Pentagon perkasa sokongan udara, siap siaga hantar tentera ke Asia Barat
WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) berkata pihaknya sudah meningkatkan keupayaan sokongan udara dan meletakkan tenteranya pada tahap kesediaan tinggi untuk dihantar ke Asia Barat.
Pada masa sama, AS memberi amaran kepada Iran supaya tidak 'bertindak keterlaluan' dan perbesarkan konflik serantau susulan serangan Israel di Gaza, Tebing Barat, Lubnan dan yang terbaharu, Yaman.
Pengumuman itu dibuat dua hari selepas Presiden Joe Biden mengarahkan Pentagon menyelaras penyesuaian semula kedudukan pasukan tentera AS di Asia Barat, terutama selepas pembunuhan pemimpin Hizbullah yang disokong Iran, Hassan Nasrallah.
Jurucakap Pentagon, Mejar Jeneral Patrick Ryder, dalam satu kenyataan, berkata AS berazam untuk menghalang Iran, rakan kongsi dan proksi yang disokong Iran daripada mengeksploitasi keadaan atau meluaskan konflik.
Beliau juga mengingatkan bahawa jika Iran atau kumpulan Tehran 'menggunakan kesempatan itu untuk menyasarkan kakitangan atau kepentingan AS di rantau itu, AS akan mengambil setiap langkah yang perlu untuk mempertahankan rakyatnya'.
Kenyataan Pentagon tidak banyak mendedahkan mengenai saiz atau skop penempatan udara baharu, dengan hanya mengatakan, 'kami akan memperkukuh lagi keupayaan sokongan udara pertahanan kami pada hari mendatang'.
Israel menyerang lebih banyak sasaran di Lubnan sejak Ahad, menekan Hizbullah dengan serangan baharu selepas pembunuhan Nasrallah dan beberapa komander tertinggi pergerakan itu, dalam kempen ketenteraan yang semakin sengit.
Serangan itu memberikan tamparan hebat kepada Hizbullah selepas hampir setahun berbalas tembakan merentas sempadan, mengorbankan sebahagian besar kepimpinannya dan mendedahkan kelemahan ketara dalam keselamatan.
Pada masa sama, ia juga menimbulkan persoalan mengenai matlamat Washington yang mengisytiharkan secara terbuka untuk membendung konflik dan melindungi kakitangan AS di seluruh Asia Barat.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, John Kirby, pada Ahad berkata, AS sedang memerhati bagi melihat apa yang dilakukan Hizbullah untuk cuba mengisi kekosongan kepimpinannya, dan terus bercakap dengan Israel mengenai langkah seterusnya.
Jabatan Negara AS masih belum mengarahkan pemindahan keluar warga AS dari Lubnan.
Namun, minggu lalu, pegawai AS memberitahu Reuters, Pentagon menghantar puluhan lagi tentera tambahan ke Cyprus untuk membantu tentera bersedia menghadapi sebarang senario termasuk pemindahan rakyat AS dari Lubnan. - REUTERS
2 ulasan:
USA ni biang keladi...hantar satu bom nuclear ke tengah usa baru padan muka. Sibuk kacau hal negara orang...sabotaj negara dia sikit.
Kah kah kah adakah akan selamat? Kena pindah ke planet lain, nanti jadi pendatang di sana pulak? Akan ada isu ketuanan tak? Akan ada kuota lagi tak kah kah kah kalau kena batang tubuh baru tahu perihal kesakitan orang lain ya
Catat Ulasan