Sabtu, 28 September 2024

JEPUN ADA PM BARU



LDP pilih Ishiba gantikan Kishida, bakal dipilih Perdana Menteri baharu Jepun

TOKYO: Bekas Menteri Pertahanan, Shigeru Ishiba, akan menjadi perdana Menteri Jepun selepas memenangi undi kepimpinan parti pemerintah, Parti Liberal Demokratik (LDP) hari ini berdasarkan kiraan rasmi.

Ishiba, 67, menewaskan Menteri Keselamatan Ekonomi, Sanae Takaichi, 63, yang mencuba nasib untuk menjadi Perdana Menteri wanita pertama Jepun.

Selepas kemenangannya diumumkan di ibu pejabat LDP di Tokyo, Ishiba tersenyum dan menanggalkan cermin matanya untuk mengesat matanya yang berair, menunduk berulang kali sambil rakan-rakannya mengucapkan tahniah.

"Saya akan melakukan yang terbaik untuk dipercayai rakyat, bercakap benar dengan berani dan ikhlas.

"Saya akan menjadikan negara ini tempat yang selamat lagi terjamin di mana semua orang boleh hidup dengan senyuman di wajah mereka sekali lagi," katanya dalam ucapan ringkas.

Ishiba pernah beberapa kali hampir memenangi jawatan tertinggi itu, termasuk pada 2012 apabila dia tewas kepada nasionalis, Shinzo Abe, pemimpin Jepun paling lama berkhidmat, yang kemudiannya dibunuh.

Pembuat model tentera yang meminati penyanyi pop 1970-an, berkata pengalamannya menangani isu sosial yang sukar, seperti reformasi pertanian, menjadikannya layak untuk jawatan itu.

Sebagai perdana menteri, beliau perlu menghadapi ancaman keselamatan serantau, daripada China yang semakin agresif dan hubungannya yang semakin intim dengan Russia sehinggalah kepada ujian peluru berpandu Korea Utara.

Di negara sendiri, Ishiba bertanggungjawab menghidupkan ekonomi, apabila bank pusat mula melonggarkan dasar kewangan yang mengurangkan nilai yen.

Pada pusingan pertama pengundian, rekod sembilan calon bertanding selepas kumpulan LDP yang sudah lama berkuasa dibubarkan awal tahun ini kerana diulit skandal.

Takaichi adalah seorang nasionalis lantang yang popular dengan sayap konservatif LDP.

Di tempat ketiga di belakang Ishiba dan Takaichi ialah bekas menteri alam sekitar Shinjiro Koizumi, yang bapanya, Junichiro Koizumi, menjadi perdana menteri pada tahun 2000-an.

Pemimpin LDP memegang jawatan selama tiga tahun dan boleh berkhidmat sehingga tiga penggal berturut-turut. Perdana Menteri yang tidak popular Fumio Kishida tidak bertanding untuk pemilihan semula.

LDP telah mentadbir Jepun hampir tanpa gangguan selama beberapa dekad, dengan parti pembangkang utama jarang dilihat sebagai alternatif yang berdaya maju.

Perebutan untuk menggantikan Kishida, tercetus pada Ogos apabila beliau mengumumkan hasratnya untuk berundur susulan beberapa siri skandal yang menjatuhkan penarafan LDP ke paras terendah.

Perdana Menteri terpilih mesti meredakan kemarahan rakyat mengenai kenaikan kos sara hidup dan mengharungi persekitaran keselamatan yang tidak menentu di Asia Timur akibat ancaman China dan Korea Utara yang bersenjata nuklear.

LDP, yang memerintah Jepun untuk hampir semua era pasca perang dan mempunyai majoriti di Parlimen, mesti mengadakan pilihan raya umum menjelang Oktober 2025.

Ishiba terbukti popular dalam kalangan orang ramai tetapi menimbulkan kontroversi dengan rakan seangkatannya kerana menentang arus dan mencabar pemimpin terdahulu, serta gagal dalam empat cubaan bertanding sebelum ini. - REUTERS

JEPUN ADA

INFLASI

AMIN

EKONOMI JEPUN

TIDAK LAGI

BERKEMBANG

AMIN

KHALAS

Tiada ulasan: