Ahad, 28 Disember 2025

PRU DI MYANMAR


Myanmar adakan pilihan raya hari ini  di tengah perang saudara, krisis kemanusiaan


YANGON: Proses pengundian akan berlangsung di Myanmar esok ketika negara itu masih bergelut dengan perang saudara yang turut menjejaskan sebahagian wilayahnya, selain menyebabkan krisis kemanusiaan terburuk di Asia.

Negara itu ketika ini semakin terjejas akibat konflik yang tercetus susulan rampasan kuasa pada 2021, apabila tentera menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokratik pimpinan Aung San Suu Kyi.

Krisis kemanusiaan di Myanmar antara paling buruk di Asia, didorong perang saudara yang semakin memuncak serta bencana alam berulang kali, termasuk gempa bumi besar pada Mac lalu.

REUTERS melaporkan rejim junta yang memerintah sebelum ini menekan penyelidik supaya tidak mengumpul data berkaitan kebuluran dan menghalang pekerja bantuan daripada menerbitkan maklumat mengenai krisis makanan yang serius melanda negara itu, selain bertindak keras terhadap wartawan sejak rampasan kuasa.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Myanmar juga menjadi antara negara yang paling kurang dibiayai operasi bantuan kemanusiaan, dengan hanya 12 peratus daripada dana diperlukan berjaya diperoleh.

PBB menganggarkan 20 juta daripada 51 juta penduduk Myanmar memerlukan bantuan, apabila inflasi melonjak dan nilai mata wang merosot menyebabkan hampir separuh penduduk jatuh di bawah garis kemiskinan.

Agensi itu juga menganggarkan lebih 3.6 juta orang kini kehilangan tempat tinggal, manakala lebih 6,800 orang awam terbunuh dalam konflik yang tercetus akibat rampasan kuasa.

Dengan keganasan semakin meningkat turut memaksa lebih ramai melarikan diri, malah menurut Program Makanan Sedunia (WFP) lebih 12 juta penduduk Myanmar dijangka berdepan kebuluran akut tahun depan, termasuk sejuta yang memerlukan bantuan nyawa.

WFP turut menganggarkan lebih 16 juta orang di seluruh Myanmar sedang mengalami ketidakjaminan makanan yang teruk, iaitu keadaan kekurangan makanan yang mengancam nyawa dan mata pencarian.

Penduduk negara itu menjadi kumpulan kelima terbesar di dunia yang memerlukan bantuan, sekali gus menjadikan Myanmar sebagai 'titik panas kebuluran yang sangat membimbangkan'.

Kata WFP lagi, lebih 540,000 kanak-kanak di seluruh negara dijangka mengalami kekurangan zat makanan akut tahun ini, keadaan pembaziran tubuh yang mengancam nyawa serta boleh membawa kesan teruk dan berpanjangan, dan ia meningkat 26 peratus berbanding tahun lalu.

Tambahnya, seorang daripada tiga kanak-kanak berusia bawah lima tahun sudah mengalami bantut pertumbuhan.

Myanmar yang suatu ketika dahulu dianggap antara ekonomi paling berpotensi di rantau ini, sedang bergelut dalam beberapa tahun kebelakangan, akibat perang saudara, bencana alam dan salah urus.

Bagaimanapun Bank Dunia berkata ekonomi Myanmar menunjukkan beberapa tanda pemulihan, dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dianggarkan meningkat semula kepada tiga peratus pada tahun fiskal akan datang.

Pertumbuhan itu didorong usaha pembinaan semula pasca gempa bumi serta bantuan bersasar berterusan kepada kawasan paling terjejas, walaupun inflasi dijangka kekal melebihi 20 peratus.

Dengan bekalan elektrik semakin merosot sehingga menyebabkan jutaan rakyat berdepan gangguan bekalan kronik, isi rumah dan perniagaan pula semakin beralih kepada tenaga solar sebagai sumber kuasa yang lebih boleh dipercayai.

Russia, yang semakin mengukuhkan hubungan dengan junta Myanmar, menandatangani perjanjian pelaburan dengan negara itu pada Jun lalu, yang menurutnya berpotensi membuka peluang baharu kepada syarikat tenaga Russia di negara Asia Selatan berkenaan. - REUTERS


MYANMAR

BERPOTENSI 

UNTUK PECAH

TERBARAI

AMIN

TENTERA BUKAN

PENGIKAAT TAPI

PEMBAWA PECAH

KHALAS

Tiada ulasan: