Isnin, 30 September 2024

AL- FATIHAH



Jenazah Hassan Nasrallah sudah ditemui

BEIRUT: Jenazah Setiausaha Agung Hizbullah, Hassan Nasrallah, yang terbunuh dalam serangan udara Israel di selatan Beirut, sudah ditemui, menurut sumber yang rapat dengan pergerakan itu kepada AFP, semalam.

"Jenazahnya ditemui pada Sabtu dan sudah dikafankan semalam (Ahad) selepas dimandikan," kata sumber itu, yang enggan dikenali.

Di Iran, pemimpin kanan meratapi kematian seorang anggota kanan Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) yang terbunuh bersama Nasrallah, dan Tehran menggesa mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) diadakan berhubung tindakan Israel.

Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, telah dipindahkan ke lokasi yang selamat di Iran selepas pembunuhan Nasrallah, menurut sumber kepada Reuters.

Jasad Nasrallah dilaporkan ditemui dalam keadaan utuh di lokasi serangan pada Jumaat, menurut sumber perubatan dan sumber keselamatan kepada Reuters. Hizbullah belum mengumumkan bila pengebumiannya akan diadakan.

Sebelum kematiannya pada Jumaat lalu, ketika jet Israel menyerang kubu kuat Hizbullah di selatan ibu negara Lebanon, Nasrallah dianggap sebagai orang paling berkuasa di negara itu.

Selama lebih tiga dekad, beliau mengetuai gerakan yang disokong oleh Iran yang juga musuh ketat Israel.

Seorang Senator di Amerika Syarikat (AS), Mark Kelly, berkata bom yang Israel gunakan untuk membunuh Nasrallah adalah buatan senjata berpandu buatan AS seberat 2,000 paun (900 kilogram).

Serangan udara Jumaat lalu juga membunuh komander tertinggi kumpulan itu, Ali Karake, di selatan Lubnan, kata Hizbullah semalam.

Pergerakan itu bagaimanapun, tidak menamakan orang lain yang meninggal dunia bersama Nasrallah dan Karake.

Bagaimanapun, tentera Israel berkata, bahawa 'lebih 20 pemimpin lain daripada pelbagai pangkat' turut terkorban dalam serangan itu.

Pihak berkuasa di Lubnan memberikan angka sementara enam kematian, tetapi memandangkan skala kemusnahan yang berlaku, jumlah kematian dijangka lebih tinggi.

Pinggir selatan Beirut dan selatan serta timur Lubnan telah menjadi sasaran pengeboman hebat Israel sejak Isnin, dengan Kementerian Kesihatan negara itu melaporkan lebih 1,000 orang terbunuh, 6,000 cedera dan ratusan ribu orang kehilangan tempat tinggal. - AGENSI

AL- FATIHAH



Tiada ulasan: