Menantu Hadi tawar bantu Indira cari anak
Menantu kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang tampil menawarkan diri sebagai sekutu dalam usaha berpanjangan mencari anak perempuan M Indira Gandhi yang terpisah, Prasana Diksa.
Menepis tanggapan salah terhadap dakwaan ekstremisme agama PAS, Zaharudin Muhammad berhujah bahawa tiada agama di dunia yang menggalakkan seorang ibu dipisahkan daripada anaknya.
"Bagi saya ramai orang silap paham PAS ekstremis agama...
"Bab itu pelbagai pihak pelbagai kaum agama, banyak saya bantu.
"Sokongan PAS PN, kita tak ekstrem, kadang-kadang itu persepsi politik, itu tidak tepat sebenarnya, tanggungjawab Islam satukan mak dan anak, akan bantu all out," kata Zaharudin kepada pemberita pada sidang media di ibu pejabat Lawyers for Liberty (LFL) hari ini.
Ketua PAS Sungai Buloh itu berkata memandangkan isu perundangan dan agama berkaitan kes Indira telah lama dimuktamadkan, keputusannya menawarkan bantuan dibuat atas dasar kemanusiaan dan kekeluargaan.
“Saya baru dimaklumkan (tentang rayuan Indira untuk mendapatkan bantuan)… insya-Allah, semua rakan PAS saya akan menyokong saya (dalam menawarkan bantuan kepada Indira)
"Saya baru dapat info untuk bantu Indira, bukan nak kata dekat pilihan raya. Saya bantu dekatkan dengan keluarga, yang masuk Islam tak gaduh dengan keluarga.
"Itu persepsi mungkin musuh politik. Semua kawan-kawan PAS saya sokong, insyaAllah,” katanya.
Dia juga menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Prasana, termasuk bekas suami Indira sendiri, supaya menghubunginya, sambil menyatakan harapan agar pembukaan saluran komunikasi itu dapat membawa kepada perbincangan ke arah penyatuan semula ibu dan anak secara aman.
Zaharudin turut memberi jaminan kepada bapa Prasana, Riduan Abdullah, yang sebelum ini dikenali sebagai K Pathmanathan, bahawa dia tidak berniat untuk “mengganggu” status agama Prasana.
“Secara peribadi, saya banyak terlibat membantu orang memeluk Islam. Saya membantu kawan saya memeluk Islam dengan cara perbincangan dengan dia dan keluarga mereka, bukan sokong cara ekstrem.
“Apa yang saya terlibat hari ini bukan secara politik — ini isu kemanusiaan,” tegas Zaharudin.
Pada 2016, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pernah menyatakan sokongan kepada Indira, dengan berkata prinsip Islam menyokong perjuangannya mendapatkan hak penjagaan terhadap tiga anaknya, termasuk Prasana yang telah ditukar agama secara unilateral oleh Riduan pada 2009.
Pada 2010, Mahkamah Tinggi Ipoh memberikan Indira hak penjagaan penuh. Namun, pada 2014, Mahkamah Rayuan membatalkan perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkan ketua polis negara (KPN) untuk mendapatkan semula Prasana.
Mahkamah Persekutuan pada 2016 menamatkan pertikaian undang-undang itu dengan mengarahkan polis menangkap Riduan dan menyatukan semula Prasana dengan ibunya.
Namun, walaupun keputusan penting oleh mahkamah tertinggi pada 2018 yang mengisytiharkan penukaran agama kanak-kanak secara unilateral tidak sah serta menegaskan semula hak penjagaan penuh Indira, Prasana masih belum ditemui, manakala dua anak lain kini tinggal bersama Indira.
Pada 2019, Indira membuat laporan polis dengan mendakwa, antara lain, penglibatan NGO yang mesra PAS dalam melindungi dan membantu Riduan.
Turut hadir pada sidang media hari ini ialah Indira, pengasas bersama LFL Latheefa Koya, pendakwah Hoslan Hussin, serta aktivis sosial Syarul Ema Rena Abu Samah dan Rafidah Ibrahim.
Indira yang kelihatan sebak berkata, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan apa jua agama yang dipilih Prasana, sambil menegaskan satu-satunya hasratnya untuk bertemu semula dengan anak perempuannya.
“Saya tidak pernah menjadikan isu ini sebagai isu agama. Tidak mengapa jika (Prasana) memilih untuk mengamalkan Islam, saya cuma mahu berjumpa dengannya.
“Saya telah mencuba pelbagai cara untuk mencarinya dan saya masih tidak tahu di mana dia berada. Saya tidak tahu apa lagi yang perlu saya lakukan (kerana) saya kecewa melihat polis seolah-olah tidak benar-benar mengambil berat tentang kes ini,” kata Indira.
Pada 10 Dis, satu pertemuan yang dinanti-nantikan antara KPN Khalid Ismail dan Indira berakhir dengan kekecewaan, apabila NGO Pasukan Tindakan Indira Gandhi (Ingat) mendakwa pegawai tertinggi polis itu kelihatan tidak menyedari penderitaan ibu berkenaan.
Berikutan keputusan itu, Pengerusi Ingat Arun Dorasamy berkata mereka tiada pilihan selain berarak ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk menuntut keadilan, seperti yang telah mereka amaran lebih awal.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan