PERJUANGAN
BARU BERMULA
Ada
yang Tanya saya, “Kenapa Pakatan Rakyat memperjuangkan “Penjenayah” Yang Mati
Dalam Tahanan?” Ada juga yang menyatakan, “Mereka layak mati sebegitu”. Saya
ingin menjawab segala persoalan tersebut dengan menerangkan beberapa perkara
seperti berikut :-
1)
Seseorang
itu tidak bersalah, sehingga dibuktikan kesalahanya.
2)
Seorang
itu tidak menjadi “penjenayah” hanya kerana Polis menyatakan sedemikian. Sudah
menjadi amalan pihak Polis untuk “mendedahkan” seseorang yang mati dalam
tahanan itu adalah suspek “jenayah serius” (contoh : samun bersenjata), hanya
selepas suspek tersebut mati dalam tahanan. Sila perhatikan perkataan “suspek”
tersebut. Ini adalah taktik pihak Polis, untuk
mengekalkan imej baik dalam persepsi masyarakat. Katakanlah, esok saya
ditahan oleh Polis dan mati dalam tahanan mereka, dengan segera saya akan
menjadi seorang suspek jenayah serius. Ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja,
termasuk kepada anda, anak-anak anda, adik beradik anda atau sesiapa. Apabila
ia berlaku, suara lantang anda tidak akan dihiraukan, sebab rakyat biasa
seperti anda tidak akan percaya cerita-cerita anda, seperti yang anda lakukan
hari ini.
Jadi, janganlah percaya kepada
“Kenyataan Media” pihak Polis secara membuta tuli dan membuat kesimpulan anda
terhadap seseorang itu.
3)
Tugas
Polis adalah untuk mencegah/membendung jenayah dan menyiasat jenayah, bukanya untuk
menghukum seseorang suspek jenayah. Malah, kuasa pendakwaan ada dengan Pejabat
Peguam Negara – Pendakwa Raya. Walaupun, seseorang itu adalah Penjenayah yang
nyata, tetapi pihak Polis tiada ada kuasa untuk menghukumnya, membunuhnya.
Kalau, “penghukuman” seperti pembunuhan dilihat sebagai salah satu penyelesaian
mudah untuk masalah jenayah, kenapa kita perlu ada Mahkamah dan Sistem
Perundangan?
Adakah kami membantah penghukuman
mahkamah dalam Kes Sosilawati di mana kesemua tertuduh disabit kesalahan dan
dijatuhkan hukuman mati? Tidak… Kerana, kes tersebut dikendalikan mengikut
system dan prosiding undang-undang.
4)
Prinsip
Hak Asasi Manusia Sejagat haruslah sentiasa didukung. Janganlah ada yang
menyatakan, “Hak Asasi Manusia adalah untuk Manusia, dan bukanya untuk Haiwan”.
Anda tidak harus membuat kesimpulan tentang perwatakan seseorang itu mengikut
pemahaman anda sendiri. Hanya tuduhan dan khabar angin tidak menjadikan
seseorang itu penjenayah. Kalau itulah hujah anda, kenapa tidak gunakan hujah
anda itu tidak tertakluk kepada “haiwan-haiwan” yang merompak, merampas dan
mencabul hak rakyat miskin, yang tertindas untuk kehidupan mewah mereka?! Kerana
mereka kaya dan baik dalam persepsi anda? Mengapa anda tidak guna pakai hujah
anda dalam Kes Altantunya? Razak Baginda, Najib Razak dan Rosmah Mansor
mempunyai hak untuk mempertahankan diri mereka, tetapi orang-orang yang tidak
kaya, yang mati dalam tahanan tidak mempunyai hak untuk mempertahankan diri
mereka dari segi undang-undang?
5)
Mereka
yang mati dalam tahanan pun Manusia juga! Mereka pun mempunyai keluarga untuk
dijaga dan dipelihara. Apabila anda tidak sedia untuk mendengar kepada cerita
di sebelah mereka, anda bukan sahaja melakukan ketidakadilan kepada mereka yang
mati dalam tahanan, malah juga kepada keluarga mereka. Tidak harus ada seorang
pun yang mati sia-sia, tanpa sebab.
6)
Hanya
Tuhan berhak untuk mengambil nyawa seseorang!! Sebab itulah, masih ada yang
membantah hukuman mati sehingga kini di seluruh dunia. Walaupun, kita fleksible
sedikit dalam sesetengah kes, tidak bermakna ia memberi kuasa kepada mana-mana
pihak untuk melakukan pembunuhan sesuka hati dengan “kuasa” yang diberi kepada
mereka oleh kerajaan. Saya hairan, ada juga mereka yang percaya kepada Tuhan
turut, menjustifikasi pembunuhan dalam tahanan ini.
Jadi,
untuk mengatakan bahawa “Pembangkang Menyokong Penjenayah” adalah salah! Kami
sentiasa percaya, para penjenayah harus dibawah ke muka pengadilan, termasuk
penjenayah yang berprofil tinggi; mereka yang telah meletupkan seorang Wanita
Mongolia yang hamil dengan C4, dan mereka yang melanggar segala undang-undang
yang ada untuk merompak kekayaan Rakyat dan Negara ini! Dalam perjuangan
tersebut, tidak akan ada sesekalipun kita akan berkompromi dengan
ketidakadilan! Kami sentiasa akan bersama dengan mereka yang ditindas, termasuk
mereka yang mati tanpa suara mereka didengar di dalam Mahkamah!
Saya
telah diberitahu bahawa, ada anggota Polis yang menyatakan kepada para pengadu
Polis bahawa, “Apabila kami bertindak, pihak pembangkang protes! Jadi kami
tidak boleh bertindak”. Kalau benar, ada anggota Polis menyatakan sedemikian,
ia menunjukkan betapa tercemarnya Perkhidmatan Awam kita dengan “racun politik
– political toxin” yang berlebihan. Yang kami mahu adalah, Polis yang melawan
jenayah dan penjenayah dengan peruntukkan undang-undang yang sedia ada, bukan
Polis yang mengambil undang-undang di tangan!
Saya
sendiri pernah lihat, bagaimana efisyenya sesetengah Pegawai Polis kita. Saya
sendiri pernah membuat beberapa laporan polis, tentang ugutan jenayah, serangan
jenayah dan sebagainya. Tetapi, sehingga kini mereka yang melakukan jenayah
tersebut masih bebas, tanpa sekalipun tidak pernah dipanggil untuk soal siasat.
Adakah Polis akan menyatakan saya akan protes, jika mereka mengambil tindakan?!
Bukankah itu satu alasan yang tidak masuk akal? Saya sedar hanya, kedudukan dan
taraf pengadu yang diambil kira, apabila pihak berkenaan ingin mengambil
tindakan. Jadi, lain kali, apabila pihak Polis memberi sebab sebegitu, anda
tahulah bagaimana nak jawab mereka!
-------
3 ulasan:
Teringat saya pada filem tamil/hindustan.Entah apa nama.Dalam industri jenayah ada 3 atau empat watak utama, politikus (yg ada kuasa ), polis dan penjenayah, yang keempat kadang2 peniaga.Menteri ( politikus)menguasai polis dan penjenayah.Polis yang baik akan di ugut oleh penjenayah.Menteri yang baik akan di aniaya oleh polis atau di bunuh oleh penjenayah. Penjenayah yang baik (sorry mana ada penjenayah yg baik, kecuali yang masuk politik dan jadi menteri )maksud saya penjenayah yg cuba belot akan di tangkap polis dan mati di lokap,dan sebagainya. Dan akan menjadi lebih dasyat bila ahli perniagaan pula yang masuk campur. Maka jadi huru hara lah negara. Agak-agak di malaysia bagaimana?
Mr Satees Muniandy
Sebagai manusia saya rasa ramai yang berugama dan menonjolkan diri sebagai berugama. Mana ada ugama dalam dunia ini yang menyokong keganasan ? Saya rasa tidak, namun apa yang berlaku di negara ini. Manusia dilayan lebih buruk dari binatang. Persepsi seseorang yang ditangkap polis adalah penjenayah. Kalau begitu ramai warga Malaysia bertindak sebagai penjenayah dengan kuasa yang diamanahkan kepada mereka. Sejak merdeka lagi negara ini masih dibelengu penjajahan oleh berbagai bentuk dan rupa, rakyat terpaksa akur dengan kehendak pemerintah samada bersetuju atau tidak. Pengolahan persetujuan dipaparkan di media perdana yang ditunjangi oleh pihak pemerintah. Wakil rakyat yang sepatutnya mewakili rakyat menjadi perompak rakyat. Di Malaysia ini pelik orang yang mempunyai kekayaan menjadi GOD kepada manusia lain, Sanggup disembah dan dicium kaki kerana DUIT. Secara terus terang ramai penjenayah yang sudah menjadi Datuk, Tan Sri dan Tun dewasa kini. Ini realpolitik Malaysia. Kedangkalan mereka dalam merakus harta rakyat direlakan malah disokong secara berterusan oleh pihak berkepentingan. Rakyat dan suara rakyat terus diperhambakan. Pilihanraya yang baru menyaksikan pertarungan antara golongan bangsawan dan golongan rakyat. Akhirnya golongan bangsawan terus berkuasa kerana apa ? WANG digunakan secara maksima bagi membeli KUASA di negara ini. Ada rakyat yang membantah ? Malah semua beratur untuk menerima habuan yang dilemparkan umpama anjing dibaling tulang. Keadaan orang India di negara ini pun masih tidak berubah. Kebajikan yang seharusnya menjadi wacana semua bangsa terus diabaikan. PM menjadi PM untuk UMNO dan Melayu sahaja. Warga lain hanya apabila pilihanraya akan muncul, jadi keadaan status quo terus dikekalkan. Rakyat yang membiarkan segala kemungkaran ini dari terus berlaku secara berterusan. Warga Indon, Myanmar, Filipina, Bangladesh terus diangkat menjadi warga negara secara express. Golongan ini hanya memikirkan kuasa mereka tanpa memikirkan nasib rakyat Malaysia. Masih ramai yang terus menganggur dan terlibat dalam pelbagai gejala jenayah, terus diabaikan dan terus dilupakan. Pentas negara ini terus mendabik dada menyatakan negara terbaik di dunia namun hakikatnya ialah sebaliknya. Ada orang juga yang menyatakan padan muka mereka yang mati. Tak apa sekiranya berlaku kepada diri atau ahli keluarga bagaimana pula rasa ?
Kepercayaan Kepada Tuhan
Keluhuran Perlembagaan
Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara
Kesopanan Dan Kesusilan.
Sekiranya RUKUN NEGARA dipatuhi maka semua nasib bangsa Malaysia akan berubah.
Sekian.
Polis wujud untuk didekati dan diharqpi.....bukan ditakuti atau dicurigai...bila ini akan terjadi...bila dunia ini berkecai dan rebuild kembali...dinosour keluar dan dibunuh oleh orang batu...start from zero...tak caya...undilah bee end untuk kebodohann yang kekal abadi....heheheh
Catat Ulasan