Rabu, 23 November 2011

ANAK MUDA BANGUN MELAWAN





TIDAK ADA JALAN LAIN - LAWAN










PELANCARAN GERAKAN MENUNTUT KEBEBASAN AKADEMIK (BEBAS) 22 NOVEMBER 2011

A. PENDAHULUAN

Kebebasan berakademik adalah hak kebebasan yang diperuntukkan bagi ahli akademik bagi mengemukakan pandangan dengan apa jua ekspresi sesuai dengan standard profesionalisme yang dimiliki (Donald A. Downs, 2009). Hal ini lahir daripada tanggungjawab ahli akademik untuk bercakap dan mencabar idea konvensional dalam usaha memaknakan universiti sebagai model medan perdebatan terbuka kepada masyarakat umum.

Bertitik tolak daripada konotasi ini, kebebasan berakademik adalah terpakai bagi seluruh warga universiti termasuk mahasiswa, para pensyarah malah pihak universiti sendiri. Hak kebebasan berakademik ini dilindungi sepenuhnya oleh demokrasi liberal dengan meletakkan manusia boleh mendapatkan kebenaran dan ilmu tanpa batas. Hak ini juga selari dengan ruang hak yang diperuntukkan di dalam perlembagaan negara dan dijamin sepenuhnya oleh hak asasi manusia sebagaimana berikut :

(a) Every citizen has the right to freedom of speech and expression; (b) all citizens have the right to assemble peaceably and without arms; (c) all citizens have the right to form associations.

Justeru, mahasiswa dengan komited memperjuangkan hak kebebasan akademik melancarkan sebuah Gerakan Menuntut Kebebasan Berakademik (BEBAS).

B. PRINSIP BEBAS

Jawatankuasa BEBAS meletakkan dua prinsip berikut sebagai asas kebebasan berakademik :

1. Bahawa ahli akademik, sama ada di dalam atau di luar bilik kuliah, memiliki kuasa yang tidak terbatas untuk mempersoal, menguji idea dan mengeluarkan kenyataan kontroversi dan tidak popular tanpa mengira sama ada pendapat tersebut bercanggah atau tidak dengan pendapat umum.

2. Institusi akademik tidak berhak untuk mengekang kebebasan akademik dalam kalangan kakitangan universiti atau menggunakan praktis kebebasan akademik sebagai sebab untuk mengenakan tindakan tatatertib


C. TUNTUTAN BEBAS

Jawatankuasa BEBAS meletakkan perkara-perkara berikut sebagai tuntutan gerakan BEBAS, iaitu :

1. Mansuhkan AUKU dan AKTA 174

BEBAS berpendirian bahawa AUKU dan AKTA 174 perlu dimansuhkan berdasarkan dua teras berikut :

a. Peruntukan-peruntukan dalam Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (pindaan 2009) dan Akta 174 membunuh aktivisme mahasiswa Malaysia.
b. Peruntukan-peruntukan dalam Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (pindaan 2009) dan Akta 174 yang mencabuli hak-hak asasi manusia khususnya mahasiswa.

2. Bebaskan ilmuan berakademik
BEBAS menuntut hak kebebasan berakademik bagi para ilmuan dalam perkara-perkara berikut :

a. Para ilmuan mempunyai kebebasan untuk mengajar dan membuat kajian dalam persekitaran akademik tidak kira sama ada kajian tersebut bersifat kontroversi atau tidak popular serta bercanggah dengan pendapat umum khususnya mana-mana kuasa politik di dalam negara.

b. Para ilmuan mempunyai kebebasan menyatakan pendapat, mengeluarkan pandangan, menyatakan kritikan terhadap apa jua isu berasaskan pandangan intelektual hasil daripada kajian, observasi dan penilaian mereka sama ada di dalam atau di luar universiti.

c. Para ilmuan bebas berkhidmat tanpa terikat dengan mana-mana perjanjian yang bertentangan dengan hak kebebasan berakademik yang dijamin perlembagaan.

3. Bebaskan mahasiswa bersuara
BEBAS menuntut mahasiswa diberi kebebasan bersuara dalam kerangka berikut :

a. Mahasiswa mempunyai kebebasan untuk belajar dan membuat kajian dalam persekitaran akademik tidak kira sama ada kajian tersebut bersifat kontroversi atau tidak popular serta bercanggah dengan pendapat umum khususnya mana-mana kuasa politik di dalam negara.

b. Mahasiswa mempunyai kebebasan menyatakan pendapat, mengeluarkan pandangan, menyatakan kritikan terhadap apa jua isu berasaskan pandangan intelektual hasil daripada kajian, observasi dan penilaian mereka sama ada di dalam atau di luar universiti.

a. Mahasiswa bebas menjalankan apa jua aktiviti seperti demonstrasi, himpunan aman, rapat umum, seminar, diskusi dan lain-lain aktiviti di mana mahasiswa menyampaikan pandangan dan idealisme perjuangan mereka.






4. Bebaskan mahasiswa mengurus pilihanraya kampus

BEBAS menuntut supaya :

d. Mahasiswa diberi autonomi atau kuasa untuk menjalankan pilihanraya kampus sendiri bagi memilih perwakilan pelajar yang bakal memimpin persatuan atau badan induk kepimpinan pelajar.

e. Proses pemilihan pelajar ini dijalankan tanpa sebarang campurtangan daripada mana-mana pihak sama ada dari sudut sistem, teknikaliti, kempen, pembuangan undi, pencalonan dan lain-lain elemen dalam proses pemilihan yang hanya melibatkan mahasiswa.

5. Bebaskan mahasiswa mengurus tadbir persatuan dan aktiviti

BEBAS menuntut supaya :

f. Mahasiswa diberi autonomi atau kuasa untuk mengurus tadbir persatuan dan aktiviti persatuan atas kapasiti mahasiswa sendiri.

g. Urus tadbir ini dijalankan oleh mahasiswa tanpa sebarang campurtangan mana-mana pihak termasuk pihak pentadbiran universiti.

h. Hal ini merangkumi segala bentuk pentadbiran persatuan dan aktiviti, kewangan dan perbelanjaan, dana dan tajaan, pengisian dan aktiviti, penerbitan dan publisiti serta apa jua elemen-elemen lain di dalam urus tadbir persatuan.

6. Bebaskan mahasiswa berpartisipasi dalam politik

BEBAS menuntut mahasiswa diberikan kebebasan berpartisipasi dalam politik sebagaimana berikut :

i. Melibatkan diri atau menjalankan seminar dan diskusi yang membincangkan soal-soal politik, ekonomi dan sosial di mana mahasiswa berbincang dengan tokoh-tokoh politik dan pensyarah.

j. Mahasiswa bebas mengemukakan resolusi, cadangan atau kritikan bercorak politik dibentang dan dikeluarkan untuk tatapan umum dan kerajaan.

k. Mahasiswa bebas menjalankan penerbitan akhbar, majalah dan risalah atau kenyataan akhbar di mana mahasiswa menyuarakan cita-cita politik mereka.

l. Mahasiswa bebas menjalankan dan menyertai apa jua aktiviti di dalam dan luar universiti di mana mahasiswa menyampaikan pandangan dan idealisme perjuangan mereka.

D. JAWATANKUASA BEBAS

PENGERUSI : MUHAMMAD SAFWAN ANANG TALIB
JURUCAKAP : HAZIQ ABDULLAH ABDUL AZIZ

TURUT DISOKONG OLEH :

SOLIDARITI MAHASISWA MALAYSIA (SMM)
PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UNIVERSITI MALAYA (PMIUM)
KELAB RAKAN SISWA ISLAH MALAYSIA (KARISMA)
KUMPULAN AKTIVIS MAHASISWA INDEPENDEN (KAMI)
GERAKAN DEMOKRATIK BELIA DAN PELAJAR MALAYSIA (DEMA)
PRO-MAHASISWA NASIONAL (PRO-MN)
MAJLIS PERWAKILAN MAHASISWA NASIONAL (MPMN)
LEGASI MAHASISWA PROGRESIF (LMP)
KESATUAN AKSI MAHASISWA (AKSI)


BUKAN NATO

NOTA:
no action talk only

3 ulasan:

Mudim berkata...

Jika ahli akademik BEBAS bersuara, mungkin ada ahli politik yang akan TERPENJARA DAN HILANG KUASA. Mahukah para pemimpin politik menerima nasib seperti itu? Tidak kiralah dari BN atau PR

Tanpa Nama berkata...

anak muda!!!bangun dan lawan loji radioaktif!akta zalim isa..!!!masa hadapan mu d tangan anak2 muda malaysia!ayohhh bangunnn.....!!!!

Tanpa Nama berkata...

diorg ni tak baca TT ke. Aduh bodoh betul budak muda skang ni. BUAT SURAT TU KERJA GEROMBOLAN SAJA LAH. SKEMA BETUL.