Isnin, 29 Disember 2025

MUHYIDDIN INI NAK APA?

 


Muhyiddin perlu bertanggungjawab kemelut PN, krisis politik Perlis - Wan Saiful


KUALA LUMPUR: Muhyiddin Yassin perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas kemelut melanda Perikatan Nasional (PN) khususnya dalam krisis politik di Perlis, kata Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU itu berkata, kegagalan Pengerusi PN itu mengurus hubungan dan perbincangan antara parti komponen mencerminkan kelemahan kepemimpinan yang memberi kesan besar kepada kestabilan gabungan berkenaan.

"Kenapa Muhyiddin tidak memanggil mesyuarat PN untuk menentukan calon MB PN? Kenapa BERSATU hantar surat lain dan PAS pula hantar surat lain?

"Mengapa tiada mesyuarat PN yang khusus membincangkan situasi Perlis yang kita maklumi (ketahui) berlanjutan sudah berbulan-bulan? Sedangkan sebagai Pengerusi PN, Muhyiddin sepatutnya segera memanggil mesyuarat sebaik sahaja ada gelora yang dikesan

"Kegagalan Muhyiddin memberi impak negatif amat besar kepada PN sehinggakan ada yang mencadangkan PAS meninggalkan PN dan menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN)," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Polemik itu berlaku selepas berlegar dakwaan beberapa ADUN daripada PAS dan BERSATU menyerahkan akuan bersumpah (SD) kepada Raja Perlis sebelum ini yang menyatakan mereka tidak lagi menyokong kepemimpinan ADUN Sanglang, Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar Perlis.

Tiga ADUN dari PAS itu ialah Saad Seman (ADUN Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (ADUN Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (ADUN Guar Sanji, sebelum keahlian mereka daripada parti terbabit digugurkan dan pada Khamis lalu Mohd Shukri meletak jawatan sebagai Menteri Besar atas alasan kesihatan.

Semalam, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan melantik ADUN Kuala Perlis dari BERSATU, Abu Bakar Hamzah sebagai Menteri Besar Perlis baharu.

Wan Saiful berkata, tindakan Ahli Parlimen Pagoh yang tidak memanggil mesyuarat itu seolah-olah memperlihatkan beliau tidak mempedulikan apa yang berlaku dan mungkin berseronok di England.

"Kelemahan Muhyiddin ini disedari oleh banyak pihak sejak tahun lalu lagi. Saya telah mendedahkannya sejak Disember 2024 apabila PAS menulis surat kepada Muhyiddin mencadangkan beberapa pembaikan yang signifikan terhadap PN, namun tiada apa-apa tindakan diambil walaupun kelemahan telah dikenal pasti.

"Bagi saya, cadangan sesetengah pihak untuk PAS meninggalkan PN tidak betul. Janggal apabila kita bercakap mengenai penyatuan ummah, tetapi kemudian memilih cara yang memecahkan kesatuan sedia ada," katanya.

Beliau berkata, langkah lebih baik ialah PAS mengambil alih kerusi Pengerusi PN dan melaksanakan pembaikan yang dicadangkan.

"Parti komponen lain seperti GERAKAN harus menerima PAS sebagai Pengerusi PN dengan hati terbuka. Saya sedar ada kebimbangan dalam kalangan parti komponen PN bukan Melayu. Tetapi jika disusun dengan baik, kebimbangan itu boleh diuruskan.

"Kita mesti ingat, PAS bukan parti budak-budak. Mereka tahu apa yang perlu dilakukan. Setelah itu, laksanakan apa yang perlu untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional bagi membolehkan semua pihak termasuk badan-badan bukan politik juga bersatu dalam agenda yang sama. Itu penyatuan sebenar," katanya.

Katanya, beliau mengutarakan cadangan untuk PAS mengambil alih Pengerusi PN sudah lebih setahun tetapi malangnya ia dipendam dan tiada tindakan.

"Saya harap PAS tidak meneruskan pendekatan ini. Pertukaran sepatutnya dilaksanakan lebih awal. Jika pertukaran dilakukan lebih awal, mungkin saja krisis Perlis dapat dielakkan kerana budaya musyawarah PAS jauh lebih baik berbanding budaya 'aku berkuasa untuk bagi arahan' yang diamalkan Muhyiddin sejak setahun dua ini," katanya.

DIKHABARKAN

MUHYIDIN ADA

PASANG NIAT

 NAK JADI PM

AMIN

DALAM PARTI

BERGADUH

AMIN

DI LUAR PARTI

BERGADUH

AMIN

MENGAPA TAK

TUNJUK PIMPINAN

YANG HEBAT

AMIN

SELALU

 TUNJUK NGOK 

PADA PENGUNDI

KHALAS

Tiada ulasan: