Taufan Yagi: Korban di Myanmar cecah lebih 400 mangsa
YANGON: Jumlah korban di Myanmar akibat banjir dan tanah runtuh yang dicetuskan Taufan Yagi, terus meningkat kepada lebih 400 mangsa.
Pasukan informasi junta dalam satu kenyataan mengumumkan setakat semalam, angka kematian disahkan telah mencecah 419.
Ia berbanding 384 maut dan sekurang-kurang 89 mangsa dilaporkan hilang, sebelum ini. Kemas kini maklumat semalam bagaimanapun tidak menyebut bilangan mangsa yang masih hilang.
Taufan Yagi membadai utara Vietnam, Laos, Thailand serta Myanmar, bulan ini, sehingga mengakibatkan banjir dan tanah runtuh yang meragut ratusan nyawa di serata rantau ini.
Bencana itu memburukkan lagi keadaan di negara ini yang mana jutaan penduduknya sudahpun kehilangan tempat tinggal akibat konflik berlarutan susulan rampasan kuasa oleh tentera pada 2021.
Kekangan komunikasi, terutama capaian dengan kawasan pedalaman dan terpencil, menyebabkan maklumat semasa mengenai mangsa lambat diperoleh.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini dilaporkan memberi amaran bahawa sekurang-kurang 887,000 orang terjejas di Myanmar berikutan kesan Taufan Yagi.
Pada 2011 dan 2015, Myanmar dilanda banjir besar yang meragut lebih 100 nyawa, manakala Taufan Nargis yang membadai negara ini pada 2008 pula menyebabkan lebih 138,000 maut atau hilang. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan