Kes mpox di Australia meningkat
SYDNEY: Australia menyaksikan peningkatan pesat kes mpox dalam tempoh tiga bulan lalu, dengan seorang pakar kesihatan menyatakan kebimbangan mengenai kadar vaksinasi yang rendah mungkin menyebabkan lonjakan kes di kawasan luar bandar.
Setakat tahun ini, 737 kes sudah direkodkan, dengan sebahagian besar kes berlaku dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Sebagai perbandingan, terdapat 26 kes direkodkan tahun lalu dan 144 kes pada 2022.
Kebanyakan kes baharu tahun ini berlaku di negeri-negeri tenggara dan semua (membabitkan lelaki) kecuali dua kes dilaporkan dalam kalangan wanita.
Seorang jurucakap untuk Kementerian Kesihatan dan Penjagaan Warga Emas Australia memberitahu AFP bahawa kes meningkat sejak Mei tahun ini.
Australia sudah bertindak balas dengan menarik balik sekatan ke atas siapa yang boleh divaksinasi, membenarkan individu dari semua peringkat umur yang berisiko terdedah kepada mpox untuk layak (divaksin).
Seorang doktor kesihatan seksual dan doktor am di Sydney, Matthew Shields, memberitahu penyiar televisyen nasional ABC bahawa virus ini sedang dikesan di luar kawasan metro (bandar) di mana kadar vaksinasi adalah lebih rendah.
Mpox yang sebelum ini dikenali sebagai monkeypox atau cacar monyet disebabkan oleh virus yang berjangkit kepada manusia oleh haiwan yang dijangkiti dan juga boleh disebarkan dari manusia ke manusia melalui kontak fizikal yang rapat.
Mematikan dalam sesetengah kes, ia (mpox) menyebabkan demam, sakit otot dan luka besar seperti bisul pada kulit.Virus ini mendapat perhatian antarabangsa pada Mei 2022, apabila mpox jenis clade 1b merebak ke seluruh dunia, yang paling banyak memberi kesan kepada lelaki gay dan biseksual.
Pada Julai 2022, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan kecemasan kesihatan awam yang menjadi kebimbangan antarabangsa pada tahap amaran yang tertinggi.
Australia masih belum melaporkan kes clade 1b baharu bagi mpox yang dipercayai lebih berbahaya. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan