Khamis, 21 November 2013

RAMPAS HARTA NEGARA






KENYATAAN AKHBAR MP ALOR SETAR GOOI HSIAO LEUNG MENGENAI USUL SEGERA YANG TELAH DIKEMUKAKAN KE ATAS ISU PENYAHSENARAI KELUAR BERNAS DARIPADA BURSA MALAYSIA - 20 Nov 2013

Semalam semasa perbahasan peringkat jawatankuasa bajet 2014 bagi Kementerian Pertanian, saya telah membangkitkan isu pelaksanaan aktiviti korporat BERNAS untuk menyahsenarai keluar daripada Bursa Malaysia, dan telah meminta Kementerian Pertanian menjawab mengapa kerajaan tidak menggunakan "golden share" ataupun hak di bawah Perjanjian Penswastaan ​​yang ditandatangani dengan BERNAS pada 18hb Januari 1996 yang memberikan kerajaan hak veto untuk menghalang pelaksanaan aktiviti korporat BERNAS demi kepentingan negara dan keselamatan Malaysia.
BERNAS memainkan peranan negara yang kritikal dalam industri beras dengan tanggungjawab untuk mengekalkan keselamatan makanan utama negara (kini mengawal 24% pasaran padi, dan 45% permintaan beras tempatan), dan juga tanggungjawab social dengan bertindak sebagai pembeli terakhir bagi petani padi pada harga lantai yang ditentukan oleh kerajaan.
Hari ini, BERNAS yang memiliki monopoli pengimportan beras mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM1.67 bilion dengan pendapatan hasil sebanyak RM3.63 bilion dan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM165 juta pada tahun 2012. Pendapatan ini diramalkan akan semakin meningkat setiap tahun di bawah kepimpinan Syed Mokhtar Al- Bulkhary, dengan jaringan syarikat-syarikat beliau yang memegang lebih daripada 83 peratus saham BERNAS.
Dengan hak monopoli industri beras yang dipegang oleh BERNAS, orang awam menjadi amat bimbang sekiranya BERNAS berjaya menyahsenarai, ia boleh jatuh ke tangan individu persendirian, contohnya dalam kes ini, Syed Mokhtar Al-Bulkhary, melalui jaringan syarikat-syarikat dia.
Selepas penyahsenaraian ​​BERNAS, ia tidak lagi tertakluk kepada peraturan-peraturan Suruhanjaya Sekuriti atas akauntabiliti dan ketelusan yang ketat - tidak akan ada apa-apa keperluan untuk mematuhi peraturan ketat ke atas laporan kewangan, peruntukan kewangan, aktiviti korporat, pelupusan atau penstrukturan semula pegangan saham, ini termasuk penjualan BERNAS kepada mana-mana entiti milikan asing.
Dalam penggulungan ucapan Timbalan Menteri Pertanian lewat semalam, beliau tidak mengurangkan kebimbangan orang ramai terhadap urusan BERNAS, sebaliknya beliau hanya menimbulkan persoalan yang lebih serius daripada kalangan orang ramai, dan seterusnya menimbulkan keperluan untuk mendebatkan isu ini serta-merta di Parlimen mengenai isu BERNAS.
YB Dato' Tajuddin Bin Abdul Rahman telah memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan memang bimbang dengan penyahsenarai BERNAS tetapi beliau tidak menyatakan dengan jelas pandangan kerajaan ke atas penyahsenaraian ​​BERNAS, sama ada kerajaan menyokong ataupun menentang langkah penyahsenaraian BERNAS.
Beliau juga tidak menjelaskan apa langkah-langkah yang sedang diambil untuk rapat meneliti penyahsenaraian BERNAS.
Timbalan Menteri telahpun mendedahkan rancangan BERNAS untuk menjalani proses konsolidasi selepas penyahsenaraian yang tersebut, dan selepas itu BERNAS akan menyenaraikan semula lagi - suatu fakta yang kemudian beliau mengata tidak dapat disahkan sama ada benar ataupun sebaliknya. Ini menimbulkan soalan lanjut mengenai niat sebenar penyahsenaraian ini - sama ada ia adalah dirancangkan untuk mengkayakan kroni-kroni BN UMNO.
Memandangkan jawapan Timbalan Menteri yang tidak memuaskan dan tidak boleh diterima, saya telah mengemukakan Usul Segera kepada Pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat pagi ini dengan harapan bahawa soalan-soalan yang penting ini dapat dibahaskan dengan sepenuhnya demi kepentingan negara dan keselamatan makanan di Malaysia sebelum ia terlalu lewat untuk menterbalikkan penyahsenarian ini.

Gooi Hsiao Leung
Ahli Parlimen ALOR SETAR
Naib Pengerusi Kedah PKR


---------

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Bro TT.....Bidang pertanian bukan takat tanam padi.......tanam sawit pon pertanian jugak.....kalau tak suka durian runtuh kepada kroni nanti kena pelayang 'haramjadah'....baru hang tak tahu....