Bintang legenda, aktivis haiwan Brigitte Bardot meninggal dunia
PARIS: Dunia hiburan Perancis hilang ikon tersohor apabila bintang jelita Brigitte Bardot, meninggal dunia pada usia 91 tahun.
Mendiang Bardot yang menempuh pelbagai ranjau dalam karier seni, sebelum meninggalkan dunia glamor demi memperjuangkan hak haiwan pada 1973, disahkan meninggal dunia berdasarkan laporan media Perancis dan Associated Press (AP).
Jurucakap Yayasan Brigitte Bardot Bagi Perlindungan Haiwan, Bruno Jacquelin, ketika dihubungi AP mengesahkan Bardot menghembuskan nafas terakhir di kediaman di selatan Perancis.
Bagaimanapun, punca kematian tidak didedahkan dan setakat ini, belum ada makluman berhubung tarikh pengebumian atau majlis memperingati mendiang, lapor AP.
NBC News melaporkan, mendiang Bardot difahamkan pernah dimasukkan ke hospital bulan lalu, susulan masalah kesihatan.
Memberi penghormatan terakhir, Presiden Perancis, Emmanuel Macron menyifatkan Bardot sebagai sosok yang menjiwai kehidupan penuh kebebasan danmenjalani kehidupan dengan cara orang Perancis yang sebenar.
Sementara itu, Jordan Bardella, pemimpin parti berhaluan kanan National Rally yang pernah mendapat sokongan terbuka Bardot, memuji mendiang sebagai patriot penuh semangat yang melambangkan era penting dalam sejarah Perancis, lapor NBC News.
Yayasan Bardot dilapor turut mengangkat legasi perjuangan mendiang dalam aktivism hak haiwan, iaitu daripada merentas ais Artik untuk menyelamatkan anak anjing laut, membawa suara hingga undang-undang kebajikan haiwan digubal hinggalah usaha memfailkan tindakan terhadap pesalah kes penderaan haiwan.
Mendiang Bardot dilapor menghembuskan nafas terakhir kira-kira dua bulan selepas beliau menjalani apa yang digambarkan sebagai pembedahan kecil, Oktober lalu. Ketika itu, Bardot tampil menafikan dakwaan palsu tersebar konon dirinya telah meninggal dunia.
"Saya tidak tahu siapa si dungu yang menyebarkan berita palsu mengenai kematian saya, tapi ketahuilah saya sihat dan tidak berniat meninggalkan dunia ini," katanya dalam hantaran di X, lapor agensi.
Namun sebulan selepas itu, mendiang Bardot sekali lagi dimasukkan ke hospital berikutan isu kesihatan yang dilaporkan media Perancis sebagai serius.
Dilahirkan dengan rambut rona perang gelap pada 28 September 1934 di sini, mendiang Bardot mula mencipta nama selepas mewarnakan rambut menjadi perang keemasan dan membintangi filem And God Created Woman yang ditayangkan pada 1956. Filem itu diarah suaminya ketika itu, Roger Vadim.
Filem melodrama provokatif Perancis yang berkisar seorang remaja menggoda yang mencetuskan sensasi di Saint-Tropez, mencatat kejayaan besar di pawagam antarabangsa termasuk Amerika Syarikat (AS). Namun, kumpulan pemantau moral seperti The National Legion of Decency dilapor mengkritik naskhah itu.
Digelar 'anak kucing seksi' oleh penerbit British Tony Tenser, mendiang Bardot dilapor muncul ketika era revolusi seksual sedang memuncak, di mana wanita mula mengguna pakai kaedah pencegah kehamilan dan penonton filem mencari hiburan yang lebih berani dan terbuka. - NBC News


Tiada ulasan:
Catat Ulasan