Saya tak ada kaitan dengan keputusan Najib kekal bersalah, kata Dr Mahathir
BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini menafikan dakwaan yang beliau mempengaruhi badan kehakiman berkaitan bicara korupsi Najib Razak.
Pengerusi Gerakan Tanah Air itu berkata walaupun beliau melantik Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat ketika menjadi perdana menteri, beliau tidak mempunyai pengaruh untuk mencampuri urusan kehakiman negara.
“Saya lantik CJ (ketua hakim) kerana saya PM, itu nama yang mereka cadangkan dan saya bersetuju,” katanya pada sidang media selepas Konvensyen Nasional Berjasa.
“Tetapi untuk kata saya ada pengaruh dalam mahkamah…ada tiga tahap dan sembilan hakim yang semuanya berpandangan sama (tentang sabitan Najib).
“Mereka ambil masa empat tahun. Tidak pernah ada kes seperti ini, malah bicara Anwar Ibrahim pun hanya ambil masa sembilan bulan.
“Najib diberikan semua peluang untuk membela diri, tetapi apa yang dia buat hanya mohon untuk kecualikan orang. Hanya kata-kata dia berbanding dokumen dalam mahkamah.”
Pada Selasa, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Najib dan mengekalkan sabitan bersalah dan hukuman dalam kes SRC International.
Mahkamah tertinggi negara itu mengarahkan ahli Parlimen Pekan untuk memulakan hukuman penjara 12 tahun serta merta.
Selain itu, bekas perdana menteri itu juga diarahkan membayar denda RM210 juta atau lima tahun lagi penjara jika gagal membayarnya.
Barisan lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat. Hakim Mahkamah Persekutuan lain adalah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim serta hakim kanan persekutuan P. Nallini, Mary Lim Thiam Suan dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.
Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang kini menjadi hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada setiap tiga pertuduhan pecah amanah dan tiga pertuduhan penggubahan wang serta 12 penjara tahun dan denda RM210 juta atau tambahan lima tahun penjara dalam pertuduhan salah guna kuasa.
Tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman dikenakan kepadanya.
Apabila diminta mengulas yang Najib akan menerima pengampunan diraja, Dr Mahathir berkata itu adalah cara Malaysia.
“Pengampunan, bukan kuasa saya, 50-50 peluang dia akan dapat.
“Di negara ini undang-undang tak selalu dihormati, penyangak pun boleh dilayan baik.” – 27 Ogos, 2022.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan