Bekas presiden Brazil ditahan berkaitan kes rasuah, pengubahan wang haram
SAO PAULO: Hakim Mahkamah Agung Brazil, Alexandre de Moraes, semalam mengarahkan penahanan segera bekas Presiden Brazil, Fernando Collor de Mello, selepas menolak rayuan terhadap sabitan lampau beliau berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram.
Arahan itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Agung pada tahun 2023 yang menjatuhkan hukuman penjara selama lapan tahun dan 10 bulan terhadap Collor, iaitu presiden pertama Brazil yang dipilih melalui undian popular selepas berakhirnya pemerintahan diktator tentera pada 1985.
Dalam satu kenyataan, pasukan pembelaan Collor menyatakan mereka "terkejut dan bimbang" dengan keputusan Moraes, namun menegaskan bekas presiden itu akan akur dengan perintah mahkamah berkenaan.
Moraes turut meminta supaya satu sesi bersama panel penuh Mahkamah Agung diadakan bagi menentukan sama ada keputusannya akan dikekalkan atau sebaliknya.
Sabitan Collor pada 2023 adalah hasil siasatan pihak pendakwa raya Brazil yang mendakwa beliau menerima kira-kira 30 juta reais (RM25.20 juta) dalam bentuk rasuah daripada sebuah anak syarikat milik syarikat minyak negara, Petrobras.
Collor mula memegang jawatan Presiden Brazil pada tahun 1990, namun tidak menamatkan penggalnya apabila Kongres meluluskan usul pemecatan beliau dua tahun kemudian berikutan skandal rasuah berasingan.
Bagaimanapun, Mahkamah Agung membebaskannya daripada tuduhan itu pada tahun 1994. Beliau kemudiannya kembali ke arena politik sebagai senator.- REUTERS


1 ulasan:
Welcome, selamat kembali dan tahniah Bro TT. Apapun cuma nak pesan supaya Bro TT bersikap adil saksama dalam menyalurkan berita harian, cara penyampaian terbaik simple mudah difahami cuma ideologi jangan terlalu terikat dengan kaum agama supaya pembaca dapat menghargai sumbangan Bro TT. Itu saja...
Catat Ulasan