NGO lapor polis, bantah tindakan Pemuda Sosialis anjur Himpunan LGBT
KLANG – Badan bukan kerajaan (NGO) Epanco Malaysia membuat laporan polis ke atas Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang berhasrat menganjurkan Himpunan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) di Petaling Jaya, 21 Jun ini.
Pengerusi Epanco Malaysia, Ariffin Abu Bakar berkata, NGO Melayu Islam itu menolak sekeras-kerasnya budaya songsang yang cuba disuburkan Pemuda Sosialis yang jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Kita mengharap pihak berkuasa dan pemimpin negara memandang serius perkara ini, perhimpunan ini satu budaya hidup yang sangat tidak sihat.
“Ia seolah-olah satu ancaman khususnya kepada anak-anak muda yang tidak dapat menahan soal sosial yang melampau, ini tidak termasuk soal hiburan melampau,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Terdahulu beliau bersama 20 ahli Epanco Malaysia membuat laporan polis ke atas Pemuda Sosialis di Balai Polis Klang Selatan, di sini, semalam.
Ariffin berharap pihak berkuasa khususnya Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menghalang Pemuda Sosialis daripada menganjurkan Himpunan LGBT yang bertentangan dengan agama Islam dan budaya di negara ini.
“Tindakan Pemuda Sosialis itu bertentangan dengan ajaran agama Islam, jadi kami memohon pihak berkuasa untuk mengambil tindakan agar tidak akan berlaku perkara sebegini,” katanya.
Katanya lagi, budaya songsang itu tidak harus dijadikan amalan di negara ini, apatah lagi Islam tidak menganjurkan umatnya melakukan perbuatan terkutuk itu yang boleh mengancam generasi muda.
“Tindakan ini mencabar agama Islam dan budaya kita, saya berharap pihak berkuasa khususnya PDRM mengambil tindakan dan menghalang pihak berkenaan daripada menganjurkan program yang sangat menjijikkan kepada masyarakat dan orang Islam.
“Saya yakin kaum-kaum lain juga tidak bersetuju dengan tindakan Pemuda Sosialis yang cuba merosakkan sosial anak-anak muda sekarang,” katanya lagi. –


Tiada ulasan:
Catat Ulasan