Rabu, 28 Januari 2009

LEMBU-LEMBU DAN LEMBU YANG WAJIB DIKORBANKAN


Saya hanya membaca berita diakhbar tentang kesah lembu-lembu korban yang membawa padah politik kepada Menteri Besar Selangor. Ketika ini kesah lembu-lembu korban ini masih belum mengenap dan pasti tidak akan mengenap untuk sementara waktu.

Tetapi dalam melihat kes lembu-lembu ini ada satu pekara yang wajib kita sama-sama teliti. Pekara ini ialah pemahaman kita sendiri tentang amalan dan konsep ‘korban’ ketika hari Raya Haji ini.

Disini saya berani berkata bahawa pesta ‘korban di pagi hari raya haji’ yang sedang meresap dalam budaya Melayu ini tidak ada sangkut paut dengan ajaran agama Islam yang di bawa oleh Nabi Muhamad.

Saya berani berkata demikian berasaskan penelitian dan pengkajian saya. Pada satu ketika dahulu - lembu, kerbau atau kambing amat jarang di korbankan di masjid di kampong saya. Mukim dan warga kampung saya bukanlah warga yang mewah. Jadi jika ada korban lembu di pagi raya maka kami bersyukur kerana ada si Polan yang panen padinya telah melimpah ruah. Atau harga getah telah melonjak naik.

Lembu akan dikorban sesudah selesai sembahyang di pagi raya. Daging korban Raya Haji ini akan di agih-agihkan terutama kepada mereka yang kurang bernasib baik – mereka yang amat jarang merasa nimat makan daging.

Tetapi ini amat jarang berlaku. Dua tiga tahun sekali mungkin ada yang berkorban. Mungkin dua tiga tahun berikutnya langsung tidak ada. Ada atau tidak ada lembu yang dikorbankan tidak pula menggangu sambutan penduduk kampong terhadap hari Raya Haji. Apa yang kami pentingkan bukan lembu-lembu tetapi untuk sama-sama merayakan hari kebesaran agama. Justeru tidak pernah ada orang kampung saya menjadi lembu atau mendahulukan lembu-lembu dari berhari raya.

Sekarang ini lembu-lembu semakin banyak. Kita semakin di kelilingi oleh para lembu. Lembu-lembu ini kelihatan sama banyaknya dengan kemunculan kontrektor kelas F dari gerombolan United Malays National Organisation. Sehinggakan, di kebelakangan ini terutama di musim Raya Haji amat susah hendak kita bezakan yang mana lembu dan yang mana kontrektor kelas F.

Akhirnya budaya melembu dan membawa lembu-lembu ke masjid ketika hari Raya Haji ini semakin tersebar luas. Saya ada terbaca dua tahun dahulu – ada sebuah masjid di Utara – telah menjadi masjid lembu kerana ada 150 ekor lembu yang berkumpul untuk di korbankan. Rasanya bertong-tong darah lembu mencurah-curah di sekitar masjid. Maka semakin ramailah warga yang mendapat rezki lembu.

Kerana lembu-lembu ini telah semakin banyak dan dilihat tidak lagi istemewa maka ada pula lembu yang ingin menjadi unta. Binatang unta ini di sabitkan dengan padang pasir. Padang pasir disabitkan dengan Saudi Arabia. Saudi Arabia di sabitkan dengan tanah kelahiran Muhamad. Lalu lembu-lembu ini melihat jika menjadi unta adalah lebih afdal dari jadi lembu.

Yang pelik tetapi benar - unta ini ialah unta-unta yang bukan penduduk asli dari bumi ibnu Saud. Unta ini telah didatangkan khusus dari benua Australia – bukan unta Arab. Unta-unta ini diharap akan menambahkan lagi ‘kesucian’ korban di pagi raya. Unta-unta ini juga akan menjemput borak borak kosong dari orang-orang kampong tentang si Polan dan si Polan yang dulunya lembu tetapi telah dapat projek maka telah berkeupayaan untuk menjadi unta. Inilah kesah lembu-lembu Melayu yang ada kereta besar dan sudah pandai menjadi unta.

Disini saya ingin nayatkan sekali lagi : tiadalah pekara yang paling bodoh untuk dilakukan melainkan meniru dan membuat apa yang telah dibuat oleh musuh kita. Dalam kesah lembu-lembu di Selangor ini rasa saya adalah paling tidak bijak jika kerajaan Pakatan Rakyat meneruskan budaya yang telah di teroka dan di kembangkan oleh musuh mereka. Musuh kerajaan Pakatan dalam konteks kerajaan Selangor ialah Barisan Nasional. Taiko gerombolan Barisan Nasional ialah United Malays National Organisation.

Budaya lembu yang diamalkan oleh United Malays National Organisation ini saya yakin tidak ada bersangkut paut dengan niat dan cita-cita untuk bersedekah jariah di pagi raya. Ahli-ahli gerombolan menghadiahkan lembu-lembu ini dengan tujuan untuk memperlihatkan kepada orang Melayu/Islam tentang betapa waraknya dan sucinya kehidupan mereka. Mereka menjadikan lembu-lembu ini sebagai jurucakap dan warga contoh tentang betapa tebalnya keIslaman mereka. Sehinggakan mereka sanggup bersedekah kepada fakir miskin.

Tetapi mereka buat-buat tidak sedar. Punca kemiskinan itu datang dari lembu-lembu ini juga. Lembu-lembu inilah yang merampok tanah rakyat. Lembu-lembu ini jugalah yang menjadi ‘kontrekor subcon’ yang membuat sekolah yang akhirnya runtuh rantah. Lembu-lembu ini juga yang membuat hospital yang tidak boleh diguna pakai. Lembu-lembu ini juga yang merembat duit rasuah dengan harga ‘mark-up’ yang tinggi terhadap apa sahaja kontrek dari kerajaan.

Di pagi hari Raya Haji lembu-lembu ini menyucikan diri datang ke masjid dengan unta-untanya.

Dalam pentabiran moden – dalam konteks Selangor dan Malaysia hari ini – saya rasa bukan tugas sebuah pentabiran kerajaan untuk memberi sedekah kepada warga. Kita bukan lagi hidup di zaman Harun Aminul Rasheed di Baghdad yang keluar menyamar diwaktu malam sambil bertanya-bertanya tentang kesusahan penduduk. Bersedekah menaburkan duit di jalan-jalan raya pada zaman ini akan dilihat lucah.

Dalam pentabiran daulah moden seharusnya ada lembaga-lembaga yang di wujudkan untuk memastikan tidak ada warga yang tercicir, daif dan hidup dalam kebejatan. Mendirikan dan memastikan lembaga-lembaga ini memiliki dana yang cukup untuk menjaga kebajikan orang ramai adalah tugas pemimpin dan pentabiran sesebuah kerajaan. Malah, inilah yang di ajukan oleh Islam dan agama-agama lain agar membuat kebajikan antara kita sesama manusia.

Menyembelih lembu setahun akan dilihat sebagai propaganda kosong. Bukan daging lembu yang seharusnya di berikan oleh sebuah kerajaan moden seperti di Selangor. Memberi daging lembu untuk warga tidak akan menyelesaikan masaalah. Daging lembu ini mungkin hanya cukup untuk di buat rendang dan kurma untuk dua kali makan. Kehidupan warga lebih dari kari lembu atau rendang lembu.

Memang tepat anak-anak syarikat kerajaan negeri Selangor wajib memiliki tanggung jawab sosial. Pada hemat saya memberi daging lembu bukan khidmat sosial. Khidmat sosial ialah memberi dana kepada lembaga-lembaga Ngo, badan-badan seni budaya, badan-badan amal dimana khidmat-khidmat sosial ini akan berterusan sepanjang tahun.

Harus para pemimpian kerajaan Selangor menyoal diri mereka sendiri - jika lembu untuk hari Raya Haji binatang apa pula untuk Tahun Baru Cina, Depavali, Krismas, Hari Vesak - ini kerana warga Selangor terdiri dari berbagai agama dan kepercayaan. Jika ini ada dalam kepala maka inilah contoh kerajaan adil untuk semua.

Lebih tepat lagi sebuah kerajaan yang adil akan berusaha untuk mendidik warganya tentang cara dan teknik permiliharan lembu. Menyediakan kawasan-kawasan ragut untuk penternakan lembu. Bukan membuat kerja macam lembu tetapi melahirkan ladang-ladang lembu yang dapat terus menerus menyedikan bahan makanan.

Sayugia diingati rakyat tidak hendak menjadi lembu. Rakyat juga tidak hendak pemimpin lembu. Rakyat juga tidak selesa jika Menteri Besar di kelilingi oleh lembu-lembu. Rakyat tidak hendak agihan daging lembu setahun sekali di pagi hari Raya Haji.

Apa yang wajib di agihkan kepada rakyat ialah keadilan, ketelusan dan kesaksamaan dalam sesebuah pentabiran. Rakyat hendak kerajaan yang berkiblatkan kebajikan bukan kepada lembu.

Jika ada susuk-susuk yang sedang berkeliaran menjadi lembu atau membawa towkay-towkay kontrek lembu - maka mereka ini wajib di korbankan. Inilah jenis lembu-lembu jika dikorbankan rakyat pasti akan bertepuk tangan gumbira. Korbankan mereka sekarang sebelum rakyat melembukan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor
. (TT)



39 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

setuju! selalunya bukan orang yang betul-betul miskin dapat lembu korban ni.

tak adil la..

Tanpa Nama berkata...

Sesiapa yang berfikiran waras semestinya tidak nampak hubung kait upacara perlembuan pada tarikh tertentu yang kononnya boleh menggelapkan daya penasaran warga yang upacara itu ada kaitan dengan tuntutan agama. Dah begitu lama pemimpin agama kita baik Pak Imam, ustaz, mufti, malahan mereka yang lulusan pengajian tinggipun tak boleh menegur upacara perlembuan itu adalah cara primitif untuk memahami cara membantu golongan yang terpinggir atau tersisih. Kita jadi bahalol mempercayai bahawa upacara perlembuan itu adalah sebahagian daripada ajaran agama menyelesaikan masalah kemiskinan. Ini menunjukkan bahawa selama ini kita telah menerima ajaran agama cara bodoh mengikut pemimpin-pemimpin agama kita yang kolot, tak guna akal, ilmu pemikiran kritikal. Kenapa dulu apabila Parameswara tukar agama dari Hindu ke Islam semua rakyatnya secara 'enmass' turut menganut agama Islam yang dibawa oleh pedagang Arab tanpa soal sehingga dibawa hingga ke hari ini. Banyak lagi aspek amalan agama kita yang tak masuk akal.Tak percaya tanya Pak Kassim Ahmad atau mungkin mantan Mufti Perlis.

Tanpa Nama berkata...

gerombolan = lembu..
maka pada hari raya korban yang akan datang,mari kita sembelih gerombolan pulak..

PS-tapi ada ke asnaf yang sudi menerima hasil sembelihan tu?

Tanpa Nama berkata...

Ada sekor lembu.. kepala botak ..kecik saja.. macam toyol..bercita2 jadi Unta.. dulu enak meragut rumput yang banyak diselangor ..tapi dah tersilap makan .. termakan penyapu..maka terkena penyakit gila talak ..sekarang lembu ni hanya meragut2 lalang tepi pagar.. masih mengidam nak rumput segar.. maka meracau2lah ia ditepi pagar ditemani beberapa ekor kucing kurap yang dah abih bulu..

Tanpa Nama berkata...

artikel yang best.tq

Kopiah Putih berkata...

Sebuah artikel yg amat bernas dan padat. Kepada lembu-lembu yg dimaksudkan, hentikanlah meragut hak rakyat untuk kepentingan peribadi. Sesungguhnya anda akan dihisab diakhirat kelak.

jab sp berkata...

satu waktu dulu ada seorang bertaraf presiden sebuah universiti tempatan yang terkenal dengan penampar di klia membuat idea idea yang ditertawakan olih ramai kawan dan lawan terutama lawan.ini termasuk yang menulis catatan ini.antaranya tanam padi atas bumbung
juga antara projeknya menghimpun daging korban untuk dihantar pada mereka yang benar benar memerlukan walaupun mereka yang memerlukan bukan berada di persekiran mereka.mungkin mereka ini berada dimana lokasinya amat berjiran dengan tanah tanah gersang padang pasir.idea dilaksanakan tetapi ada noktahnya.sekarang yang tinggal hanya tunggul penempatan dan tapak penempatan yang dipestakan dengan keliaran lembu yang tidak tahu siapa tuan empunyanya.
alangkah baiknya jika idea ini ditunaskan kembali.
juga amat setuju dengan Isham,yang korban lembu sudah menjadi satu pesta menunjuk keangkuhan surau atau masjid mana yang akan bakal menjadi juara.surau dan masjid mana yang akan terpapar dalam akbar perdana sebagai jaguh tumbangnya lembu lembu ini.akan terpampang juga muka manusia ego yang banyak memberi lembu pada lembu lembu .
ibadah sudah menjadi budaya.ibadah perlu diteruskan dan budaya perlu dihapuskan.untuk menghidupkan ibadat ,individu yang perlu membuat korban dan untuk membuang budaya ,wang koperat untuk lembu wajar berfungsi lebih daripada seekor lembu.

ehem-ehem berkata...

tepat pampat padat sendat tumpat hebat pehhh.....

AntiPemodalBesar berkata...

bayangkan jika dikumpul nilai setiap ekor lembu yg dikorbankan setiap tahun disumbang kembali kepada daulah. aku rasa dalam 5 tahun negara kita dah sifar miskin dan daulah mampu menyara hidup rakyatnya yg tidak bekerja.

mungkin akan ramai anak bangsa malaysia mengalas beg dan tak mandi selama beberapa hari, menjelajah seluruh pelusuk dunia melihat kehebatan ciptaan Allah di muka bumi ini. barulah proses 'Renaissance' Melayu bermula melahirkan etnik yang lebih kompeten, cinta ilmu, dan integriti.

hanya sedikit anak melayu yang berjaya keluar dari tempurung dengan bantuan kerajaan samada belajar, latihan professional dan bekerja.

Kita masih lagi selesa berada di tanah melayu dari menjadi bangsa penjelajah seperti adik/abang kita yang kuning langsat.

ALI MAIDIN berkata...

1000% aku sokong

hafiz berkata...

betoL! cuma menglembu je beza dengan lembu-lembu. menglembu tempat DAP. hahaha

Tanpa Nama berkata...

aku rasa korban lembu/kambing/unta bukan untuk menyelesaikan masalah kemiskinan, tetapi lebih kepada untuk dipembayar lembu/kambing/unta untuk dikorbankan tersebut untuk dinaiki semaka di akhirat kelak..... no?

Khun Pana aka johanssm berkata...

Tepat dan Betul !

Saya nak sound , tapi tak berani.
Sebab saya ialah orang "nescafe" ( neskafir ).Tiap -tiap hari minum Nescafe mestilah kafir..hahaha.
TT memang sedar dan berani berfikir.

Adalah tidak baik untuk lihat tempat suci dan masjid dan surau berlumuran dengan darah binatang.
lagipun, daging yang di beri cuma boleh dimakan sehari dua sahaja.
Rakyat miskin bukan nya nak makan daging.
Daging korban tak boleh dipakai untuk beli petrol, bayar bil TNB , beli kasut sekolah ataupun untuk bayar toll.
Rakyat miskin bukan nya nak minta wang beratus ratus.
Rakyat miskin cuma minta ringankan beban mereka.

Di negara US of A, rakyat miskin dapat "food stamp" tiap bulan, tapi malaysia dapat makan lembu untuk sehari dalam setahun.

Tanpa Nama berkata...

"Bersedekah menaburkan duit di jalan-jalan raya pada zaman ini akan dilihat LUCAH."

kah kah kah.

Saya pun sokong. Kadang-kadang yang miskin dan yang lebih layak tak dapat pun bahagian dia, tukang sembelih lembu yang dapat share lebih. Rumah saya tiap-tiap tahun dapat kupon ambil bahagian lembu.

Juga tidak adil kepada seluruh rakyat yang berbilang bangsa dan agama.

Tapi ia juga propaganda yang murah dan cepat untuk sokongan politik. Saya tidak menentang sepenuhnya, apa kata lembu di sembelih tidak kira waktu dan pesta keagamaan, tidak mengenal rasuah kerana lembu untuk dimakan bukan untuk disimpan. Kalau orang Malaysia berebut nak dapat daging lembu, Malaysia memang celaka.

Mengenai mendidik dan menolong rakyat dengan kaedah pemeliharaan lembu, saya takut nanti yang dapat kontrak membela lembu ialah kroni-kroni orang politik juga.

Lembu juga boleh dikomersialkan secara lambak, dimana rakyat menternak lembu dan kerajaan membeli sebagai orang tengah yang tidak menindas penternak lembu serta penjual daging lembu, maka kerajaan dapat control apa jua barang makanan.

Menyediakan air murah, tenaga elektrik murah, makanan murah, rumah murah, DAGING LEMBU MURAH, adalah tanggungjawab mana-mana kerajaan.

pena reformasi berkata...

Artikel yang cukup bernas. Pakatan Rakyat wajib korbankan lembu-lembu yang mula membiak di dalam parti agar parti tidak dikorbankan kerana sifat lembunya.

Tanpa Nama berkata...

Pemimpin PKR sekarang, termasuk tan sri khalid, semua ex-gerombolan. tak dapat lari dari kebudayaan gerombolan.

mungkin kita kena tunggu Generasi II PKR untuk benar2 berlaku adil kepada semua rakyat selangor/malaysia.

tapi jangan kita duk diam. buat macam saudara isham - bagi tahu mana depa silap.

Tanpa Nama berkata...

Bro,

Jangan keliru. Ibadah korban adalah dituntut seperti sabda Rasulullah s.a.w,yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:

Mafhumnya: " Sesungguhnya pertama-tama amalan yang kita lakukan pada hari ini (iduladha) ialah supaya kita solat kemudian kembali ke rumah lalu kita menyembelih korban, maka barangsiapa yang mengerjakan sedemikian ia telah mengikut sunnahku. Adapun orang yang menyembelih sebelum melakukan solat, maka itu hanyalah merupakan daging yang hendak dipergunakan untuk keluarganya sahaja, tidak termasuk amalan ibadah penyembelihan korban".

Kita disunatkan menyembelih binatang ternakan untuk diberi kepada fakir-miskin. Soalnya, adakah korban kita selama ini sampai kepada orang yang layak? Saya sendiripun lebih suka mewakilkan korban saya kepada orang-orang miskin di Kemboja kerana di kampung saya hanya ada dua tiga kerat orang yang layak yang biasanya sentiasa mendapat limpahan daging dari para dermawan.

Tapi jangan kita terlepas cakap..korban memang dituntut dan apa yang YB Selangor itu lakukan adalah memenuhi tuntutan sunnah Rasullullah. Wassalam.

Tanpa Nama berkata...

-Satu Teguran - Dari Shams
Maaf saya katakan, sekali pun penulisan ini bermesej memberi teguran kepada mereka yang menyalahgunakan ibadah korban dengan cara yang salah, tapi harap jangan dipermainkan hukum sembelihan korban yang sememangnya telah termaktub dalam Al Quran dan As Sunnah berkenaan sunnah tersebut.Inginkan dalil berkenaan suruhan agama supaya melakukan korban, diharap dapat ditanya tok2 mufti yang arif lagi bijaksana. Di sana adanya pemberian dalam bentuk kewangan dalam Islam seperti zakat dan sedekah jariah. Dan korban binatang ternakan pula adalah bentuk pemberian lain yang juga turut termasuk dalam ibadah yang disyariatkan. Ianya bukan adat semata-mata, bahkan tuntutan melaksanakannya datang dari agama bukan kerana adat.

Tanpa Nama berkata...

Satu Teguran - Dari Shams dan tanpa nama..

lu ni kelompok lebai sudin keladi ke?
hishamuddin rais ckp tu btol..bkan dia ckn xpayah buat ibadah qurban..

hadis lu bg tu hadis sahih..btol dah..tp tu kan sunnah ..sunnah tu saranan..bukan kewajipan..islam bukan lah agama yg membebankan..klu xmampu nk beli lembu,xde dana,so xperlu la buat kurban..ada paham..islam ni agama yg mudah dan tiada paksaan dlm islam..

sebab itu agama islam mudah tersebar di negara lain beranding malaysia..

kat malaysia,kite ni slslu menyusahkan perkara yg sedia mudah..

sape yg xikot sunnah skang?lu ke gua?nabi sendiri ckp,islam itu mudah..tp jgn ambil mudah ibadah!

lu ni yg blaja agama xabis...abg isham,jgn takot,i dh jawapkan utk u..hoohohoho

Tanpa Nama berkata...

Salam........
Tentunya sesuatu perkara yang baik datangnya dari hati ikhlas.
Pengertian ikhlas ini ada perbagai tapi salah satu yang amat penting, sesuatu perbuatan itu bukan bermaksud hendak "menunjuk-nunjuk".
Walaubagaimana pun ibadah korban ini adalah sunnah yang dituntut.
Berniat dengan penuh keikhlasan kerana Allah dan kita WAJIB menentang kezaliman.Wallahualam

Tanpa Nama berkata...

Asparados,

Saya hanya membetulkan apa yang saudara hisham kata iaitu'"Disini saya berani berkata bahawa pesta ‘korban di pagi hari raya haji’ yang sedang meresap dalam budaya Melayu ini tidak ada sangkut paut dengan ajaran agama Islam yang di bawa oleh Nabi Muhamad."

Kenyataan Hisyam itu salah, berkorban bukan satu budaya tetapi dituntut oleh nabi, merupakan sunnahnya yang kita semua wajar ikuti...

Saya tidak katapun ibadat ini diwajibkan sehinggakan orang yang kurang mampupun kena berkorban. Oleh kerana zaman sekarang ramai melayu yang mampu, mereka pun berlumba-lumba melakukan korban. Itu satu perbuatan mulia.

Apa yang ingin ditegaskan ialah ibadah korban adalah SUNNAH bukannya budaya Melayu atau UMNO!

Tanpa Nama berkata...

Cerita pasal daging...daging fresh kalau kat pasar 20 ringgit keatas utk sekilo. Jadi dgn duit yg minima, lebih beratkan nak beli ikan, atau ikan kering, boleh buat stok. Kalau teringin sgt, beli daging import, dr india punya..boleh la sekilo 7.00.Itupun 3,4 bulan sekali. Pendekata, kalau dpt daging korban walaupun sekilo, sgt bermakna..sebenarnya walaupun sekilo, tapi bila dah namanya daging korban nilainya terasa lain..mcm berkat ja..Aci tanyala surirumah yg lain..sebab depa yg duk nak masak kat keluarga utk mkn.
Komen aku merujuk ibadah korban sahaja tau..Ibadah korban tak salah, sbb org miskin masih ramai lagi, bila org yg dapat daging rasa gembira maka niat korban tercapai..Tapi yg tak patut ialah bila melebih2 sgt.

Tanpa Nama berkata...

Tak pasti la bro kau cakap pasal Islam mudah tersebar. Kalau kita bukak undang-undang benarkan siapa siapa masuk agama mana-mana yang mereka mahukan, baru kita tahu agama mana yang orang paling minati.

Tapi yg penting sekali bukan hal agama mana yg paling hebat atau agama mana paling mudah tersebar... itu dah lari dari matlamat wujudnya agama.

Yg penting adalah agar semua agama diterima dan dihormati bersama, tiada berat sebelah kepada mana-mana agama. Ini isu yg utama. Baru takde masalah ketegangan antara agama.

Tanpa Nama berkata...

W O W

Tanpa Nama berkata...

i sokong u anak melayu pintar...u punya point yg hebat!

Fazrulls berkata...

Salam Tuan,

Ni yang sepatutnya berlaku.. sekarang dah terbalik.. agama kemana.. adat kemana.. masing2 nak menunjuk... yang peritnya rakyat.. yang susahnya rakyat..

takgitu???

ORait..

Tanpa Nama berkata...

I don't think you should satirise religious deeds with local politics.It's just bad taste.Ada benda kita boleh buat main.Tetapi bukan batu guli.

Tanpa Nama berkata...

ada jugak yg xphm artikel ni rupanya..mmg amalan korban ni adalah sunnah cuma yg dmaksudkan adalah ada segelintir org telah menjdkan seperti pesta..berselindung dbalik sunnah..

Tanpa Nama berkata...

Salam semua...
Pendapat Tukar Tiub tu betul.Ceritanya menarik dan realitinya ada.MB Selangor harus baca cerita ini.Nak korbankan lembu adalah hak individu yang ada rezeki lebih.Biarlah AJK surauke masjidke yang urus.Kerajaan negeri atau Anak syarikatnya tak payah campur hal ni. Kalau betul banyak duit lebih,kumpulkan semua duit-duit lebih tu dan kerajaan negeri buatlah flat banyak banyak dan berikan pada orang miskin,beri duit untuk perbelanjaan sekolah anak anak orang miskin.Tolong subsidi program RMT MOE di sekolah sekolah. Supaya anak orang miskin dapat minum milo atau air soya setiap hari.Mana anak rakyat yang kurus berikan 'weight gain' yang matanya kuyu berikan pil multi vitamin.Salur duit ke sekolah kampung atau estate atau kg.baru supaya pihak sekolah boleh bagi saguhati guru yang mengajar tuisyen untuk orang miskin setiap hari.Tetapi kerajaan negeri kalau nak beri bantuan pada rakyat jangan ikut paiwaian MOE.Kalau pendapatan RM600 ke RM700 baru boleh dapat bantuan.Sekarang ni kalau duduk di bandaraya gaji RM1000 pun tak cukup nak support anak dan diri lebih-lebih lagi keluarga.
Kalau lah semua tu dapat dilaksana dengan jumlah duit beli lembu tersebut setiap tahun,banyak manfaatnya kepada kerajaan PKR. Pasti kerajaan ni akan kekal lama.
Tentang lembu-lembu keliling MB.Kalau ada sisa sisa dari kerajaan lama,teliti dan cermin baik-baik.Kalau perlu tukar,tukarkan lah jangan teragak-agak.Kalau nak pilih orang baru carilah yang bekerja cukup hidup dengan gajinya,bersih,tekun,telus,jujur,tinggi budi pekertinya,kuat keimanannya dan sembahyangnya tak tinggal.Orang sebegini adalah tinggi nilainya dirinya dan senantiasa dihormati orang.

Tanpa Nama berkata...

Celaka engkau Jang....article hang masuk sinar...articel isteri Rosnah...

Lepas ni bulu jang dengan Editor Sinar..kena cabut satu-satu

Anak Chegu Pin Pangkor berkata...

Jangan Kita hukom semuanya begitu ada yang beribadah kerana Allah Mengucap penulis blog Ini perkara sensitif nawaitu seseorang jangan disangka buruk. Awak tulis blog pun kerana Allah, kan dah bertahun tahun menulis baru skrg dapat lebih 1 millon membaca . Jangan buat mind masturbating macam UMNO awak banyak ilmu kajian politik awak zaman ottoman lagi.kait Ilmu awak dgn penulisan Sedarkan rakyat Melayu mereka mundur sebab ditindas dari Zaman Tunku abdul Rahman lagi . Itu tak boleh ini tak boleh / akta cetak /dasar ekonomi Busuk /kontraktor ada kelas bukan ikut skill / tanam ini tanam itu dikawal dgn subsidi dulu bela arnab skrg kambing pulak babijugak yang banyak lepasi itu mahadeer a/l kutty Mohammad tipu melayu kata Malaysia boleh

shahrizalisme berkata...

Amalan korban bukan hanya sunnah rasulullah Nabi Muhammad sahaja malah ianya mendasari peristiwa korban Nabi Ibrahim ke atas anaknya iaitu Ismail atau Ishak.

Muslim scholars juga berbeza pendapat, ada mengatakan Ismail tidak kurang Ishak telah dikorbankan (al Quran tidak menyebut nama!). Manakala Yahudi dengan tegas menyatakan Ishak dikorbankan kerana ianya disebut dalam kitab mereka. Justeru itu, Yahudi juga mengadakan ibadat korban pada waktu2 tertentu.

Budaya di kampung Hisham dulu2 juga tidak relevan dengan keadaan sekarang kerana kemampuan rakyat Malaysia untuk berkorban haiwan telah berubah. Pada saya, amalan berkorban di pagi aidil adha adalah digalakkan asalkan disertai dengan niat ikhlas tanpa jiwa yang korup dan kotor.

Adat dan budaya juga boleh berubah kerana dipengaruhi persekitaran, ruang dan waktu. Seperti contoh Hisham sendiri (dalam tulisannya yg lalu),mengatakan dahulunya budaya pemberian 'ang pau/duit raya' dlm paket khas tidak wujud di kalangan Melayu pada hari raya, namun ianya wujud kini kesan pengaruh budaya Tiong Hua dan diresapi unsur2 komersialisme.

Ya betul 'PESTA KORBAN (baca: jika korup)' di pagi aidil adha' bukan ajaran nabi Muhammad tetapi asalkan ianya dilakukan dengan betul, ikhlas dan tulus saya percaya ianya menepati sunnah baginda malah turut menghayati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim ke atas anaknya Ismail/Ishak.

Niel berkata...

cantik sekali ! =)

Unknown berkata...

Kalau kat Negeri Sembilan di masa lalu, upacara korban ini ditenggelami oleh upacara bantai. Tapi sekarang kesedaran agama tu semakin mengambil tempat, sudah semakin ramai orang berkorban di hari raya haji sebaliknya upacara bantai dah berkurang.
Selalunya bila penyembelih lembu korban akan menyebut nama orang yang membuat korban. Kalau syarikat yang buat korban, agaknya kena sebutlah nama syarikat yang buat korban itu.
Selalunya dalam Islam individu yang buat korban, kalau syarikat yang buat bolehkah dikira korban atau hanya sedekah.
Kalau tak silap emak aku kata nanti kat akhirat kita akan naik lembu korban, kalau syarikat yang korban sapa yang akan naik lembu-lembu tersebut ye?

AntiPemodalBesar berkata...

ibadah korban ini adalah sunnah nabi muhammad setelah tertegaknya daulah MADINAH ketika Baginda melakukan Haji di Mekah.ketika itu perjanjian hudaibiyah antara Madinah dan Mekah sedang berjalan.

Nabi Muhammad melakukan ibadah haji diajar oleh Allah SWT seperti mana Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail melakukannya ribuan tahun dahulu. dalam agama yahudi pun ada amalan qurban.

Nilai-nilai murni dalam ibadah ini telah dicabul oleh Gerombolan untuk menunjuk-nunjuk merekalah juara dalam memberi sedekah, sedangkan xmalu merampas tanah bangsa mereka sendiri. Mereka saling xtumpah macam abang mereka di Israel.

Tanpa Nama berkata...

Saya fikir tak salah memestakan satu amalan baik.Lebih baik dari buat pesta dadah.Why be apologetic about doing something good? hal riak tak riak, rasuah tak rasuah...itu antara pemberi dan Allah.Who are we to judge.Yang pasti orang yang tak sekaya pemberi dapat makan sedap.What is bloody wrong with that? Just because UMNo people do it, it does not mean if a PKR man does it, it's wrong too? Apa punya ptui lah.

GenerationY berkata...

lembu punya susu, sapi dpt nama...
lembu punya lembu...

perfectwater75 berkata...

Salam!

Powerful Article!!!

hahaha! hehehe! hihihi! huhuhu!

Setuju korban lembu tu...

thx!

Tanpa Nama berkata...

In TT's defence, the crucial word here is "PESTA". Korban tu kan perbuatan serius, dari asal usul duit belanja ke peringkat pengagihan kepada yang layak menerima (fakir miskin). TT tak kata rakyat tak patut korban lembu.

Masalahnya, bila dah jadi PESTA, fokus aktiviti tu lebih kepada acara sembelihan. Lepas tu dah terkial2 nak cari fakir miskin. Kalau sedekah kat orang kaya, tu membazir duit namanya.

Kalau nak belajar dari ibadat korban ni, kena ada follow up. Jadi, cukup ke follow up lain untuk bantu fakir miskin? Takkan setahun sekali bagi daging fresh je? Kerajaan patut fokuskan juga usaha2 kepada menambah bilangan orang2 yang mampu untuk buat korban aidiladha.