Pemilihan PKR dijangka saksikan perebutan jawatan pimpinan kanan
KUALA LUMPUR: Pemilihan PKR yang dijadual berlangsung sekitar pertengahan tahun depan dijangka menyaksikan banyak perebutan jawatan pimpinan kanan di peringkat induk dan sayap parti, kecuali penyandang presiden yang dijangka kekal tidak dicabar.
Kecenderungan itu selari kedudukan semasa parti diterajui Anwar Ibrahim itu yang menjadi antara tunjang Kerajaan Perpaduan dan presidennya pula Perdana Menteri.
Mandat barisan pimpinan parti ketika ini berakhir Mei tahun depan, namun Anwar sebelum ini mahu pemilihan disegerakan yang akan membuka ruang kerjasama di antara tenaga muda dengan pemimpin lama berganding bahu menguruskan parti dengan lebih efektif.
Menurut pemerhati politik, individu yang rapat dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkenaan mungkin membuat penampilan semula dalam politik arus perdana, termasuk mencalonkan diri merebut jawatan lebih tinggi dalam parti pada pemilihan akan datang.
Antaranya ialah Shamsul Iskandar Md Akin yang kini Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri dan berpengalaman luas dalam politik, pernah berkhidmat sebagai bekas Ketua Penerangan PKR, Ahli Parlimen Hang Tuan Jaya dan Timbalan Menteri Industri Utama.
Nama beliau pernah menjadi bualan dan digelar 'giant killer' pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) selepas menewaskan Ketua Menteri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam. Pada PRU15, beliau menentang satu lagi nama besar politik negara, Ahmad Zahid Hamidi di kerusi Parlimen Bagan Datuk, namun tewas tipis.
Ketika dihubungi BH, Shamsul Iskandar mengesahkan bakal mencalonkan diri pada pemilihan parti nanti, namun tidak memperincikan apa jawatan mahu ditandingi.
Bagaimanapun, sumber dalaman parti memberitahu BH, Pengerusi Biro Antarabangsa PKR itu mungkin mengintai jawatan naib presiden, mengambil kira pengalaman dan jawatan kanan disandangnya sekarang dalam pentadbiran Perdana Menteri.
Empat Naib Presiden yang menang pemilihan bagi penggal 2022-2025 ialah Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.
Sementara itu, BH difahamkan, jawatan Timbalan Presiden PKR yang kini disandang Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli juga mungkin dicabar sekali lagi oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution yang juga Ketua Setiausaha Sekretariat PH dan bekas Setiausaha Agung PKR.
Mereka pernah bersaing pada pemilihan penggal 2022-2025 yang menyaksikan Ahli Parlimen Pandan itu menang dengan kelebihan lebih 16,000 undi mengatasi bekas Setiausaha Agung PKR itu.
Selain Shamsul Iskandar dan Saifuddin Nasution, Muhammad Kamil Abdul Munim yang kini berkhidmat sebagai Setiausaha Politik Menteri Kewangan merangkap Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) mungkin mencalonkan diri merebut jawatan ketua sayap itu yang disandang Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli.
Bagi jawatan Ketua Wanita PKR yang ketika ini disandang Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, dua Ahli Parlimen disebut bakal mencabar Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal itu.
1 ulasan:
kau yang sibuk. kau ahli pkr ke? pergi jaga tepi kain pas serta kain hadi tu. dasar lalang kaki kelentong. Kah kah kah!
Catat Ulasan