Mana suara pemimpin UMNO? – Azizi
KUALA LUMPUR – Sikap membisu pemimpin-pemimpin UMNO susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Najib Razak bersabit kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mencetuskan persoalan.
Menurut pemerhati politik, Azizi Safar, sehingga kini, tiada sidang akhbar, kenyataan media atau kenyataan di dalam media sosial daripada pemimpin UMNO berhubung perkara itu.
Jelasnya, Najib yang juga bekas perdana menteri dan bekas Presiden UMNO itu dijatuhi hukuman bukan ketika UMNO menjadi pembangkang.
Sebaliknya, keputusan mahkamah itu dibuat ketika UMNO berada di dalam Kerajaan Perpaduan.
“Kita semua faham prinsip atau doktrin pengasingan kuasa; Eksekutif tidak boleh mencampuri urusan kehakiman.
“Namun begitu, tempias politiknya tetap terasa,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Tambah Azizi, ahli-ahli UMNO melihat apa yang berlaku ketika ini terjadi ketika UMNO merupakan sebahagian daripada kerajaan.
Sehubungan itu, katanya, mereka berhak bertanya di mana suara pembelaan daripada UMNO terhadap pemimpin yang dulu dijulang sebagai ‘Bossku’.
“Adil atau tidak, tepat atau sebaliknya, semua ini akan bermain dalam persepsi, terutama dalam kalangan akar umbi.
“Politik bukan sekadar soal fakta dan prinsip. Ia juga soal emosi dan persepsi,” katanya.
Disebabkan itu, jelasnya, UMNO perlu berhati-hati dalam membaca dan mengurus sentimen itu, jika tidak badai yang melanda mungkin membawa lebih banyak kerosakan daripada yang dijangka.
Kelmarin, Najib dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda lebih RM11 bilion atas kesemua 25 pertuduhan membabitkan penyelewengan dana 1MDB. –


Tiada ulasan:
Catat Ulasan