Rabu, 29 Ogos 2012

JANJI DEMOKRASI MALAM 30 OGOS JAM 11:00 MALAM





JAM 11:00 BUKAN JAM 10:00 MALAM




Kenyataan Media
Solidariti Anak Muda Malaysia
29 Ogos 2012

Janji Demokrasi: Ayuh Kuningkan Dataran Merdeka !


Sebagai NGO yang terlibat secara langsung, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berdiri teguh di belakang Gabungan JANJI yang menganjurkan sambutan ambang kemerdekaan bersama seruan Janji Demokrasi yang dituntut. SAMM menjangkakan jumlah kehadiran yang besar apabila Dataran Merdeka dijadikan sasaran utama dari dalam dan luar Kuala Lumpur untuk menyambut detik tiba Hari Kebangsaan tahun ini.

Bagi SAMM, Sudah sekian lama rakyat membiarkan aparat pemerintah memperkuda sambutan kemerdekaan demi kepentingan politik mereka dan seolah-olah ianya sambutan hari Umno kebangsaan. Regim pemerintah saban tahun telah mempromosi tokoh kemerdekaan negara hanya dari kalangan presiden Umno terawal hingga terakhir sedangkan ramai lagi tokoh yang berjuang menuntut kemerdekaan telah disembunyikan dari paparan umum ketika sambutan merdeka. Sejarah sebenar disorok supaya dilihat hanya Umno yang memperjuangkan kemerdekaan namun fakta sejarah menunjukkan perjuangan menuntut kemerdekaan negara telah bermula sebelum Umno diwujudkan. Inilah 'lagu' yang didendangkan setiap tahun ketika Hari Kemerdekaan.



Kesabaran rakyat akhirnya teruji apabila sambutan tahun ini dicemar secara melampau sehingga tema hari kebangsaan itu sendiri terus disalin tampal (copy paste) daripada tema yang digunakan dalam jelajah BN, iaitu Janji Ditepati. Tanpa logo rasmi dengan berdolak dalik mengatakan logo ditukar setiap dua-tiga hari, nyata semangat Hari Kebangsaan tahun ini telah dirosakkan dengan teruk sekali. Selain itu, lagu tema Janji Ditepati juga mendapat penolakkan hebat dari pelbagai golongan masyarakat termasuklah komen terbaru dari bekas mufti iaitu Dr Asri Zainal Abidin yang mengatakan liriknya menggambarkan sebuah kerajaan yang nazak.

Di atas kesedaran ini, SAMM bersama hampir 50 NGO yang bernaung di bawah Gabungan JANJI menggerakkan sambutan ambang kemerdekaan dengan keunikan yang tersendiri. Dataran Merdeka dijadikan venue utama, kuning warna tuntutan diiktiraf sebagai warna tema, Janji Demokrasi acara ulung mengira detik ambang kemerdekaan.


SAMM juga mengesahkan acara Janji Demokrasi mahupun Janji BERSIH bukan sebuah perarakan dan bukan sebuah protes jalanan. Ia adalah semata-mata acara kiraan detik kemerdekaan edisi ke-55 sepertimana yang disambut di seluruh negara pada setiap tahun, bezanya kali ini setiap yang hadir mengenakan kostum kuning. Ia akan berlangsung dengan aman dan makmur tanpa provokasi dari pihak polis. Mana-mana individu yang bertindak liar akan dicop sebagai agen provokasi tindakan yang wajar akan diambil oleh unit keselamatan.

Merujuk kepada kenyataan Ketua Balai Polis Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad yang tidak memberikan 'lampu hijau', SAMM juga menegaskan bahawa tiada keperluan 'lampu hijau' dari mana-mana pihak untuk mana-mana rakyat yang ingin menyambut hari kemerdekaan. Rakyat punya hak untuk sambut kemerdekaan dengan apa warna sekalipun. Menutup Dataran Merdeka pada malam merdeka adalah satu malapetaka buat regim pemerintah.

Apakah rasionalnya Dataran Merdeka ditutup bagi menghalang rakyat menyambut ambang kemerdekaan?

SAMM juga mengucapkan syabas kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur yang menyarankan Dataran Merdeka tidak ditutup pada malam 30 Ogos untuk beri laluan kepada sambutan ambang merdeka Janji Demokrasi. SAMM juga mengharapkan keputusan Datuk Bandar adalah solid dan kalis daripada dipengaruhi anasir regim yang sempit pemikiran yang juga difahamkan takut kepada perubahan.


Mengenai tuntutan Janji Demokrasi di ambang merdeka, SAMM berpendapat bahawa kemerdekaan ialah berkenaan kebebasan dan jaminan hak warga dalam negara itu dan antara yang paling asas ialah untuk punya hak menentukan/memilih siapa untuk mentadbir negara. Maka jelas urusan menuntut untuk punya proses pilihan raya bebas dan adil bukan urusan politik kepartian sebaliknya ia urusan patriotik yang perlu diusahakan semua pihak. Selaku pihak yang menyelia keselamatan dalam negara PDRM juga harus mendokong usaha ini lebih-lebih lagi antara hak yang paling banyak dicabul ialah hak pengundi pos yang selama ini kertas undi mereka ditandakan oleh orang lain. Pihak polis juga harus 'merdeka' dari terus diperguna demi kelangsungan pemerintah mengekalkan kuasa.


SAMM menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar bersama-sama menjadikan sambutan kemerdekaan kali ini lebih bermakna dan terus diingati dalam lembaran sejarah. Pakailah kuning dan hadirlah ke Dataran Merdeka dengan apa jua kebijaksanaan supaya sempat hadir sebelum kiraan detik kemerdekaan bermula.

Kepada seluruh anak muda dan yang berjiwa muda ingatlah, menuntut demokrasi ini diumpamakan seperti menuntut kemerdekaan baru, Merdeka Rakyat dari regim legasi penjajah, nyata acara Janji Demokrasi ini wajib tidak dilepaskan. Jadilah sebahagian daripada sejarah.

Merdeka! Merdeka! Merdeka! Sebenar-benar Merdeka!!


EDY NOOR REDUAN
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
www.anakmudamalaysia.com
edyesdotcom@gmail.com


MALAM 30 OGOS 2012



2 ulasan:

Ali berkata...

Buat rakyat Msia yg cintakan keamanan dan keharmonian, siri bersih sebelum ini diadakan waktu siang. Kali ini nampak ada sedikit kelainan. Apa yg saya ingin utarakan disini ialah, kekhuatiran berlaku seribu perkara yg tidak diingini. Satu perkara yg berkemungkinan berlaku ialah 'sabotaj' dari pihak2 yg 'menangguk diair keruh'sebagai contoh 'back out' disinilah akan berlaku kekecohan yg berkemungkinan besar akan mengakibatkan ramai yg cedera.Apakah hasil yg akan diperolehi jika perkara sedemikian berlaku? siapa yg akan bertanggungjawab? Jadi sama2lah kita fikirkan jln paling baik dan rasional utk menegakkan keadilan. Terpulanglah kpd anda semua utk membuat keputusan. Sekadar pangangan! Yang pasti itulah ITULAH SYAKIT atau MATI KATAK.

Ali berkata...

Buat rakyat Msia yg cintakan keamanan dan keharmonian, siri bersih sebelum ini diadakan waktu siang. Kali ini nampak ada sedikit kelainan. Apa yg saya ingin utarakan disini ialah, kekhuatiran berlaku seribu perkara yg tidak diingini. Satu perkara yg berkemungkinan berlaku ialah 'sabotaj' dari pihak2 yg 'menangguk diair keruh'sebagai contoh 'back out' disinilah akan berlaku kekecohan yg berkemungkinan besar akan mengakibatkan ramai yg cedera.Apakah hasil yg akan diperolehi jika perkara sedemikian berlaku? siapa yg akan bertanggungjawab? Jadi sama2lah kita fikirkan jln paling baik dan rasional utk menegakkan keadilan. Terpulanglah kpd anda semua utk membuat keputusan. Sekadar pangangan! Yang pasti itulah ITULAH SYAKIT atau MATI KATAK.