Khamis, 30 April 2026

AL-FATIHAH


AL-FATIHAH


Seniwati Maria Menado meninggal dunia


KUALA LUMPUR: Primadona filem Melayu klasik, Datuk Seri Maria Menado dilapor meninggal dunia di sebuah pusat perubatan swasta di sini, pada jam 12.25 tengah hari tadi, pada usia 94 tahun.

Allahyarham Maria yang membintangi banyak filem Melayu klasik ikonik, dilapor menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua, di sisi ahli keluarga.

Menantu Allahyarham Maria, Sairul Amar Ayob dilapor berkata, ibu mentuanya dimasukkan ke pusat perubatan pada 14 April lalu.

"Allahyarham Datuk Seri Maria Menado menghembuskan nafas terakhir dengan tenang," kata Sairul kepada Astro AWANI.


ADVERTISEMENT
Cars stock video 1 5Feb25Cars stock video 1 5Feb25

Sairul dilapor berkata, ketika ini, jenazah Allahyarham Maria masih di hospital dan akan dibawa pulang ke kediaman keluarga di Bukit Jelutong, Selangor bagi memberi peluang kepada kaum keluarga dan sahabat serta kenalan memberi penghormatan terakhir.

Jenazah Allahyarham Maria kemudian dilapor akan dibawa ke Masjid Bukit Damansara untuk urusan pengurusan jenazah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Dilahirkan dengan nama asal Liesbet Dotulong pada 2 Februari 1932, Allahyarham Maria dianggap bintang filem Melayu termasyhur antara 1951 dan 1963.

Allahyarham Maria berhijrah ke Singapura dan menganut Islam ketika berusia 19 tahun serta berkahwin dengan promoter tinju dan penulis skrip, A Razak Sheikh Ahmad.

Allahyarham Maria mula menempah nama dalam industri perfileman selepas berhijrah ke Singapura dan menyertai Malay Film Productions serta Cathay-Keris Film Productions, sebelum muncul sebagai salah seorang pelakon wanita utama pada zaman itu.

Allahyarham Maria melonjak ke puncak populariti menerusi lakonannya sebagai watak utama dalam filem Pontianak terbitan 1957, yang dianggap sebagai antara filem seram Melayu terawal, sekali gus menjadikan beliau ikon awal genre berkenaan.

Dalam temuramah bersama BH Online pada 2019, Allahyarham Maria berkongsi cabaran mengubah wajahnya daripada cantik menjadi buruk ketika membintangi filem seram, Pontianak dan Dendam Pontianak, lebih enam dekad lalu.

Menurut Maria, 87, proses berkenaan bukan sesuatu yang mudah, malah mengambil masa panjang untuk dilakukan.

"Watak Comel dilakonkan dalam filem itu memerlukan saya melalui proses transformasi sebanyak tiga kali. Ia bermula dengan wanita bongkok yang menjadi cantik selepas meminum sejenis ramuan ditemui dalam sebuah buku. Dia bagaimanapun bertukar menjadi buruk apabila melanggar pantang, iaitu terkena darah.

"Bagi mengubah wajah saya, semuanya dilakukan secara alami yang memerlukan saya berbaring dan disolek. Bukan sekadar perlu menunggu lama untuk menyiapkan kerja solekan, babak transformasi pula harus dirakamkan satu demi satu supaya perubahan itu nampak jelas di layar.

"Memang saya kena banyak bersabar, namun hasilnya memuaskan apabila ada yang ketakutan sebaik sahaja melihat wajah saya di set penggambaran," katanya.

Pada 1957, Allahyarham Maria digelar 'Wanita Terjelita Malaya' oleh Times Magazine dan 'Wanita Berpakaian Paling Menarik di Asia Tenggara' oleh United Press International.



 

Tiada ulasan: