Indonesia tamatkan operasi pencarian mangsa sekolah asrama runtuh, 61 maut
JAKARTA: Pasukan penyelamat Indonesia menamatkan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang tertimbus dalam runtuhan sebuah sekolah agama di Jawa Timur, selepas menemui lebih 60 mayat, menurut pihak berkuasa bencana, hari ini.
Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat, Mohammad Syafii, berkata operasi rasmi kini ditamatkan, menjadikan insiden ini antara bencana paling buruk tahun ini.
"Operasi mencari dan menyelamat akibat runtuhan bangunan Sekolah Al Khoziny secara rasmi ditamatkan," katanya selepas pihak berkuasa membersihkan kawasan runtuhan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Agensi, Budi Irawan, antara yang ditemui termasuk anggota badan yang terputus.
"Pasukan penyelamat menggunakan jentera berat seperti penggali dan kren bagi mengangkat bongkah konkrit besar.
"Mereka turut menggali terowong dan memanggil nama-nama mangsa yang dipercayai masih hidup," katanya.
Suasana pilu dan huru-hara menyelubungi bandar kecil Sidoarjo minggu lalu apabila kegagalan struktur asas menyebabkan bangunan Pondok Pesantren Al Khoziny runtuh ketika ratusan pelajar, kebanyakannya remaja lelaki, sedang menunaikan solat Asar.
Bagaimanapun, majoriti berjaya menyelamatkan diri.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (BNPB) mengesahkan kesemua 61 mangsa yang berada dalam bangunan itu sudah ditemui, selain tujuh bahagian tubuh yang masih dalam proses pengecaman oleh pihak polis.
Menurut Kementerian Pekerjaan Umum, Al Khoziny adalah satu daripada lebih 42,000 pondok pesantren di seluruh Indonesia, namun hanya 50 daripadanya memiliki permit bangunan yang sah.
Bagaimanapun, Reuters tidak dapat mengesahkan sama ada Al Khoziny mempunyai permit, dan usaha menghubungi pihak sekolah gagal. Media tempatan sebelum ini memetik Ketua Daerah Sidoarjo, Subandi, sebagai berkata sekolah itu dipercayai beroperasi tanpa permit.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan