Selasa, 31 Disember 2024

JANGAN BEBASKAN NAJIB - DIA PENCURI


Panduan untuk banduan
Oleh A Kadir Jasin

PADA, 28 Disember, Jabatan Peguam Negara mengeluarkan kenyataan bertajuk “Pengampunan banduan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong”.

2. Ia menyebut perkara-perkara berikut:

i. Berdasarkan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong berkuasa untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

ii. Perkara 42(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan antara lain bahawa Yang di-Pertuan Agong juga boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah.

iii. Dalam hal ini, keputusan yang dibuat oleh Yang diPertuan Agong, atas nasihat Lembaga Pengampunan menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, juga adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang terpakai bagi mengelakkan tindakan sedemikian dicabar di mahkamah kerana tidak sah dari segi undang-undang.

iv. Sehubungan dengan itu, Kamar ini telah dititahkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memaklumkan bahawa semua permohonan mengenai pengampunan bagi kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya hendaklah dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut tatacara dan saluran yang telah ditetapkan di bawah undangundang dan bukannya mana-mana saluran lain.

v. Oleh itu, sekiranya mana-mana pihak ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan termasuk Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak menghabiskan baki tempoh hukumannya dengan ditahan di rumahnya, permohonan berkenaan perkara tersebut hendaklah dikemukakan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengikut tatacara dan saluran yang telah ditetapkan di bawah undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.

Jabatan Peguam Negara
28 Disember 2024.

3. Dipendekkan cerita, mana-mana pihak yang ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan, termasuk Mohd Najib, menghabiskan baki hukuman dengan ditahan di rumah, hendaklah kemukakan permohonan kepada Lembaga Pengampunan.

4. Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong akan buat keputusan ikut tatacara dan saluran yang telah ditetapkan di bawah undang-undang dan peraturan yang sedang berkuat kuasa.

5. Natijahnya, dengan kenyataan ini, kontroversi dan soal jawab mengenai “titah adendum” Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong berkaitan pemenjaraan di rumah ke atas Mohd Najib Abdul Razak terhenti dengan sendirinya.

6. Sama ada titah itu wujud atau tidak adalah akademik dalam erti kata ia tidak lagi mempunyai sebarang aplikasi praktikal. Maaf kalau interpretasi saya tidak betul.

7. Secara lojiknya, kita sudah boleh meramalkan yang Mohd Najib akan merayu.

8. Yang dihukum kerana curi Milo atau roti dari pasar raya pun kena dipertimbangkan juga. Para peguam hak asasi mohon bantu banduan tanpa payung ini!

9. Sekadar perbincangan. Dalam hal pengampunan ini, faktor jenayah atau kesalahan sangat penting. Pengampunan diberikan kerana si pemohon telah melakukan kesalahan jenayah yang menyebabkan dia dihukum.

10. Daripada sudut falsafah dan pengertian, orang yang tidak melakukan kesalahan jenayah tidak akan dihukum dan dengan itu tidaklah perlu memohon pengampunan.

11. Hanya orang yang melakukan kesalahan jenayah dan dihukum saja perlu atau boleh memohon pengampunan.

12. Betullah, kalau tidak buat salah, pasal apa hendak minta diampunkan?

13. Satu lagi, tempat buat jenayah itu pun relavan kepada proses pengampunan. Orang yang merancang lakukan perbuatan jenayah dan bercadang minta pengampunan kalau masuk jel, kena tahu.

14. Undang-undang kata, kuasa pengampunan ke atas kesalahan jenayah yang dilakukan di kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya adalah di tangan Yang di-Pertuan Agong. Kesalahan yang dilakukan di negeri-negeri lain, kuasa pengampunan adalah di tangan Raja, Sultan atau Yang di-Pertua Negeri masing-masing.

15. Sebaik-baiknya, janganlah buat jenayah. Apatah kalau kamu itu Perdana Menteri atau orang politik tersohor yang siang malam melaungkan slogan demi agama, bangsa dan negara.

16. Katakanlah gian sampai tahap gaban. Nak kena buat juga. Pergilah buat di tempat yang kegianan kamu itu bukan kesalahan. Katakan gian nak lari bogel. Pergilah ke tempat yang ada kem orang bogel (nudist camp). Google ada bagi “list of places where social nudity is practised”.

Sekian. Terima kasih.


Tiada ulasan: