Isnin, 9 Ogos 2021

HIGH NOON SEPTEMBER INI

 

HIGH NOON

SEPTEMBER INI

Saya selalu menyebut High Noon dalam tulisan.  Saya menggunakan High Noon sebagai metafora. High Noon ini ialah sebuah  filem Amerika tahun 1952. Filem yang menangi 4 Oscar ini diarahkan oleh  Fred Zinnemann. Lakon layar oleh  Carl Foreman.

Penulis lakon layar ini dianggap kiri dan dituduh bersimpati dengan Parti Komunis Amerika yang mempengaruhi Holywood pada ketika itu.  Hasilnya -  Foreman di senarai hitam dan namanya tidak dibenarkan muncul.

Filem  The Bridge on The River Kwai (1957) arahan David Lean adalah filem dari United Kingdom yang memenangi 7 Oscar. Ini juga  adalah hasil garapan lakon  layar  Foreman. Foreman ketika itu telah lari dari Amerika dan menumpang  di United Kingdom. 

Dalam filem ini nama Foreman tidak muncul .Yang muncul nama Pierre Boulle – penulis asal  buku ini dalam bahasa  Perancis. Pierre Boulle ini disenaraikan sebagai penulis lakon layar  The Bridge on The River Kwai walhal Pierre tidak  tahu berbahasa Inggeris. Ini sejarah Perang Dingin. Amin

High Noon ini berkisah tentang seorang Sheriff  di sebuah pekan kecil bernama Hadleyville.  Sheriff pekan ini  bernama Will Kane lakonan  Gary Cooper.  Kane baru berkahwin dengan Amy   yang dimainkan oleh Grace Kelley.

Kane yang baru berumah tangga ingin melepaskan jawatan. Kane mahu berladang dan memulakan  kehidupan baru dengan isteri yang baru dinikahi. Tertiba berita sampai bahawa Miller dan  Ben adiknya bersama dua orang pembantu akan sampai dengan kereta api  jam 12 tengah hari. 

Mereka datang mahu membunuh Kane. Miller  membalas dendam  kerana Kane pernah menangkap  memenjarakan Miller.

Keadaan menjadi tegang.  Dari awal pagi hingga   jam 12.00 Miller dan Amy wajib membuat keputusan untuk menyelamatkan diri. Ketegangan inilah yang saya gunakan  sebagai metafora politik Malaysia yang sedang berjalan di hadapan mata kita hari ini.

Ada ketegangan.  Ada penjara. Ada dendam. Ada rampasan kuasa  untuk  memilih Sheriff baru . Inilah tema High Noon filem Fred Zinnemann.

High Noon   Malaysia  sedang dituntun bukan hanya oleh warga Malaysia, malah High Noon Malaysia ini sedang  menjadi perhatian dunia. Dalam istilah filem apa yang kita lihat berlaku di hadapan mata kita hari ini adalah  World  Premier Grand Opening. Amin

High Noon Malaysia  semuanya bermula dengan tindakan gelojoh dan tidak sabar Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri.  Anwar dan kuncu-kuncunya setiap minggu bersuara , melaung dan menjerit  mengasak Mahathir Muhamad untuk mengundur.

Inilah detik rakaman sejarah permulaan High Noon Malaysia. Anwar Ibrahim mahu menjadi Sheriff  baru yang memerintah Malaysia.   Ada wujud  dendam terhadap Sheriff lama.

Muncul watak sampingan - Parti DAP di bawah pimpinan Lim Guan Eng dan Parti Amanah di bawah pimpinan Mat Sabu. Dua watak ini   hilang punca apabila mendengar guruh dilangit air  di tempayan dicurahkan. Amin

Mat Sabu gagal memahami dan menghayati  bagaimana Mahathir telah memberi kepercayaan kepada parti  Amanah. Sebuah  parti muda yang  pecah dari Parti Islam PAS.  

PRU14 menjadikan Melaka di bawah pimpinan Amanah. Mencurahkan air dari dalam tempayan Melaka ini mungkin akan mengambil satu masa jangka panjang untuk mengisinya kembali.

Lim Guan Eng  dan kuncu-kuncunya juga tidak memahami apa yang ingin  dan sedang dilakukan  seorang Atuk bernama  Mahathir.  Bumi terbelah dan langit  bertaup sekali lagi tidak mungkin ada  YB DAP yang  akan dilantik sebagai Menteri Kewangan.  

Guruh dari Anwar Ibrahim memang hebat.

Kalaulah sekiranya  Mat Sabu perkenan akan   Hotel Carcosa   Sri Negara untuk menjadi miliknya – si Anwar Ibrahim ini pasti akan bersetuju. Hanya dengan satu syarat  Mat Sabu akan terus membawa Amanah untuk menyokong Anwar untuk menjadi Perdana Menteri.

Kalaulah   Guan Eng  meminta  untuk menjadi tokan Vaksin dari China – hak mutlak ini akan diberikan oleh Anwar Ibrahim. Hanya  satu syarat  Guan Eng akan menyokong Anwar untuk menjadi Perdana Menteri menggantikan Muhyidin.

Guruh dilangit berdentum lagi.

Najib, Zahid, Mat Mazlan, Azeez dan  sosok-sosok  yang seirama akan dijanjikan syurga loka oleh Anwar  jika mereka terus mengasak  Muhyiddin untuk berundur.

Babak-babak inilah yang menjadi latar belakang High Noon Malaysia sekarang. Amin

Muhyidin bukan Gary Cooper. Muhyidin bukan Sheriff Will Kane.  Muhyidin  sama seperti Abdullah Badawi. Muhyidin dan Dollah adalah  Chance  watak utama dalam filem  Being There arahan Hal Ashby.

Filem komidi tahun 1979 ini  berkisah tentang  Chance yang dimainkan oleh Peter Seller. Chance seorang tukang kebun akhirnya menjadi Presiden Amerika – kerana bernasib  baik ‘ dia berada di tempat itu pada ketika dan masa yang tepat.’

Abdullah dan Muhyiddin menjadi Perdana Menteri Malaysia  kerana nasib baik – mereka berada di tempat itu pada masa dan ketika yang tepat. Khalas.

Dalam membuat kerja politik dan  dalam kehidupan  pasti kita ada membuat silap. Ini perkara biasa. Jika kita tidak membuat silap maknanya  kita tidak hidup. Tanpa silap maknanya kita melayari hidup tanpa melakukan apa-apa. Kita hanya mengikut arus.  

Salah dan kesilapan dalam kehidupan  kita sendiri yang membayarnya. Kita yang mendapat  pengajaran dari kesilapan itu. Kesilapan menjadi guru mengajar kita. 

Dalam politik – silap langkah politik – silap garis politik – tidak semudah  kesilapan dalam kehidupan individu. Harga silap langkah politik mahal sekali. 

Kesilapan Mat Sabu dan Guan Eng memasang  telinga mendengar guruh di langit  telah membawa mala petaka. Harga   kesilapan pendengaran bunyi guruh dilangit ini sedang dibayar   dengan harga yang mahal sekali.

Silap garis politik yang dilakukan oleh pemimpin politik  bukan hanya dibayar oleh ahli parti politik.  Harganya dibayar oleh kita semua. Rakyat Malaysia anak semua bangsa dan bangsa semua agama sedang membayarnya sekarang.

High Noon yang kita saksikan sekarang – angka tinggi serangan virus Korona dari Wuhan adalah  juga hasil kesilapan garis politik.  Jangan  lupa fakta dan rakaman sejarah – kita melihat  virus Korona  Wuhan meledak merebak  sesudah   Pilihan Raya Negeri Sabah.  

Kalau dalam filem High Noon jam sedang menunjukan jam 11.30 minit.  Dalam masa  30 minit  Frank Miller dan gerombolannya akan sampai. Dalam politik Malaysia  tengah hari tepat ialah Senin 6 September 2021.   Kurang lebih satu bulan sebelum ‘peluru meledak’ menembak mati Sheriff lama.

Tarikh  6 September 2021  adalah tarikh Parlimen bersidang dengan  agenda utama – keabsahan sokong ahli parlimen   kepada  Muhyidin Yassin.

Perkara sama ada Muhyidin Yassin ini ada sokongan Yang Berhormat telah lama berlarutan. Semenjak Muhyidin menduduki kerusi Perdana Menteri keabsahan  sokongan terhadap dirinya  terus dipersoalkan. 

Pada hemat saya persoalan keabsahan Muhyidin Yasin ini menjadi agenda politik utama dan wajib di selesaikan dengan tuntas.  Tapi ini tidak berlaku  apabila  virus Korona dari  Wuhan menyerang Malaysia. 

Virus ini bukan hanya mengganggu Malaysia malah seluruh dunia sedang diganggu gugat oleh virus Korona  dari Wuhan ini.

Muhyidin Yasin mengambil langkah memperkenalkan  darurat. Kali pertama cadangan Muhyidin Yasin ini telah gagal. Agong tidak berkenan. 

Angka warga  yang sakit dan angka warga yang tewas  melonjak naik. Ini juga akibat dari  lanjutan dari garis politik yang salah. Jangan terlupa  PRN Sabah. 

Kali ke dua permintaan Muhyidin telah diperkenankan oleh Agong. Rakyat bersimpati dengan langkah darurat yang diambil.  Darurat yang  diumumkan  untuk  melawan virus Korona dari Wuhan disokong rakyat.  

Populariti Muhyiddin melonjak naik. Muhyidin dilihat sedang   melakukan sesuatu untuk melawan virus Korona. Antara kesihatan dan keselamatan diri dengan hak bersuara di Parlimen – orang ramai memilik hak untuk hidup sihat. Ini hakikat. 

Sayang seribu kali sayang  sokongan rakyat terhadap darurat Muhyidin mula pupus – lingkup – bertaburan terbarai.

Kes pertama bermula  apabila  Khairuddin  Takiri Menteri Perdagangan dan Komoditi membuat perangai hodoh. Bukan sahaja bebal malah bersikap angkuh yang  menyakitkan hati orang ramai. Dengan sikap bodoh sombong Menteri ini  telah memperlekehkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tidak cukup dengan ini beberapa  Menteri dan  Orang Kenamaan terus melanggar PKP dalam masa darurat.  Tidak cukup dengan Menteri berperangai hodoh  lagi  bebal tertiba Malaysia dikejutkan dengan sikap angkuh lagi bebal  Menteri Besar Kedah. Hujah sombong bodoh dan  bangang yang dijeritkan  oleh Menteri Besar ini menyakitkan hati orang  ramai yang kini semakin terdesak hidup.

Kebencian rakyat terhadap tingkah laku pemimpin dari Parti Islam Pas ini menjemput Ku Li untuk menyamakan Parti Islam ini sama dengan  watak pelacur. Watak pelacur ini juga wujud dalam High Noon Fred Zinnemann

Dalam  masa yang sama  Mat Motor, Pelajar,  dan Minah Kilang dikenakan denda kerana melanggar PKP. Tidak cukup dengan memberi kompaun Mat Motor seorang Abang Burger telah di kompaun 50,000 ringgit kerana tidak menutup  warung burger pada waktu yang ditetapkan walhal Abang Burger ini seorang diri.

Muhyidin senyap membisu.

Akhirnya dalam darurat ini muncul istilah ‘warga kayangan ‘  yang memberi makna   rakyat biasa akan didakwa kerana melanggar PKP – warga kayangan – tidak akan diganggu gugat. Amin.

Perangai Menteri dan warga kayangan ini menjadikan rakyat mual dan benci terhadap apa sahaja inisiatif yang cuba dilakukan  oleh Muhyiddin. Semua kerenah  Menteri dan Menteri Besar  dibayar dengan harga yang  mahal oleh Muhyidin. 

Rakyat melihat darurat gagal. Rakyat melihat kerajaan gagal.  Kegagalan ini menyerlah sekali sehinggakan Mat Rempit dari Batu Pahat keluar  dengan sepanduk – Kerajaan Gagal.

Ini diikuti oleh kempen Bendera Putih tanda orang ramai perlukan bantuan. Parti Pas  yang kelim berlandaskan ajaran Islam bukan menyambut bendera putih ini  dengan ah lan wa sahlan  hati terbuka. Parti yang disamakan sebagai Parti Pelacur oleh Ku LI ini menolak kempen bendera putih. Parti Pas  menganggap  kempen bendera putih ini sebagai  gerakan anti-kerajaan.

Justeru muncul gerakan Bendera Hitam yang dipelopori oleh anak muda yang cool – yang melihat jalan raya sebagai parlimen rakyat. Slogan Mat Rempit Batu Pahat kini menjadi slogan  negara – Kerajaan Gagal.

Muhyidin pula dilihat lembab tidak  memiliki cara pimpinan yang meyakinkan dalam  suasana darurat untuk menangkis serangan virus Korona.

Malah Muhyidin menjadi bahan lawak kerana tidak berani berhadapan dengan  wartawan.  Muhyidin  hanya berupaya mengeluarkan  pengumuman. Justeru  warga Internet  telah menobatkan sebagai Menteri Pengumuman.

Tidak cukup dengan semua ini kes Muhyidin  diserang ceret beret. Berita ceret beret ini menjadi lawak dunia. Kerana belum pernah berlaku seorang pemimpin negara diumumkan diserang  ceret beret. 

Ceret beret adalah  ‘ sakit orang kampung’ yang makan jeruk petai atau  gulai basi.  Perdana Menteri  atau Presiden sesebuah negara seharusnya  hanya diumumkan  ke hospital atas arahan doktor untuk pemeriksaan. Bukan kena ceret beret untuk mengelak bertemu dengan Yang DiPertuan Agong. Khalas.

Detik berubah. Jam berjalan. Hari berganti. Semua ini mendekatkan lagi kita kepada High Noon 6 September 2021.

Muhyidin tidak perlu berdalih lagi.  Tidak perlu mencari alasan untuk menunda High Noon Malaysia yang pasti akan sampai.

Dalam High Noon  garapan Fred Zinnemann kita melihat bagaimana satu demi satu penyokong  Sheriff Will Kane menjadi takut dengan ancaman samseng kaki busuk Miller dan gerombolannya.

 Tuan Hakim  Percy Mattrick  yang menjatuhkan hukuman  kepada Miller enggan membantu Kane. Dia cabut  lari menyelamatkan diri. Harvey Pell Timbalan Kane  hanya  akan membantu Kane jika Kane  menyerahkan lencana Sheriff  kepada dirinya. 

Semua yang berlaku dalam High Noon Fred Zinnemann ini sedang kita  perhatian berlaku dalam High Noon Malaysia.  Watak belot, watak penakut, watak setia , watak oportunis, watak gila  kuasa – semua digarap oleh   penulis kiri bernama   Foremann.

Pada hemat saya krisis keabsahan Muhyidin ini jangan diperlanjutkan  lagi. Mudarat yang dibawa oleh  agenda keabsahan ini sedang g membawa mala petaka ke atas Malaysia.

Kita – anak semua bangsa  dan bangsa semua  agama sedang membayar harga yang amat mahal sekali. Yang tewas bertambah. Yang membunuh diri meningkat. Yang sakit bertambah. Semua hasil serangan virus Korona dari Wuhan. Dalam masa yang sama para politikus  berebut kuasa. 

Justeru saya menyeru   Muhyidin Yasin wajib  menjadi  matador. Hadapi lembu itu. Sama ada Muhyidin akan dibantai oleh lembu itu atau lembu itu akan rebah semuanya bergantung. 

Bergantung pada apa?  Bergantung pada hukum politik – satu minggu  terlalu lama  dalam politik.  Bergantung pada apa lagi?  Tunggu minggu hadapan. (TT)

 
TULISAN INI  JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIAKINI.COM
DAN PORTAL
MALAYSIANINSIGHT.COM


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Benci kat Anwar
jika anda ada rasuah
jika anda ada konspirasi
jika anda memusuhi Islam.

Kalau tiada di atas
kenapa anda begitu KECUT bila disebut nama ANWAR?