Hadi Awang dedah dua punca utama krisis DUN Perlis
KUALA LUMPUR: Presiden PAS,Abdul Hadi Awang mendakwa krisis politik Perlis berpunca daripada dua faktor utama yang disifatkannya sukar diterima sehingga memaksa parti itu mengambil sikap tegas.
Jelasnya, punca pertama didorong sikap segelintir pihak yang menuntut jawatan, sedangkan dalam PAS dan ajaran Islam, jawatan tidak wajar diberikan kepada individu yang memintanya walaupun memiliki kelayakan.
"Jawatan adalah amanah. Dalam Islam, orang yang meminta jawatan tidak boleh diberi dan bukan semua boleh diberi jawatan. Ini prinsip yang jelas dan kita berpegang dengannya," katanya.
Mendedahkan demikian dalam siaran Youtube Presiden PAS, Abdul Hadi mendakwa, situasi itu dialami PAS setiap kali mahu memerintah negeri.
Keadaan itu, katanya, dihadapi ketika PAS menang pilihan raya di Terengganu pada 1959 dan bertahan selama dua tahun setengah selepas berlaku undi tidak percaya, 'membeli' wakil rakyat dan pelbagai perkara lagi.
"Di Kelantan kita kita juga menghadapinya pada 1978, kerajaan jatuh sebab undi tidak percaya terhadap Menteri Besar dan di Kedah pun sama, rombongan orang PAS berarak sebab ada cucuk dan mendesak supaya Ustaz Azizan (Allahyarham Azizan Abdul Razak) dipecat.
"Kini terjadi di Perlis. Cikgu Shukri (bekas Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli yang meletak jawatan) itu sebenarnya memang ada masalah kesihatan dari sebelum pilihan raya, beliau pernah rebah masalah jantung hingga dimasukkan ke hospital.
"Kita lantik sebab beliau masih layak jadi Menteri Besar dan pentadbiran tiga tahun berlangsung molek (baik), tiba-tiba akhir ini berlaku apa seperti sekarang," katanya.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, berkata perebutan jawatan sentiasa menjadi pencetus perpecahan dan pengkhianatan, sekali gus melemahkan kestabilan pentadbiran dan keutuhan parti.
Mengulas punca kedua, beliau menjelaskan krisis itu turut didorong oleh desakan supaya projek-projek besar diluluskan tanpa mematuhi peraturan, malah disertai unsur penyelewengan dan rasuah.
"Ada tekanan berkaitan projek yang tidak ikut peraturan. Menteri Besar kita tidak boleh ikut perkara yang salah," katanya menegaskan keengganan Mohd Shukri tunduk kepada tekanan menyebabkan beliau dizalimi, bukannya berlaku zalim walaupun pentadbirannya diterima rakyat serta dilihat memerintah dengan adil dan berintegriti.
Mengulas langkah seterusnya, Abdul Hadi berkata, PAS bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) atau Pilihan Raya Negeri (PRN), sambil menegaskan sokongan rakyat terhadap PAS kekal kukuh dan tidak terjejas.
"Tiga ADUN sudah gugur, Perlis ini mempunyai 15 kerusi, kita (PAS) ada enam (kerusi), BERSATU (lima) kerusi, mahu tubuhkan kerajaan bagaimana?
"Jika mahu terus memerintah pun boleh, Selangor pernah jadi ketika Khalid Ibrahim menjadi Menteri Besar, empat orang EXCO, kita pun boleh, namun kita bersedia untuk PRK mahupun PRN," katanya.
Ditanya mengenai nasib tiga ADUN PAS yang digugurkan keahlian parti, Abdul Hadi berkata, terpulang kepada parti sama ada mahu menerima mereka atau sebaliknya.
"Itu satu kesalahan besar, kerana setiap rakyat ada bai'ah (bersumpah), mereka tidak boleh melawan arahan parti kecuali arahan bercanggah dengan hukum Islam," katanya.
Beliau juga berkata, PAS tidak boleh terus menghukum BERSATU kerana ahlinya ada pelbagai golongan dan pandangan, sebaliknya PAS berharap ada tindakan daripada kepimpinan BERSATU.
"Kita tidak tergugat kepercayaan, lihat di internet ramai orang simpati dan kita ada dua nama untuk dicalonkan sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu, kita telah kemukakan," katanya.
Untuk rekod, polemik di Perlis tercetus selepas wujud gerakan lima ADUN BERSATU dan tiga PAS menarik sokongan terhadap Mohd Shukri.
Susulan itu, tiga ADUN PAS terbabit terhenti keahlian serta-merta, namun tiada sebarang tindakan di pihak BERSATU.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan