800 pokok hutan ditanam pulihkan Hutan Simpan Bertam yang diceroboh
CAMERON HIGHLANDS: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menanam 800 pokok hutan spesies Merawan Siput Jantan sebagai usaha memulihkan kembali kawasan Hutan Simpan Bertam, di sini yang terkesan akibat pencerobohan haram.
Melalui fasa pertama, penanaman bermula kelmarin meliputi kawasan seluas dua hektar yang terbabit operasi pemusnahan bersepadu selama lima hari sebelum ini, membabitkan beberapa agensi penguatkuasaan.
Timbalan Pengarah Perhutanan (Operasi) JPNP, Dr Grippin Akeng, berkata penanam pokok hutan dilaksanakan bersekali operasi dalam kawasan ceroboh itu.
Katanya, penanaman pokok hutan dilakukan berperingkat bermula semalam hingga selesai di kawasan Hutan Simpan Bertam berkeluasan 9.16 hektar.
Selain Hutam Simpan Bertam, penanaman akan dilakukan di kawasan ceroboh Hutan Simpan Mentigi seluas (5.7 hektar), Hutan Simpan Batu Gangan (1.22 hektar) dan Hutan Simpan Sungai Ichat (0.9 hektar).
"JPNP menganggarkan lebih 8,000 pokok hutan ditanam dalam kawasan ceroboh di empat hutan simpan terbabit dalam operasi pemusnahan bersepadu kali ini," katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Penolong Pengarah Silvikutur Pahang Zon Pahang Barat JPNP, Wan Ghazali Wan Ali berkata, menjadi tanggungjawab selepas pemusnahan kebun haram dilakukan untuk memulihkan semula kawasan terbabit dengan menanam beberapa jenis tanaman sesuai di tanah tinggi seperti pokok Gerok, Meranti Bukit, Damar Minyak dan Merawan Siput Jantan.
"Selepas kerja penanaman kita akan terus membuat pemantauan dan tinjauan bagi memastikan semua pokok ditanam hidup. Kerja menyulam dilakukan bagi menggantikan pokok mati," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan