Rabu, 29 Ogos 2012

31 OGOS IALAH HARI MALAPETAKA









BERAKHIRNYA JALUR TEMBERANG
Semenjak saya memiliki talian internet, setiap tahun saya menjadikan bulan Ogos sebagai bulan melawan lupa dan melawan penipuan. Telah lebih dari satu dekad saya menjalankan kempen ini. Saya menjadikan kempen ini tugas suci dan rukun hidup.

Melawan lupa bukan satu kerja yang enteng. Melawan penipuan yang dirancang memerlukan tekad. Ini bukan tugas mengasah batang keladi untuk dijadikan tombak. Ianya juga bukan sesenang menjual pelampong di Kapal Titanic. Tetapi satelah lebih dari satu dekad hasilnya telah mula kelihatan.

Kempen awal saya ialah mendedahkan penipuan yang paling besar: iaitu 31 Ogos sebagai tarikh Hari Kebangsaan Malaysia. Sebelum munculnya internet memang ramai warga sedar bahawa 31 Ogos ini satu tarikh penipuan. Warga di Sabah dan Sarawak amat sedar tentang penipuan ini. Di Semenanjung ‘Pil Taikam’ yang bernama 31 Ogos telah ditelan bulat-bulat oleh jenerasi muda.

Pada satu ketika dahulu hegemoni dan kekuatan United Malays National Organisation cukup angkuh. Warga Sabah dan Serawak dipaksa menelan Pil Taikam dengan air liur basi. Warga Sabah dan Sarawak dibuli dan dinjak-injak. Sejarah negara bangsa Sabahan dan Sarawakian diketepikan.

Pembohongan 31 Ogos ini dibantu pula oleh kesah dongeng tentang Sabah dan Sarawak ‘telah masuk Malaysia’. Hingga ke hari ini kesah dongeng ini masih lagi dijaja ke hulu ke hilir. Penipuan fakta ini adalah kerja United Malays National Organsiation. Mengatakan Sabah dan Sarawak ‘masuk Malaysia’ samalah saperti menjual bangkai anjing yang dikatakan daging kambing.


Sabah dan Sarawak TIDAK pernah masuk Malaysia. Sabah dan Sarawak bersama Tanah Melayu menubuhkan gagasan Malaysia. Tanpa Sabah dan Sarawak TIDAK ada Malaysia. Malaysia bukan diwujudkan pada 31 Ogos 1957. Malaysia diwujudkan pada 16 September 1963.

Dengan marak dan berkembangnya nasionalisma Kadazan, Murut, Iban dan Dayak penipuan 31 Ogos telah mula dibongkar. Warga Sabah dan Sarawak tidak mahu lagi menelan Pil Taikam dan membeli dbangkai anjing yang dikatakan daging kambing. Sabahan dan Sarawakian telah mula memiliki keyakinan diri untuk menentukan masa depan nasib mereka sendiri.

Nasionalisma dan hak menentukan nasib sebagai warga yang bebas merdeka telah dibantut dan ditekan oleh hegemoni Ketuanan Melayu. Kini semangat Sabah untuk Sabahan dan Sarawak untuk Sarawakian telah mula berkembang. Justeru, tarikh 31 Ogos tidak lagi dirayakan di Sabah dan Serawak. Gila apa warga Sabah dan Serawak merayakan 31 Ogos?

Selama lebih dari 50 tahun United Malays National Organisation telah membebel menipu tentang perjuangan menuntut Merdeka. Di katakan bahawa Merdeka telah diberikan oleh penjajah British melalui perundingan. Ini adalah satu pembohongan. Ini satu penipuan. Di zaman tanpa internet dahulu ada kemungkinan bangkai anjing ini boleh dijual sebagai daging kambing. Tetapi hari ini mustahil bangkai anjing ini dapat terjual.

Jenerasi muda telah mula mengenal dan melihat imej Ahmad Boestaman, Pak Sako, Rashid Maydin, Chin Peng, Ibrahim Yacob, Mukhtaruddin Lasso, Shamsiah Fakeh, Abdulah Sidi, Burhanuddin Helmi dan Uztaz Abu Bakar Bakir. Kini kesedaran yang ampoh telah sampai untuk menobatkan penjuang-pejuang ini ke dalam tinta sejarah perjuangan melawan British.


Nama-nama pertubuhan nasionalis yang bangun berjuang melawan British kini sedang menjadi buah mulut anak-anak muda. Kesatuan Melayu Muda, Angkatan Pemuda Insaf, Angkatan Wanita Sedar, Parti Komunis Malaya, Partai Kebangsaan Melayu Malaya – kini mula menjadi ingatan bersama. Selama lebih dari 50 tahun gerombolan United Malays National Organsiation telah cuba melupuskan nama-nama ini dari papan sejarah. Kerja jahat ini telah meleset gagal.

Hari ini bukan sahaja nama pejuangan ini diingati kembali malah anak-anak muda telah mengarap lagu, sajak dan seloka berasaskan perjuangan mereka. Sajak dan shaer telah digurindamkan untuk mengingati perjuaangan suci mereka. Wajah mereka bukan hanya dipapan lukis malah kini sedang menjadi ikon untuk baju T anak-anak muda.

Bulan Ogos tahun lalu saya merasakan satu kejayaan besar kerana timbulnya polemik tentang Mat Indera. Sosok pejuang dari Parti Komunis Malaya ini tidak dapat tidak adalah ikon baru dalam pensejarahan Tanah Melayu. Selama puluhan tahun warga telah didodoikan dengan kesah dongeng Bukit Kepong. Tetapi tahun lalu ledakan Mat Indera telah menobatkan imej pejuang ini sebagai ikon anak muda – setaraf dengan Che dan John Lennon.

Semenjak Ogos tahun lalu anak semua bangsa telah mengetahui bahawa rumah pasong Bukit Kepong ialah rumah pasong British. Serangan yang dipimpin oleh Mat Indera ialah serangan untuk mengahalau penjajah British. Tok Sarjan kepala rumah pasong malam itu bernama Ray Dancey. Bendera yang tercacak di atas rumah pasong bukan Sang Saka Tanah Melayu tetapi Union Jack. Tarikh serangan ialah malam 23 Februari 1953. Pada tarikh itu Tanah Melayu ialah tanah jajajan British.

Memang betul ramai mata-mata Melayu yang tewas di tangan nasionalis Mat Indera. Tetapi menjadi Melayu sahaja tidak menjamin apa-apa. Menjadi Melayu bukan bermakna menjadi malaikat. Melayu ini mungkin kerana desakan ekonomi telah menjadi mata-mata dan soldadu upahan British. Ini fakta sejarah yang tidak mungkin dapat disorokan lagi.


Dari dongeng Bukit Kepong yang telah terbarai, mari kita berjoget dan berdendang dengan lagu Memula Moon. Lebih dari sepuluh tahun dahulu setiap bulan Ogos saya telah menimbulkan kes ciplakan Memula Moon. Pada mulanya agak susah juga untuk anak semua bangsa menerima hakikat bahawa lagu kebangsaan Negara-ku ini rupa-rupanya lagu ciplakan. Ciplakkan ini adalah ciplakan kelas kedua. Lagu ini diciplakan bukan dari yang ori tetapi ciplakan atas ciplakan. Lagu Negara-ku ini diambil dari lagu Indonesia – Terang Bulan - yang diciplak dari Memula Moon.

Tentang ciplakan lagu Negara-ku ini gerombolan dan kuncu-kuncu United Malays National Organsiation tidak berani berkata apa-apa. Mereka senyap seperti mayat dalam keranda. Dalam kes Mat Indera mereka bangun menyerang. Kuncu-kuncu Ngo United Malays National Organisation telah menyinsing lengan baju untuk bergaduh. Malah ada yang mengutuk Mat Indera dengan meniru perangai Shahrizat Jalil mengangkat kain untuk menakutkan orang ramai dengan hutan buluhnya.

Tidak dapat tida rakyat Malaysia telah sedar bahawa lagu Negara-ku ini adalah hasil ciplakan. Dalam masa yang tidak lama Memula Moon a.k.a Negara-ku ini akan dilupuskan. Perjalanan sejarah kearah ini tidak dapat dibendung. Yang diciplak telah diketahui ramai. Warga Malaysia yang memiliki hormat diri tidak akan menerima penghinaan lagu kebangsaan mereka sebenarnya adalah hasil ciplakan.

Budaya ciplak ini bukan hanya untuk lagu. Kini anak semua bangsa telah menyedari bahawa bendera Jalur Temberang...opps.... Jalur Gemilang itu rupa-rupanya juga diciplak dari motif bendera Amerika Syarikat.


Jalur Gemilang kini sudah mula dikenali sebagai Jalur Temberang. Bendera ini amat jelas dilihat tidak memiliki apa-apa motif budaya tempatan jauh sekali budaya Melayu Nusantara. Motif Nusantara ialah warna merah puteh saperti bendera Parti Pas, bendera Singapura, bendera Indonesia – malah bendera resmi parti United Malays National Organisation sendiri membawa merah puteh warna motif Nusantara.

Selama 55 tahun di Semenanjung dan 49 tahun di Sabah dan Sarawak - anak semua bangsa telah ditipu dengan Jalur Temberang. Berathun-tahun bendera ini telah dipelok erat oleh United Malays National Organisation. Hasilnya, bendera ini telah dilihat sebagai simbol kazaliman . Bendera ini telah diasosiasikan dengan segala bentuk kerenah dan kemungkaran yang di bawa oleh United Malays Natioanal Organisation. Justeru kebencian anak semua bangsa terhadap Jalur Temberang ini bukan satu yang dapat disorokan lagi.

Sebagai bukti – tulisan ini digarap hanya 4 hari sebelum perayaan 31 Ogos. Tidak kelihatan kereta persendirian, taxi, van atau lori yang mengkibarkan Jalur Temberang ini. Rakyat – anak semua bangsa – telah melihat bahawa bendera ini adalah hak milik United Malays National Organisatgion. Justeru anak semua bangsa tidak ambil pot untuk mengkibarkan bendera ini.

Hanya dibanguan kerajaan sahaja Jalur Tembernag ini berkibar. Ini kerana ada arahan memaksa ketua pejabat memasang bendera ini. Di kawasan perumahan , tepi jalan, di tiang leterik – semua ini adalah projek. Mat Indon dan Mat Bangla telah diupah untuk memasang bendera sebagai projek ‘ masyuuuk’ untuk Ketua Bahagian.

Tidak dapat tidak sentimen anti Jalur Temberang telah meluas. Pada bulan Ogos tahun lalu seoarang ahli parlimen telah mencadangkan agar bendera ini diganti. Saranan ini adalah tepat. Saperti lagu Terang Bulan, Jalur Temberang ini juga akan dihumbankan ke dalam tong sampah sejarah bersama tuan-tuannya.


Selama 55 tahun pembohongan dan penipuan ditabur. Kini pada tahun 2012 – semua telah terbarai. Kesedaran telah datang melonjak. Saya boleh menarik nafas panjang dan tersenyum kerana kempen bulan Ogos melawan lupa dan melawan penipuan telah mula menampakkan hasil.

Pada tahun 2012 ini bangkai anjing tidak mungkin dapat dijual sebagai daging kambing. Tidak ada siapa yang bersedia menelan Pil Taikam. Opps...hampir telupa...Pil Taikam ialah tahi kambing yang telah disira dengan gula dan dijual sebagai makjun oleh para bomoh.(TT)




NOTA:
tulisan ini telah disiarkan
dalam akhbar
SUARA KEADILAN
yang terbaru - sesiapa ingin
melanggan akhbar mingguan ini
sila pukul talipon
: 03-22-72-40-45




20 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

apa beza sang saka merah putih
dengan sang malapetaka merah putih?

Tanpa Nama berkata...

Ha ha ha menyising kain yg menmpk kn hutan buluhnye..kah kah kah kah kah..sakit perut aku siot tul tt ni

kato berkata...

ouwhhh.. makjun tu taik kambing ekkk... adehhh....

Tanpa Nama berkata...

bendera tu mcm bendera UMNO jer

tiru ka?

http://2.bp.blogspot.com/_qIERsZ75Yow/SZ_7Jy5lQ0I/AAAAAAAAAHI/I_3ceMMIwFM/s400/umno.png

Tanpa Nama berkata...

aku heranla kenape anak siyatim suka barang2 dr indon..1.robengah 2.lagu ciplak dr indon..

Tanpa Nama berkata...

aku heranla kenape anak siyatim suka barang2 dr indon..1.robengah 2.lagu ciplak dr indon..

Unknown berkata...

Salam tuan,

boleh link kan blog saya ke bloglist tuan...

saya nak aktif semula menulis dan ingin berkongsi pengetahuan untuk semua...terima kasih tuan.

Ini blog saya, www.tintaasyraf.com...
SALAM PERKENALAN

6803man sarawak berkata...

Kami anak2 sarawak mengucapkn selamat menyambut hari kemerdekaan MALAYA.

Hishamuddin Rais Pengecut Cabut Lari berkata...

mampos ar hishamuddin rais! ngaku jela nk buat negara ni jd sosialis kominis. babi bangsat da la pengecut!

Tanpa Nama berkata...

3.14pm
Tgk bendera umno, bendera pas, indonesia, singapore. Tgk bendera nusantara.
Tukar bendera bkn susah pun. Kita pernah tgk bendera asal sabah n sarawak d tukar. Xda membahayakan pun, jauh skali tukar bendera jd kn negara porak peranda dan mundur.
Yg plg penting, nak lukis mudah.

Tanpa Nama berkata...

tt punyer blog juga laris mcm jual aircond dalam api neraka jugak..

mula2 memang susah nak paham sebab sudah lama diselaputi tulisan2 bongok UMNO dan dongeng para2 sultan bangang.. memang amik masa nak bagitau bende baik.. kalau betul pun, mula2 kenelah gelak dulu.. tu la pasal kita dikategorikan sebagai negara dunia ketiga..

lu perlah mana2 cerok rantau sekalipun, mentaliti dunia ketiga ini amatlah susah nak dipecahkan.. kat gomen ofis cara gomen ofis.. kalau kompeni kroni, lagila payah.. sumer bos mcm buah durian, golek sana , dia yang betul, goleh sini, dia yang tak pernah bersalah.. ini dongeng UMNO-BN menular dalam gaya hidup melayu dan malaysia.. sudah jadi macam pesta la pulak sistem pecah dan perintah ini menjadi budaya kapitalis di dalam islam mahupun masyarakat seluruhnya.

kat masjid, tok imam dilihat kudus dan tulus, boleh merepek2 berkhutbah, begitu juga secara ritualnya seorang ustaz secara layaknya boleh membidas sesiapa yang melawan agama untuk djadikan aircond di akhirat kelak.. kat pejabat pulak, segala sistem undang2 kapitalis digunakan untuk membodohkan pekerja2nya yang makan gaji.. hinggakan kerja kompeni swasta pun, dipaksa memakai uniform untuk menunjukkan kelas2 tertentu.. bos2 saja yang boleh pakai stokin kat pelir tanpa perlu berpakaian kolar biru.. sistem biri2 membodohkan orang ramai ini sudah diterima sebagai budaya songsang yang sihat.. malah dibangga2kan oleh pakcik-dan-makcik kampungan sebagai tanda kerjaya yang berjaya dan juga professional.. apa pukimaknya lagi, jika makan gaji, janganlah melawan..mcm si pemberi gaji itu adalah tuhan la pulak.. fikrah bongok negara dunia ketiga ini, tidak mampu lagi dipecahkan oleh mana2 kaum atau individu kerana bodoya bodoh masih kukuh tersirat berselirat di dalam kepala masing2..

hari ini aku akan pulang melihat malaysia.. harap2 6 bulan lagi ni nak PRU13, maka gerombolan akan kongker gila2 surat khabar2 dia..mesti berita2 saheh akan ditaburkan untuk legasi membodohkan orang ramai diteruskan tanpa sesiapa pun bangun melawan fikrah membodohkan orang ramai ini berterusan..

Tanpa Nama berkata...

salam....
Apa yg di paparkan sgt benar nya...
Asyik menciplak, kita tiada identiti, kita tiada jati diri...

Bergantung lah pada diri sendiri.. jgn harap si payung kuning utk buat perubahan.

Bikin malu... seolah2 kita tiada pencipta lagu utk buat lagu kebangsaan... kita tiada pereka lukisan utk buat bendera...

Saya cadangkan kita cetak stiker bendera sang saka ini dan tampalkan di kenderaan kita.. tiada akta yg dpt menghalangnya.. sebagaimana kita bebas nak tampal bendera negara Inggeris atau amerika.

Psl lagu, jika tiada pencipta, apa kata kita ambik irama lagu seniman agung spt lagu MADU TIGA atau BUJANG LAPUK sebagai menggantikan irama lagu terang bulan sebagai lagu negara ku.. senikata tetap boleh sama..

Tanpa Nama berkata...

TT
jika satu hari nanti jika PR berkuasa dan dapat menggantikan lagu Terang Bulan dan Jalur Temberang juga membetulkan fakta siapa sebenar pejuang kemerdekaan Malaya dulu aku kira kau akan rasa lega dan mencapai salah satu cita-cita perjuangan kau kepada rakyat Malaysia sebelum kau menghapat Illahi. Tiada intelektual lagi yang mengetahui akan tiga perkara yang lazim TT bangkitkan. Kau begitu aktif sekali membangkitkan tiga perkara itu.Justeru kau adalah wira patriot yang tak luntur-luntur untuk memperbetulkan mitos yang telah ditemberangkan oleh GEROMBOLAN. TT,kau teruskan dengan ilmu yang ada pada kau untuk mencerahkan anak bangsa kita. Syabas!

Tanpa Nama berkata...

tuan tt
satu lagi ayat2 pencerahan yang benar dan mulia.nyata bahwa gerombolan adalah penjenayah dan musuh anak bangsa malaysia,gerombolan telah menipu dan membohong sekian lama,sama seperti syaitun membohong menjadi melayu.terimakasih tt,semoga anak bangsa malaysia cerah dan waras

zmmy

Mujesh Jay berkata...

very enlightening........inilah dipanggil pencerahan minda........rare breed amongst the malays u Hisham........hahahahaha........memang menyeronokkan.....

Abang Bro berkata...

Sabah dan Sarawak TIDAK pernah masuk Malaysia. Sabah dan Sarawak bersama Tanah Melayu menubuhkan gagasan Malaysia. Tanpa Sabah dan Sarawak TIDAK ada Malaysia.

Saya tertarik dengan kenyataan ini...ianya hampir sama dengan satu kenyataan yang lahir di fikiran saya sejak sekian lama... iaitu mengapa tanah semenanjung ditukar namanya kepada Semenanjung Malaysia, sedangkan nama asalnya adalah Tanah Melayu aka Malaya. Sepatutnya Malaysia terdiri daripada Tanah Melayu (Bukannya Semenanjung Malaysia kerana ianya belum wujud, Sabah dan Sarawak. Contoh lain gabungan seperti ini adalah United Kingdom terdiri daripada England, Scotland, Wales dan Ireland Utara...

Tanpa Nama berkata...

salam tt. sy ingin ucapkn syabas kpd tuan. inilah ulasan yg paling mantap. sy suka... sy suka. tabek spring buat tt.

Tanpa Nama berkata...

Apalah sibuk-sibuk pasal hari merdeka nih... kita kan "tak pernah dijajah"... negara yang pernah dijajah je yang sambut merdeka.... kahkahkah... kita sambut merdeka lepas PRU13 laaa... kalau bn kalah... baru betul-betul merdeka... masa tu kita akan bina identiti kita sendiri.. tukar lagu kebangsaan ciplak... (band dumdumtak dah boleh sedia buat lagu kebangsaan) tukar bendera ciplak,sang saka sejati akan megah berkibar tak lama lagi....

Tanpa Nama berkata...

Salam bro tt, udahler tu, desprate sgt bunyinye ni, pd aku Allah sajela yg maha mengetahui apa yg baik n buruk utk kita,.x payahla nk hasut n timbulkn huru hara sana sini, Kalo betul k'jaan selama ni zalim kt kita, yakinla allah akn tunjukkn! Yg penting kita selalu doa pd allah agar m'sia ni sentiasa aman, makmur n maju, sekian... wallahualam
Salam merdeka smua! Assalamualaikum...

haq berkata...

tadi aku gi pasar malam....ngan anak2....lau depan bangunan pejabat umngok....satu bendera jalur temberang pun aku tak nampak......
kah kah kah......

aku saling berpandangan ngan anak yang sulung ....lalu anak aku yang baru berusia 15 tahun tu kata'abah janganlah ketawa......."

geli hati aku bila nampak pejabat umngok bahagian dah jadi macam pejabat PKR......