Selasa, 19 Januari 2021

MARI MENGENAL DARURAT



 MARI MENGENAL

 DARURAT

Mari kita belajar bahasa. Mari kita memahami makna perkataan.  Mari kita sesama menggali dan mencari kekayaan Bahasa Melayu. Ini agar kita menjadi sosok yang  bukan sahaja berbudi tapi bijak juga berbahasa. 

Mari kita berbudi berbahasa. Jangan menjadi sosok  tak berbudi dan menjadi sosok gila-gila bahasa.  Bahasa itu jiwa bangsa mengikut  kata-kata Dewan Bahasa dan  Pustaka.  

Bahasa ialah sambungan perkataan  yang disusun  dan    tersusun untuk menjadi ayat yang memberi makna. Justeru bahasa  ialah kumpulan perkataan yang  melahirkan makna. Perkataan ini juga boleh berubah ubah maknanya.  Mengikut susunan ayat. 

Jika ditambah perkataan ini atau itu maka makna  akan berubah. 

Pada permulaan tahun baru 2021 perkataan yang heboh  dan lagi  dihebohkan  dalam dunia hari ini ialah insurrection - pemberontakan.  Perkataan ‘insurrection’ ini muncul berikutan dengan apa yang dilakukan oleh penyokong Donald Trump di bangunan Capitol Washington DC pada 6/1/2021. Ini di Amerika.

Manakala di Malaysia yang heboh lagi dihebohkan ialah perkataan darurat.

Dalam bahasa  Tamil darurat dipanggil avacaram. Dalam bahasa Bangla jaruri. Dalam  bahasa Punjabi aimarajainsi. Dalam bahasa Jepun Kinkyu.  Dalam bahasa Inggeris dipanggil emergency. 

Kerana perkataan darurat semakin  heboh maka saya mengajak pembaca berkenalan rapat dengan darurat. Perkataan darurat  masuk ke dalam bahasa Melayu dari bahasa Timur Tengah.  Asal usul darurat   dari bahasa Arab.

Jangan silap faham darurat bukan Islam.  Jangan selalu buat anggapan yang salah – menganggap semua perkataan Arab tersangkut dengan Islam. 

Ibnu aleahira ialah perkataan Arab. Makna perkataan ibnu aleahira ialah anak jalang. Anak jalang ialah anak  yang lahir tanpa emak dan ayahnya  mengadakan  kenduri kahwin. Tidak  direstui oleh  Lebai Jakim kerana anak lahir  tanpa ada saksi akad nikah.

Maka jelas bukan semua perkataan Arab itu bersangkut paut dengan Islam.

Makna perkataan darurat  ialah: Susah yang datang tanpa kita ketahui. Susah datang tidak disangka-sangka. Susah datang  dengan tertiba.  Susah datang mengejut. 

Darurat ini mula dikenali dengan ampuh  dan merebak luas  dalam perbendaharan kata-kata Bani Melayu  ketika gerila Pembebasan Rakyat Tanah Melayu sedang melawan kuasa kolonial Inggeris.  Perang  gerila anti-kolonial Inggeris  ini dipimpin oleh Parti Komunis Malaya (PKM). Perang ini   dipanggil darurat (1948-1960). 

Ertinya  perkataan darurat menjadi pop sesudah Perang Dunia ke  Dua (1941-1945).

Kuasa kolonial Inggeris telah mengisytiharkan  darurat  di Tanah Melayu pada 16 Jun 1948.  Semenjak dari tahun 1948 darurat amat-amat dikenali  dan telah dialami oleh warga Tanah Melayu.

Untuk menghayati perkataan darurat mari kita ikuti contoh-contoh darurat ini.

Contoh darurat: Ahmad  naik kereta api ringan dari Bangsar hendak menuju ke  Gombak. Tertiba Ahmad terasa   sakit perut satelah melintasi stesen Pasar Seni.  Ahmad  berhenti di stesen Masjid Jamek untuk berak. Ini darurat namanya. Ahmad terberak dalam keadaan darurat.

Ahmad bukan susah nak terberak. Tapi Ahmad tertiba menjadi susah kerana perut memulas nak terberak. Ahmad bukan susah nak terberak  tapi menjadi susah kerana  tertiba sakit perut  nak terberak.

Ada perbezaan: susah nak terberak. Dengan: susah kerana nak terberak.

Ahmad selamat dari terberak dalam kereta api.

Contoh darurat:  Aminah belum kahwin dengan Ahmad. Tapi Aminah sudah bunting. Maka Ahmad  cepat-cepat  kahwin dengan Aminah sebelum  Abdul Jakim ayah Aminah ternampak perut Aminah yang membesar. Ini darurat namanya. Ahmad dan Aminah kahwin darurat.

Kahwin ini bukan sakit yang datang  tak disangka-sangka. Kahwin bukan sakit datang  dengan tertiba. Kahwin ialah  sedap yang datang bertali arus dengan percuma.

Perut besar tanda bunting. Bunting menjadi darurat kerana Aminah dah bunting  sebelum akad nikah. Aminah kahwin darurat dengan Ahmad.  

Aminah  mengawini Ahmad untuk selamat dari dilihat bunting.

Contoh darurat : Kuasa kolonial Inggeris  mengisytihar darurat  kerana tidak mahu diserang oleh  gerila     Gerakan Pembebasan Rakyat Tanah Melayu yang di pimpin oleh PKM.

Kuasa kolonial Inggeris selamat dari mati dibunuh gerila. 

Contoh darurat:  Malaysia di serang virus Karona.  Ramai warga  jatuh sakit. Ramai warga Malaysia mati.  Majlis Keselamatan Negara mengisytihar darurat di beberapa kawasan yang teruk diserang virus Karona. Kawasan  ini dikenali sebagai  kawasan PKPD – Perintah Kawalan Pergerakan Darurat. Atau ditakrif sebagai kawasan merah.

Darurat di isytihar untuk  menyelamatkan warga dari virus Karona. Warga Malaysia diselamatkan dari  wabak  virus Karona.

Warga selamat dari mati  diserang virus Karona. 

Sila beri perhatian - kunci ayat-ayat ini ialah perkataan  dari.  Diselamatkan dari terberak dalam kereta api. Diselamatkan dari dilihat  bunting sebelum kahwin. Diselamatkan dari mati kerana serangan virus Karona. Diselamatkan dari dibunuh  gerila PKM.

Kata kunci ialah dari.

Perdana Menteri kerajaan Perikatan Nasional  Muhyiddin  Yassin  telah mendapat persetujuan Yang Dipertuan Agung untuk mengisytiharkan darurat.

Pada petang Rabu 13/1/2021 Muhyiddin telah mengisytihar avacaram opps... silap maaf... mengisytihar darurat. Ini  berat. Ini darurat berat.  

Berat bukan bermakna darurat ini boleh ditimbang. Dianggap berat  kerana ada  Siti Muslihat di belakang darurat yang di umum oleh Muhyiddin Yassin. 

Jangan salah baca Siti Muslihat ini bukan perempuan gemok yang berat.  Juga  bukan kakak  sepupu kepada Siti Nurhilaza atau anak tiri  dari bini ketiga Datuk Seri Abdul Karen Azeez. Bukan. Bukan. Bukan. 

Siti Muslihat ialah cara berlapik berbudi dan berbahasa Bani   Melayu untuk menerangkan  tentang wujudnya udang  dalam mangkuk laksa Muhyiddin Yassin Perdana Menteri Malaysia.

Ada udang  di sebalik laksa  atau ada udang di sebalik batu  ialah contoh bersopan berbudi bahasa Melayu.  Bani Melayu tidak akan  mengatakan bahawa Muhyidin Yasin ada ajenda tersorok.  Tidak. Bani Melayu ini memiliki perangai yang berbelit-belit dan  berputar putar berjela jela dengan air liur untuk bersopan dalam berbahasa. Amin.

Bahasa berlapik ini akan bertambah lapik apabila perbualan itu berlaku di hadapan   sosok  yang berpangkat lagi berkedudukan  tinggi seperti Yang Amat Mulia  Sultan  Melaka.

Maka  mari kita  bawa kembali kepada tajuk asal : Mengenal  Darurat.

Pasti ada pembaca akan bertanya:

Apa bezanya  darurat Ahmad   terberak di Masjid Jamek dengan  darurat Muhyidin pada hari Rabu lalu?

Apa bezanya darurat Aminah bunting dengan darurat Muhyidin? Muhyiddin tidak bunting.  Dia hanya dilaporkan pernah diserang oleh barah pankreas. Barah pankreas tidak membesarkan perut Muhyiddin.

Apa bezanya darurat kolonial Inggeris dengan darurat Muhyidin?

Untuk menjawab soalan-soalan ini  kita wajib memahami   kata kunci. Dalam memahami darurat kata kunci ialah perkataan: dari. Darurat Ahmad, darurat Aminah, darurat warga Malaysia, darurat Inggeris semuanya   selamat dari. 

Ahmad selamat dari malu terberak dalam kereta api. Aminah selamat dari kena belasah  oleh  Lebai Jakim kerana bunting sebelum kahwin. Soldadu Inggeris selamat dari mati dibunuh gerila  PKM.  Warga Malaysia selamat dari virus Karona.

Bagaimana pula  dengan darurat Muhyidin Yassin?

Darurat Muhyiddin Yassin  bukan darurat selamat  dari tapi diselamatkan  oleh. Dua perkataan ini penting – dari dan oleh. Biar saya jelaskan disini.

Muhyiddin Yassin bukan selamat dari  virus. Muhyiddin   bukan selamat dari gerila. Muhyiddin bukan selamat dari bunting. Muhyiddin bukan selamat dari terberak. Muhyiddin Yassin di selamatkan oleh darurat. 

Dalam bahasa Mat Rempit Muhyiddin pandai  cilok.

Orang ramai tahu bahawa kerajaan Muhyiddin tidak memiliki sokongan yang ampuh.  Umum mengetahui satu demi satu Yang Berhormat dari parti Ketuanan  Melayu – United Malays National Organisation telah menarik diri dari menyokong kerajaan Muhyiddin.

Pada hari Rabu 13/1/2021 ketika   Muhyiddin mengumumkan darurat di media  - YB Nazri Aziz  juga mengumumkan bahawa dia  menarik diri dari menyokong Muhyiddin Yassin.

Maka adalah  tepat jika saya katakan bahawa Muhyiddin Yasin diselamatkan   oleh darurat dari dijatuhkan dari  kerusi Perdana Menteri. 

Adalah betul lagi tepat jika saya nyatakan bahawa Muhyiddin Yassin  mengisytihar darurat bukan kerana   YB Nazri Aziz.   Dari siapa?  Sabar dulu jangan gopoh nak tahu.

Makin jelas  bahawa darurat ini satu perkara yang amat berguna.  Dalam masa  yang sama darurat juga satu perkara yang tidak berguna. 

Untuk Ahmad dan Aminah darurat tidak berguna.  Darurat sakit perut dan bunting  tidak berguna kerana menyusahkan  hidup mereka. Ahmad gelabah mencari tandas. Manakala Aminah gelabah  mengikat perut. 

Untuk warga Malaysia darurat berguna kerana  warga selamat dari virus Karona.

Manakala untuk  kolonial Inggeris darurat   berguna kerana mereka selamat dari mati dibunuh oleh gerila PKM.

Untuk  Muhyiddin Yasin darurat amat-amat berguna.  Muhyiddin telah di selamat kan oleh darurat. Kalau tak ada darurat Muhyiddin Yassin akan  kena terajang oleh opps... oleh sapa? Sabar dulu jangan gopoh nak tahu.

Hubaya hubaya.  Anwar Ibrahim, Najib dan Zahid sedang  menunggu dibucu Parlimen untuk menikam mati Muhyiddin Yassin.   Menikam mati  bukan dengan pisau. Ini perbuatan salah lagi ganas.

Tiga sekawan  ini ingin menikam mati Muhyiddin   dengan  menggunakan numbo  azimat. Numbo azimat ini adalah numbo jumlah angka YB yang menyokong Anwar untuk jadi Perdana Menteri.  Anwar Ibrahim telah menjaja angka ini ke hulu ke hilir lebih dari setahun.

Muhyiddin Yassin telah diselamatkan oleh darurat yang diselamatkan oleh virus Karona.  

Maka saperti biasa dibuatlah gurindam seloka oleh Orang Melaka untuk  mengingati  Muhyiddin Yasin dan avacaram opps... maaf... Muhyiddin Yassin  dan darurat. 

Darurat Darurat

Sudah tersirat

Darurat Darurat

Apa nak buat?

Bagai besi berkarat

Longkang tersumbat

Semua dah terlewat


Darurat Darurat

Semua tak sempat

Covid melarat

Frontliners tak larat

Dah tak ada kudrat


Darurat Darurat

Pengumuman hebat

Biarpun kawan rapat

Mau pun Ustaz

Semua terjerat

Darurat Darurat

Ini kah ubat?

Atau  Siti Muslihat? (TT) 



1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Muhyiddin tak cukup korum, Anwar pun belum tentu cukup korum, Nak tak nak kena ada pilihanraya. Virus covid masih berkeliaran. Rakyat dah cukup susah. Setiap hari mengharap dapat bantuan. bukan malas. tapi pilihan terakhir.

Jalan terbaik darurat dahulu. Muhyiddin selamat, rakyat selamat. Tim banduan dan Mahkamah pun selamat. SELAMAT JALAN.