Rosmah: Kami pilih tenang, tuduhan terhadap Najib tidak benar
Dalam satu temu bual yang jarang diberikan, Rosmah Mansor berkongsi pandangannya mengenai “kebenaran” di sebalik pemenjaraan suaminya, Najib Razak, penyesalan terbesar dirinya, serta rutin harian.
Katanya, dia memilih untuk tidak mempedulikan segala tohmahan yang dilemparkan terhadapnya dan tidak membiarkan kata-kata nista mengganggu emosinya.
Menurut isteri bekas perdana menteri itu, dia selesa memberikan tumpuan sepenuhnya kepada keluarga yang dibinanya bersama Najib.
"Sebagai seorang isteri, tanggungjawab utama kini untuk terus memberikan sokongan moral melalui doa.
"Semua orang tahu, apa yang berlaku hari ini adalah kerana politik. Sebagai isteri, saya sentiasa mendoakan kesejahteraan dan keadilan untuk suami saya," katanya kepada Berita Harian dalam satu temu bual di kediamannya di Kuala Lumpur.
Rosmah berkata, dia perlu sentiasa mempamerkan imej tenang kerana itu keinginan Najib sendiri.
"Saya pasti itu yang beliau (Najib) mahu, saya kena kuat demi keluarga kami. Jika diikutkan, sebenarnya beliau lebih marah mengenai cerita-cerita palsu yang tersebar kini," katanya.
Jumaat, 26 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Najib bersalah atas keempat-empat pertuduhan salah guna kuasa dan semua 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.
Bekas presiden Umno itu dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan diperintahkan membayar denda keseluruhan berjumlah RM11.38 bilion bagi empat kesalahan salah guna kuasa tersebut.
Pada 22 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah selepas mendapati titah addendum oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membenarkannya berbuat demikian adalah tidak sah.
Bekas pemimpin negara itu kini dipenjarakan di Penjara Kajang selepas disabitkan kesalahan dalam kes rasuah SRC International melibatkan RM42 juta.
Mengulas lanjut, Rosmah berkata penyesalan terbesar Najib adalah kehilangan peluang untuk melihat cucu-cucunya membesar di depan mata.
"Banyak 'milestone' (detik penting) dalam keluarga yang beliau terlepas. Itu yang paling kami kesalkan.
"Cucu-cucu semuanya amat menyayangi datuk mereka dan sering bertanya mengenai Najib. Kami cuba sedaya upaya melindungi mereka dan berkongsi seberapa banyak yang boleh," katanya.
Rosmah turut berkongsi rutin hariannya, dengan menyatakan banyak masa dihabiskan dengan menguruskan cucu dan keluarga, selain dikelilingi sahabat serta saudara-mara yang menjadi 'support system' (sistem sokongan) paling kuat buatnya.
"Solat, mengaji... semua amalan saya dengan Allah SWT tak perlu saya ceritakan semuanya. Pastinya saya sebagai isteri sentiasa mendoakan suami saya," katanya.
Bagaimanapun, Rosmah tidak dapat menyembunyikan rasa terkilan terhadap segelintir pihak, khususnya pemimpin politik, yang dilihat seolah-olah berpesta di atas penderitaan yang sedang dialami oleh keluarganya.
"Walau seberapa banyak pun kebencian mereka terhadap Najib dan saya, saya rasa tidak perlulah ada yang bergembira atas kesusahan kami,"katanya.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan