini tiada mana-mana persatuan bahasa atau sastera yang menyelar tindakan perbuatan ini.

Setiausaha agung badan penyair ini perlu dilucutkan jawatan untuk memberi pengajaran kepada orang ramai. Tutupkan saja pintu rumah penerbitan untuk dia melangkah masuk. Biarkan dia keseorangan.

Mana sikap persatuan bahasa dan sastera? Mana badan penyair? Apakah takut dengan setiausaha sendiri? Mana seni untuk seni? Mana seni untuk masyarakat?

Beberapa badan perlu bersuara dalam hal ini, bukannya badan berkecuali atau ciapan di Twitter saja yang menghangatkan isu ini.

Nanti apa kata orang – adakah kita mahu orang ramai memandang ini sebagai hal biasa dalam dunia penulisan kreatif?

Hal ciplak ini setiap minggu pensyarah saya berpesan ketika kelas, sangat pantang baginya. Biar muridnya tidak pandai menulis dengan baik asalkan bukan ciplakkan dari orang lain.

Cara dan teknik untuk memetik satu-satu rencana diajar dengan teknik betul – bukannya guna huruf C dan V dan tidak kreditkan kepada penulis asal. Dengan itu, saya kira sang pemplagiat tersebut perlu menukar papan kekuncinya kepada perkakasan yang lengkap 27 huruf.

Makhluk ini yang diakui menteri pengajian tinggi sebagai Tokoh Bahasa Melayu membuat perkara jijik sebegini. Walhal sebagai seorang tokoh, sepatutnya dia sendiri sedar dan belajar bagaimana puisi dan esei sastera dapat memupuk nilai moral dan integriti yang tinggi.

Tiada mana-mana bahan sastera yang mengajar untuk menjadi jahat seperti itu.

Sekarang timbul isu bagaimana sikap kementerian pula untuk tindakan makhluk ini? Tangan menteri sudah digerakkan untuk mengesahkan ketokohan sosok ini, jadi hal ini secara langsung akan memburukkan nama kementerian dan menteri terbabit.

Sangat ironi dan kelakar (sekarang pun saya masih ketawa ketika menaip ini), beberapa tahun lalu si penciplak turut hadir menjadi pemudah cara untuk satu forum – berbual mengenai plagiat puisi. Sudahlah ia berlangsung dalam bangunan yang memegang autoriti bahasa, malah juga jemputan panelnya bukan sembarangan tokoh sastera dan undang-undang. Dia sebagai moderator yang mengawal rentak wacana itu pun akhirnya kecundang dan kini memplagiat puisi. Ironi!

Beberapa hari mendatang ini, saya berharap badan penguasa bahasa, badan penyair, badan sasterawan, malah kementerian juga perlu masuk campur dan menyatakan sikap.

Editor memainkan peranan yang tepat dalam hal ini – sekurang-kurangnya sudah menyatakan sikap. Tetapi yang lain, yang kononnya persatuan untuk menjaga kebajikan penulis, perlu memainkan peranan yang lebih besar dan menghukum sang pelaku.

Cukuplah koruptor politik di luar sana terlepas daripada hukuman sebab memakai “full-harness” (baca: kabel) yang kuat. Masakan dalam dunia kesusasteraan pun kita masih memberi harness dan carabiner yang kukuh untuk seseorang yang ada pangkat dalam persatuan masih bertahan di jurang tebing?

Mahukah kita melihat peminat sastera tidak lagi ghairah untuk menekuni sastera dek ketiadaan nilai moral sebegini?

Jika ini masih berlaku dan orang awam tidak nampak hukuman yang setimpal diberikan pada sang pelaku, saya risau satu hari nanti tangan-tangan yang mengawal kita seperti boneka ini tidak lagi rasa bersalah dalam diri dan akhirnya kita sendiri tidak berani bersikap dan menjadi lalang yang mengikut rentak bayu. – 18 November, 2021.

* Naim Al-Kalantani, penuntut ijazah sarjana muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang penulisan kreatif di bawah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem.


 SAPA TAHU

MALAON INI ?

AMIN

MARI KITA

KENALI

SASGRAWAN INI

AMIN

SAPA ADA

MAKLUMAT SILA

PAPARKAN

AMIN

WAJIB DI KENALAI

SASGRAWAN

AL-BODEKI INI

KHALAS

Tiada ulasan: